Bayi kecil selalunya mula makan makanan separa pejal setelah mereka mencapai usia enam bulan. Jadi, pada usia sembilan bulan, tentu macam-macam jenis makanan yang Mommy sudah beri kepada si comel untuk mencuba, betul tak? Makanan bayi 9 bulan selalunya tak banyak beza dengan apa yang diberi waktu Mommy mula-mula perkenalkan solid food semasa si manja berusia enam bulan.
Tambahan pula, bayi pada usia sembilan bulan masih lagi menyusu ibu atau susu formula, jadi makanan separa pejal belum lagi menjadi punca nutrisi utama. Walau bagaimanapun, masih penting bagi Mommy untuk memberi apa sahaja jenis makanan yang sesuai supaya si manja dapat mengenali pelbagai jenis rasa dan tekstur makanan.
Sesetengah ibu bapa memilih untuk memulakan dengan makanan yang dikisar apabila mula-mula memperkenalkan makanan pepejal. Ada juga yang memilih cara ‘baby-led weaning‘ (BLW) dimana bayi diberikan makanan yang telah dimasak dalam bentuk asal supaya bayi dapat menerokainya dan belajar sendiri cara untuk makan makanan tersebut.
Jika bayi Mommy memakan makanan pejal dalam bentuk yang telah dikisar, American Academy of Pediatrics (AAP) mengesyorkan supaya bayi ditawarkan makanan dengan tekstur yang berbeza-beza dan juga makanan dalam bentuk asal yang dapat membantu bayi belajar mengunyah sekitar umur 8 bulan.
Beberapa jenis makanan yang bagus untuk diberikan pada bayi 9 bulan termasuklah buah-buahan seperti pisang dan sayuran seperti brokoli yang senang untuk dipegang oleh bayi. Makanan yang masih perlu dielakkan adalah seperti garam, gula, daging dan telur mentah, dan juga madu.
Jom tengok beberapa resepi makanan bayi 9 bulan terbaik untuk membantu anak Mommy mendapatkan semua nutrien yang diperlukan.
1. Puri Ikan, Lobak Merah, dan Daun Bawang
Bahan-bahan:
- 150g ikan (ikan isi putih atau salmon)
- 3 batang kecil lobak merah
- 1 batang daun bawang / leek
Cara-cara:
- Rebus air dalam periuk menggunakan api sederhana besar.
- Letakkan ikan, lobak merah dan daun bawang ke dalam bakul pengukus dan kukus selama 15 minit, bertutup.
- Selepas dikukus, biarkan sejuk seketika.
- Masukkan semua bahan-bahan dalam pengisar dan kisar sehingga sedikit lumat.
2. Daging Rebus (Beef Stew)
Bahan-bahan:
- 200g daging lembu tanpa tulang, dipotong dadu
- 2 sudu kecil minyak zaitun
- 1/4 bawang kecil, dipotong
- 1 biji lobak merah, dipotong dadu
- 1 biji kentang kecil, dipotong dadu
- 1 cawan air
Cara-cara:
- Panaskan minyak zaitun dengan api perlahan.
- Goreng daging lembu selama 2-3 minit.
- Masukkan bawang, lobak merah, kentang, dan air.
- Kacau sehingga air mendidih.
- Perlahankan api dan biar daging masak selama 1 jam lebih.
- Masukkan semua bahan-bahan dalam pengisar dan kisar sehingga sedikit lumat.
3. Puri Pisang Dan Quinoa
Bahan-bahan:
- 1/2 biji pisang
- Secubit serbuk kayu manis
- 3 sudu besar quinoa (dimasak mengikut arahan paket)
- 1 sudu besar yogurt
Cara-cara:
- Lumatkan pisang di dalam bekas atau mangkuk.
- Masak quinoa mengikut arahan di paket.
- Campurkan quinoa, pisang, yogurt, dan serbuk kayu manis.
- Kacau hingga sebati.
4. Snek Sayur
Bahan-bahan:
- 1 biji lobak merah
- 1 biji labu
- 1 biji ubi kayu manis
- 1 biji zucchini
Cara-cara:
- Potong sayur-sayuran diatas dalam bentuk nipis dan panjang supaya bayi boleh pegang.
