Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Resepi Makanan Bayi 7 Bulan Yang Akan Menaikkan Selera Makan Si Comel

makanan bayi 7 bulan

Sumber: Adobe Stock

Ibu bapa disyorkan oleh pakar pediatrik untuk mula memberi bayi makan paling awal sekitar umur enam bulan. Kalau bayi Mama sudah berumur tujuh bulan, kebarangkalian besar bayi sudah mula makan, betul tak?

Walaupun bayi Mama baru saja mula makan dan susu masih menjadi sumber nutrisi utama mereka, tak semestinya Mama hanya perlu beri bubur kosong sahaja!

Sebenarnya banyak jenis makanan sudah boleh diperkenalkan kepada bayi yang berumur tujuh bulan, seperti pelbagai jenis sayuran, buah-buahan, dan snek-snek lain.

Kalau Mama sudah pernah perkenalkan pelbagai jenis makanan ketika bayi berumur enam bulan, makanan tersebut tentu selalunya puri yang merangkumi satu bahan saja, seperti puri epal atau puri brokoli, kan?

Apa kata Mama tengok resepi-resepi yang mudah di bawah ini untuk mengembangkan citarasa dan selera makan si comel dengan memasak makanan yang mempunyai lebih daripada satu bahan.

15 Idea Resepi Makanan Untuk Bayi 7 Bulan

1. Puri Keledek Dan Lada Benggala Merah

Highlighted


Bahan-bahan

  • 1 biji keledek saiz sederhana, dipotong dadu
  • 1 biji lada benggala merah, dibuang biji dan dipotong dadu
  • 1/2 sudu besar mentega

Cara-cara

  1. Stim atau rebus keledek dan lada benggala merah selama 10 minit atau sehingga lembut.
  2. Buang air rebusan, dan kisar keledek dan lada benggala tadi dalam blender.
  3. Tambah sedikit air rebusan tadi atau susu, dan masukkan juga mentega.
  4. Kisar mengikut citarasa dan hidang ketika suam.

2. Pasta Salmon Dan Brokoli

Sumber: Sarah Barker

Bahan-bahan

  • 1 filet kecil salmon, dipotong kecil
  • 50g brokoli, dipotong kecil
  • 3 sudu keju Parmesan, dikisar
  • 4 sudu susu
  • 50g pasta pilihan

Cara-cara

  1. Stim atau rebus salmon dan brokoli sehingga masak.
  2. Masak pasta mengikut arahan paket dan toskan.
  3. Setelah masak, masukkan salmon, brokoli, keju, dan pasta dalam blender atau food processor dan kisarkan.
  4. Masukkan sedikit susu dan kisar lagi sehingga mencapai konsistensi atau tekstur pilihan.
  5. Hidang ketika suam.

3. Puri Avokado Dan Pudina

Sumber: Lucy Dimbylow

Bahan-bahan

  • 1 biji avokado, dibuang biji dan dipotong dadu
  • 6 keping daun pudina, dicincang

Cara-cara

  1. Masukkan avokado dan pudina kedalam blender atau food processor dan kisarkan.
  2. Hidang puri dengan segera.

4. Puri Kubis Bunga Dan Keju

Sumber: pillsbury.com

Bahan-bahan

  • 1 kepala kubis bunga (cauliflower), dicincang besar
  • 1 biji ubi, dipotong dadu
  • 1 sudu besar keju Cheddar, dikisar

Cara-cara

  1. Stim atau rebus kubis bunga dan ubi sehingga lembut, dalam 12-14 minit.
  2. Toskan dan kisar dalam blender atau food processor bersama keju dan sedikit air masak.
  3. Hidangkan ketika suam.

5. Sup Chowder Ikan Cod, Keledek, Dan Jagung Manis

Sumber: madeformums.com

Bahan-bahan

  • 200g ubi keledek, dipotong dadu
  • 110g filet ikan cod
  • 300ml susu
  • 2 tangkai herba thyme
  • 110g jagung manis (dari tin)
  • 2 helai daun pasli

Cara-cara

  1. Dalam kuali bertutup, rebus atau kukus keledek selama 10 minit atau sehingga empuk.
  2. Dalam kuali lain, rebus ikan cod dalam susu dan thyme selama lebih kurang 8 minit sehingga ikan pecah menjadi kepingan.
  3. Masukkan bancuhan ikan cod, jagung manis dan pasli ke dalam keledek yang telah direbus dan biarkan mendidih semula.
  4. Kisarkan semua bahan-bahan tadi dalam blender atau food processor.
  5. Tambah sedikit air jika perlu dan hidang ketika suam.

6. Puri Avokado Dan Kacang Pea

Sumber: Happy Family Organics

Bahan-bahan

  • 150g kacang pea beku
  • 1 biji avokado, dipotong dadu
  • 1/2 sudu besar minyak zaitun

Cara-cara

  1. Rebus kacang pea dalam periuk sehingga lembut, dalam 12-14 minit. Toskan.
  2. Kisarkan dalam blender atau food processor bersama avokado dan minyak zaitun.
  3. Tambah sedikit air rebusan tadi jika perlu dan hidangkan ketika suam.

7. Puri Beetroot (Ubi Bit) Dan Ubi Keledek

Sumber: PCC Community Markets

Bahan-bahan

  • 1 biji ubi keledek, dipotong dadu
  • 150g beetroot dimasak dalam jus, dipotong dadu
  • 1/2 sudu besar mentega

Cara-cara

  1. Rebus ubi keledek sehingga empuk, dalam 12-14 minit. Toskan.
  2. Kisar ubi keledek dan beetroot dengan mentega sehingga mencapai tekstur yang diingini.
  3. Hidangkan ketika suam.

