Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Resepi Makanan Bayi Enam Bulan Yang Mudah, Ringkas & Berkhasiat

makanan bayi enam bulan

Usia bayi enam bulan merupakan saat yang sangat mengujakan untuk ibu bapa. Sebab apa? Ketika ini lah bayi kita dah boleh mula makan beberapa jenis makanan, atau dipanggil solid foods. Ye mommy, sebelum usia enam bulan, bayi awak masih tak boleh makan solid foods lagi tau! Bahaya! Dibawah disenaraikan beberapa resepi makanan bayi enam bulan yang ringkas, mudah, dan berkhasiat untuk si manja anda.

  • Bubur Kosong 

Paling ringkas, mudah dan kena dengan tekak Melayu gitu. Senang je nak buat bubur kosong untuk bayi kita. Guna beras instant yang telah dikisar halus, kemudian campurkan dengan air dan gaul biar sebati atau sedikit likat.

Highlighted


Dibawah merupakan cara untuk mommy buat serbuk beras ‘instant’ yang akan memudahkan mommy (dan encik suami) buat bubur untuk si manja nanti.

CARA SEDIAKAN

  1. Basuh beras dan toskan seperti kita basuh beras untuk tanak nasi. Sebagai makanan bayi, boleh ambil dalam kuantiti yang lebih sedikit.
  2. Goreng dalam kuali tanpa minyak dengan api yang perlahan. Jangan kuat ye api. Takut hangus nanti.
  3. Goreng sampai beras kering dan berubah warna keperangan.
  4. Blend beras tersebut sampai halus! Blend dan tapis beras tersebut beberapa kali hingga tesksturnya halus seperti bedak bayi.
  • Labu & Kobis Bunga Kukus

CARA SEDIAKAN

  1. Labu dipotong dadu dan kobis bunga dipotong kecil, dan rebuskan kedua-dua bahan.
  2. Kemudian kisar bahan-bahan yang direbus sehingga lumat – kisar, tapis, kisar dan tapis beberapa kali untuk mendapatkan tekstur yang paling halus.
  3. Tambah 3-4 titik ‘extra virgin coconut oil’ sebagai penambah rasa dan kalori dalam makanan bayi.

Puri Buah-Buahan

  • Buah Naga + Epal 

CARA SEDIAKAN

  1. Potong dadu buah naga dan juga buah epal, kemudian kisarkan kedua-dua bahan hingga lumat.
  2. Tapis bahan-bahan yang dikisar. Untuk mendapatkan tekstur yang paling halus, kisar dan tapis bahan-bahan tersebut beberapa kali.
  • Avokado 

Puri buah avokado ni lebih istimewa berbanding puri yang lain. Ada rasa krim sikit untuk resepi puri avokado ni.

CARA SEDIAKAN

  1. Belah avokado dan keluarkan bijinya.
  2. Ambil isi avokado dan lenyek menggunakan garfu.
  3. Tambah sedikit susu formula atau susu badan untuk menambahkan rasa berkrim. Kemudian teruskan melenyek isi avokado tersebut hingga lumat.
  • Puri Epal, Tembikai Susu atau Buah Pir

Hanya perlukan buah-buahan yang diinginkan, dibersihkan, dibuang kulit dan bijinya.

CARA SEDIAKAN

  1. Potong buah yang telah dibersihkan kepada saiz sederhana.
  2. Tuang air ke dalam periuk, dan biarkan sehingga mendidih.
  3. Masukkan buah yang telah dipotong ke dalam periuk.
  4. Tutup dan reneh selama 10 minit atau sehingga buah menjadi lembut.
  5. Kemudian, lenyek buah tersebut dengan menggunakan  garpu sehingga lumat.

Untuk rasa yang lebih berkrim dan sedap, campurkan sedikit susu ibu dalam puri ini.

  • Puri Pisang

CARA SEDIAKAN

  1. Buang kulit dan bersihkan pisang. Kemudian lenyekkan pisang tersebut.
  2. Panaskan adunan selama 25 saat atau lebih untuk melembutkan isi pisang.
  3. Cairkan adunan dengan sedikit air masak atau susu.
  • Puri keledek (sweet potato)

  1. Potong keledek bersaiz dadu, dan kemudian kukus bahagian yang telah dipotong.
  2. Angkat potongan yang telah lembut dan kisarkan sehingga halus.
  3. Kisar dan tapis beberapa kali sehingga tiada ‘urat’ dari keledek.
  4. Tambahkan sedikit air atau susu ibu dan puri keledek sedia untuk dihidang!
  • Puri lobak

  1. Potong lobak kepada saiz kecil dan kemudian kukuskan.
  2. Tunggu sehingga lembut dan kemudian kisarkan sehingga halus.
  3. Kisar dan tapis beberapa kali hingga teksturnya halus dan lumat.
  4. Tambahkan sedikit air atau susu ibu untuk menambahkan konsistensi yang diinginkan.
  • Puri kurma

  1. Buang biji kurma dan kemudian kukuskan isi kurma.
  2. Setelah isi kurma lembut, kisarkan dan tapis sehingga halus.
  3. Kisar dan tapis beberapa kali untuk mendapatkan tesktur yang sesuai untuk bayi anda.
  4. Jangan lupa untuk tambah sedikit air atau susu ibu sebelum dihidangkan!