- Kukus sayur selama 5 hingga 7 minit supaya masak tetapi tidak terlalu lembik.
- Hidang sayuran dengan menyusun mengikut warna untuk menarik perhatian bayi.
5. Lempeng Oat (Oats Pancake)
Bahan-bahan:
- 1/4 cawan oat
- 1 pisang saiz sederhana
- 1/4 cawan susu
Cara-cara:
- Lenyekkan pisang dalam mangkuk dan masukkan susu.
- Masukkan oat kedalam campuran tadi dan kacau hingga sebati.
- Panaskan minyak dalam kuali dan sendukkan satu senduk adunan tadi ke atas kuali.
- Masak dalam 30 saat dan terbalikkan. Masak sehingga keperang-perangan.
6. Puri Yogurt, Ceri, Dan Pudina
Bahan-bahan:
- 2 cawan buah ceri, dibuang bijinya
- 3 sudu besar air
- 1/2 sudu kecil daun pudina, dipotong halus
- 1 cawan yogurt penuh krim
Cara-cara:
- Dalam periuk kecil, masukkan ceri dan air dan masak dengan api sederhana selama 10 minit atau sehingga lembut dan kacau selalu. Biarkan sejuk sedikit.
- Menggunakan sudu berlubang, pindahkan ceri ke pengisar tanpa air rebusan tadi.
- Masukkan daun pudina dan kisar selama 1-2 minit atau sehingga licin.
- Tambah air rebusan tadi sedikit demi sedikit jika perlu.
- Campurkan dua sudu besar puri ceri tadi dengan dua sudu besar yogurt dan kacau hingga sebati.
7. Puri Brokoli, Epal, Dan Bayam
Bahan-bahan:
- 3 biji epal saiz kecil
- 1 cawan bunga brokoli
- 1 cawan penuh bayam
Cara-cara:
- Kukus brokoli dan epal menggunakan cara yang biasa digunakan selama tujuh minit.
- Selepas tujuh minit, masukkan pula bayam dan kukus lagi selama dua minit. Biarkan sejuk sedikit.
- Kisar semua bahan-bahan tadi dengan pengisar. Campurkan dengan sedikit air atau susu ibu jika perlu.
8. Telur Hancur (Scrambled Eggs)
Bahan-bahan:
- 2 biji telur
- 2 sudu kecil yogurt Greek
- 2 sudu kecil mentega
Cara-cara:
- Campurkan telur dan yogurt dalam mangkuk dan kacau hingga sebati.
- Panaskan mentega dalam periuk.
- Masukkan adunan telur dan yogurt tadi dan masak telur sehingga masak.
9. Puri Buah Mangga, Blueberry, Dan Avokado
Bahan-bahan:
- 1/2 cawan blueberry
- 1/4 biji mangga, dipotong
- 1/4 biji avokado, dipotong
Cara-cara:
- Gunakan pengisar untuk mengisar semua bahan-bahan dan sediakan.
- Untuk tekstur yang lebih kasar, lumatkan menggunakan garpu di dalam mangkuk.
10. Pasta Keju
Bahan-bahan:
- 100g pasta macaroni
- 10g mentega
- 1 sudu kecil tepung
- 1/4 cawan susu
- 1/4 cawan krim
- 1/2 cawan keju
Cara-cara:
- Masak pasta mengikut arahan paket.
- Dalam periuk kecil, panaskan mentega kemudian masukkan tepung dan kacau.
- Masukkan susu dan krim perlahan-lahan. Kacau sehingga mendidih.
- Perlahankan api dan masukkan keju.
- Masukkan pasta yang telah dimasak.
- Setelah masak, biarkan sejuk seketika dan kisar dalam pengisar.
Resepi-resepi diatas boleh diselaraskan mengikut citarasa Mommy atau bayi. Mommy juga boleh mengubah teksturnya mengikut perkembangan si manja. Ia juga mungkin bergantung kepada bayi Mommy sama ada sudah mempunyai gigi atau tidak pada usia ini. Selamat mencuba!