8. Stew Lobak Merah Dan Tomato

Sumber: A Sweet Pea Chef

Bahan-bahan

  • 2 batang lobak merah, dipotong dadu
  • 2 biji tomato, dipotong empat
  • 1/2 sudu besar minyak zaitun

Cara-cara

  1. Rebus lobak merah sehingga lembut, dalam 8-10 minit. Toskan.
  2. Tumis lobak merah, tomato, dan minyak zaitun dengan sedikit air rebusan tadi.
  3. Tutup dan kecilkan api. Masak dalam 10-12 minit.
  4. Kisarkan dalam blender atau food processor.
  5. Hidangkan ketika suam.

9. Puri Buah Peach Dan Pear

Sumber: MadeforMums

Bahan-bahan

  • 1 biji buah peach, dibuang biji dan dipotong dadu
  • 1 biji buah pear, dibuang kulit dan dipotong dadu
  • 2 sudu besar jus epal

Cara-cara

  1. Masukkan semua bahan dalam blender atau food processor.
  2. Kisar sehingga mencapai tekstur yang diingini.
  3. Hidangkan segera.

10. Barli Epal Dan Pisang

Sumber: GK Food Diary

Bahan-bahan

  • 2 sudu besar kepingan barli
  • 1/2 biji epal, dipotong dadu
  • 1/2 biji pisang, dipotong dadu
  • 110ml air panas

Cara-cara

  1. Kisar barli dalam blender atau food processor sehingga menjadi serbuk.
  2. Masukkan epal, pisang, dan air panas dan kisar lagi sehingga lumat.
  3. Masak semua bahan tadi dalam periuk dengan api kecil selama 3-4 minit.
  4. Tambah air atau susu jika perlu.
  5. Hidangkan ketika suam atau sejukkan jika ingin dihidangkan dingin.

11. Puri Pisang Dan Oat

Sumber: Sage Spoonfuls Recipes

Bahan-bahan

  • 20g oat
  • 1 biji pisang
  • 110ml air panas

Cara-cara

  1. Kisar oat dalam blender sehingga menjadi serbuk.
  2. Masukkan pisang dan air panas kedalam blender dan kisar.
  3. Masak semua bahan di dalam periuk dengan api perlahan selama 3-4 minit.
  4. Tambahkan air atau susu jika perlu. Hidangkan ketika suam.

12. Puri Lobak Merah Bakar Dan Bayam

Sumber: Lidl Recipes

Bahan-bahan

  • 2 batang lobak merah, dipotong dadu
  • 2 cawan bayam, dicuci

Cara-cara

  1. Bungkus bayam dalam kertas aluminum.
  2. Bakar lobak merah dan bayam dalam ketuhar pada suhu 190 darjah Celcius selama 30 minit.
  3. Kisarkan semua bahan dalam blender atau food processor.
  4. Tambah air atau susu jika perlu.

13. Pencuci Mulut Aprikot

Sumber: Weelicious

Bahan-bahan

  • 150g aprikot kering
  • 150ml jus epal
  • 1 sudu kecil jus lemon
  • 1/2 sudu kecil serbuk kayu manis
  • 250ml susu atau yogurt

Cara-cara

  1. Masak semua bahan kecuali susu atau yogurt dalam periuk dengan api kecil.
  2. Selepas masak, masukkan semua bahan tadi dalam blender atau food processor bersama susu atau yogurt.
  3. Hidangkan ketika suam.

14. Kari Mesra-Bayi

Sumber: MadeforMums

Bahan-bahan

  • 1/2 biji bawang Holland, dicincang
  • 1/2 biji lada benggala merah, dipotong dadu
  • 400g tomato dalam tin
  • 1/2 batang terung, dipotong dadu
  • 1 biji kentang, dipotong dadu
  • 1/2 sudu kecil serbuk kari
  • 1/2 sudu kecil serbuk bawang putih
  • 1 sudu besar minyak zaitun

Cara-cara

  1. Panaskan minyak dalam periuk.
  2. Tumis bawang Holland sehingga naik bau dan masukkan serbuk kari dan serbuk bawang putih.
  3. Masukkan semua bahan-bahan lain dan tumis seketika.
  4. Tutup periuk dan biar merenih selama 30-40 minit. Kacau jika perlu.
  5. Kisarkan sehingga mencapai tekstur pilihan.

15. Ais Krim Buah-buahan

Sumber: Homemade Baby Food Recipes

Bahan-bahan

  • 25g pisang, dipotong dadu
  • 25g blueberry
  • 25ml jus epal
  • 1 sudu besar yogurt

Cara-cara

  1. Kisar semua bahan-bahan dalam blender.
  2. Masukkan ke dalam acuan ais krim.
  3. Bekukan selama sekurang-kurangnya 6 jam.

Resepi-resepi yang dikongsi di atas adalah jenis makanan sihat yang sangat lazat dan berkhasiat, sesuai untuk bayi berumur tujuh bulan. Ada yang sesuai untuk sarapan pagi, dan ada yang sesuai sebagai snek.

Untuk menyenangkan penyediaan makanan bayi, Mama boleh dapatkan gajet yang direka khas untuk memasak dan mengisarkan makanan untuk bayi seperti Tomme Tippe Steamer Blender atau Lunavie Smart Baby Food Maker ini.

Untuk snek-snek bayi yang lain, Mama boleh lihat di sini. Selamat mencuba!