Sebagai penambah perisa untuk makanan bayi enam bulan Mommy, Mommy boleh sediakan stok-stok seperti ini:

Stok Penambah Perisa

  • Stok Ayam & Ikan Bilis

Hidangan ini boleh disediakan bersama bubur bayi sebagai penambah perisa.

Bahan-bahan:

800g tulang ayam bahagian dada

1 1/2 cawan ikan bilis

4 cawan air

CARA SEDIAKAN

  1. Bersihkan tulang ayam – buang lemak, kulit, darah beku dan sebagainya daripada tulang ayam. Buang kepala dan isi perut ikan bilis.
  2. Didihkan 4 cawan air, dan masukkan tulang ayam dan ikan bilis yang telah dibersihkan. Sebaik sahaja mendidih, reneh ayam selama 45 minit atau sehingga pati tinggal separuh daripada jumlah asal.
  3. Tapis bahan-bahan tersebut dan biarkan ramuan sejuk. Kemudian baru masukkan ramuan tersebut ke dalam peti sejuk semalaman. Jangan lupa untuk buang lapisan lemak di bahagian atas sebelum dihidangkan.

Tips: Stok boleh disimpan di dalam peti sejuk selama seminggu atau disejuk beku selama sebulan.

  • Stok Sayuran 

Bahan-bahan:

1/2 cawan lobak merah yang dipotong kecil dan dikupas kulit

2 biji ubi kentang dipotong dadu

1 cawan daun sawi yang dipotong kasar

1 1/4 cawan air

CARA SEDIAKAN

  1. Basuh bersih kesemua bahan-bahan. Didihkan air dan rebus ubi kentang dan lobak dahulu sehingga lembut. Kemudian, masukkan daun sawi selama 3 minit.
  2. Tapis air rebusan sayur-sayuran dan tekan sayuran menggunakan sudu untuk mengeluarkan lebihan air.
  3. Hidangkan dalam cawan bayi atau tambahkan bersama bubur nasi bayi.

Untuk memastikan bayi Mommy mendapatkan nutrisi yang secukupnya, pastikan makanan bayi enam bulan anak anda mempunyai empat nutrisi seperti di bawah:

Nutrisi Yang Diperlukan Bayi Enam Bulan

1. Protein – Protein dari ikan salmon, ayam dan daging dapat membantu dalam memelihara dan memperbaiki jaringan tubuh pada bayi serta mengawal fungsi tubuh.

2. Lemak – Lemak yang diperoleh daripada ikan baik sebagai sumber tenaga dan perkembangan bayi enam bulan.

3. Karbohidrat – Merupakan sumber tenaga pertama yang diperoleh daripada susu ibu. Karbohidrat yang diperlukan bayi enam bulan adalah antara 68.8 gram hingga 89.4 gram.

4. Vitamin dan mineral – Vitamin A, B, K, E, D dan Vitamin C boleh didapati dalam sayuran seperti bayam, labu, tomato, dan brokoli. Buah-buahan seperti pisang, mangga, oren, betik, avokado, epal dan pir juga mengandungi vitamin-vitamin yang diperlukan untuk tumbesaran bayi terutama pada usia enam bulan.

Cara Menyimpan Makanan Bayi

Bagi Mommy yang bekerja, Mommy boleh sediakan makanan bayi dalam jumlah yang banyak, dan disimpan di bahagian sejuk beku. Paling mudah, sediakan puri-puri diatas ke sebagai ‘frozen food stock’.

Simpan puri tersebut dalam bekas ‘freezer food tray’ yang mempunyai penutup. Kemudian, labelkan tarikh dan masa untuk setiap makanan tersebut.

Makanan tersebut tidak tercemar, dan tidak mengurangkan nutrisi yang terkandung dalam makanan.

Untuk menghidangkan ‘frozen food stock’ tadi, pindahkan bahagian yang ingin dihidangkan ke bahagian peti sejuk biasa atau rendamkan dalam sedikit air suam untuk mencairkannya.

Selamat mencuba!

Jom ke Motherhood.com.my Baby Warehouse Sale untuk mendapatkan barangan bayi pada harga terendah!