Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Jenis-jenis Makanan Ketika Pantang Selepas Bersalin Czer (C-section)

Kredit Foto: Adobe Stock

Bagi ibu-ibu yang baru bersalin, tak kisahlah samada anda bersalin normal mahupun secara C-section (Melayu kita panggil Czer je), anda dinasihatkan untuk berpantang.

Berpantang ni sebenarnya penting untuk ibu-ibu selepas bersalin ya. Ia untuk memastikan anda kekal sihat dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan mengundang bahaya terhadap badan anda. 

Lebih lagi kalau anda bersalin Czer. Takkanlah nak lakukan benda-benda berat. Tak takut ke kalau jahitan terbuka atau luka pembedahan dijangkiti kuman?

Bersabarlah wahai ibu-ibu, berpantang itu sekejap sahaja. Kesihatan yang baik adalah untuk selamanya betul tak?

Penjagaan Czer

Highlighted

Kredit Foto: Adobe Stock

Bersalin secara czer, sebenarnya bukan sahaja memberi kesan kepada fizikal si ibu, malah ia juga boleh memberi kesan besar kepada kesihatan mental ibu beberapa minggu selepas itu. 

Untuk mempercepatkan proses pemulihan, ibu-ibu dinasihatkan untuk mencuba pelbagai cara gaya hidup sihat terutamanya dari segi pemakanan.

Sangat penting untuk ibu-ibu tersebut untuk menjaga makanan pantang selepas bersalin Czer.

Tips Penjagaan Selepas Bersalin Czer

Kredit Foto: Adobe Stock

1) Banyakkan berehat

Rehat sangat penting untuk pemulihan dari sebarang pembedahan. Namun bagi kebanyakan ibu bapa yang baru sahaja ada anak pertama, rehat adalah hampir mustahil dengan bayi yang baru lahir di rumah. 

Anda harus selalu cuba tidur ketika bayi sedang tidur, atau mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga lain yang dipercayai supaya anda mendapat tidur yang cukup.

2) Minum banyak air dan makan dengan cukup

Ini adalah penting dan selalu akan memberi manfaat kepada anda dalam kehidupan seharian dan juga penting semasa anda sedang melalui proses pemulihan dari pembedahan Czer.

Menjaga penghidratan akan memastikan tubuh anda berfungsi dengan baik dan makan dengan cukup akan memberi tubuh anda semua makronutrien dan mikronutrien yang diperlukannya untuk kembali normal.

3) Melegakan rasa sakit

Doktor yang merawat anda harus menyatakan mengenai apa yang boleh digunakan atau kaedah yang boleh dicuba untuk mengurangkan rasa sakit pada kawasan pembedahan ketika anda berada di rumah.

Ubat penahan sakit yang paling biasa digunakan untuk c-section adalah ibuprofen dan parasetamol yang kedua-duanya boleh didapati di pasar raya dan farmasi.

Tapi ingat, ubat ini hanya disyorkan untuk diambil jika anda tidak dapat menahan sakit yang melampau.

4) Jaga luka anda

Seperti apa sahaja pembedahan sekalipun, anda perlu memastikan luka dan jahitan pembedahan tersebut dijaga dengan rapi dan teliti untuk mengelakkan jangkitan dan penyembuhan yang cepat.

Anda boleh melakukan ini dengan memastikan kawasan tersebut tetap kering dan bersih. 

Dan pastikan untuk tidak menggunakan sebarang produk pada luka pembedahan tanpa mendapat nasihat doktor terlebih dahulu.

5) Senaman ringan

Kredit Foto: Adobe Stock

Berjalan dengan perlahan dan berhati-hati setiap hari dapat membantu badan dan minda anda merasa lebih baik dan cerdas – sebagai contoh, anda boleh memulakan dengan berjalan kaki lima minit di sekitar rumah anda.

Anda mungkin juga ingin meminta ahli fisioterapi di hospital untuk memberi anda beberapa idea senaman yang baik semasa anda mula pulih.

Makanan Yang Disyorkan & Harus Dielakkan Selepas Bersalin Czer

Selepas pembedahan Czer, ini adalah masa untuk memulihkan semula badan anda dari keletihan mental dan fizikal. Sebab itu, pantang bersalin Czer ini sangat penting dan perlu dititikberatkan dengan menjaga pemakanan diri sendiri dan bayi yang menyusu badan. 

Pemakanan yang bagus untuk proses penyembuhan dan meningkatkan tenaga selepas caesarean termasuklah makanan yang mengandungi protein yang tinggi, vitamin, berkarbohidrat dan zat besi sama seperti diambil semasa mengandung.

Makanan Yang Boleh Dimakan Selepas Czer

1) Produk tenusu rendah lemak

Kredit Foto: Adobe Stock

Susu, yogurt dan keju adalah sumber protein, kalsium, Vitamin B dan Vitamin D yang sangat baik untuk ibu menyusu. Ambil sekurang-kurangnya 50ml setiap hari.

2) Bijirin

Roti bijirin, beras perang dan gandum menyediakan kalori yang diperlukan terutama bagi anda yang menyusukan si kecil. Malah ia juga meningkatkan tahap tenaga kerana mempunyai nutrien dan vitamin yang diperlukan.

3) Buah-buahan dan sayur-sayuran

Buah-buahan seperti oren dan blueberries kaya dengan antioksidan dan Vitamin C yang bagus untuk proses pemulihan selepas bersalin czer. 

Manakala, sayuran hijau seperti brokoli, bayam, kekacang dan daun fenugreek juga mengandungi sumber Vitamin, kalsium dan zat besi yang bagus untuk memulihkan tubuh selepas czer.

4) Oat

Kredit Foto: Adobe Stock

Mengandungi serat yang tinggi bagi melegakan anda dari sembelit. Anda boleh menikmatinya bersama susu, buah-buahan kering atau kekacang.

5) Kunyit

Kunyit dalam hidangan mengandungi Vitamin B6, Vitamin C, serat, kalium dan magnesium. Ia membantu mengurangkan keradangan dan menyembuhkan luka dalaman serta luaran dengan cepat. Anda juga boleh masukkan setengah sudu kunyit dalam segelas susu panas dan minum setiap hari. 

6) Kacang badam

Kacang badam atau almond kaya dengan sumber karbohidrat, Vitamin B12, Vitamin E, serat dan mineral seperti kalsium, zink dan kalium. Anda boleh makan dengan cara goreng atau mentah mengikut kesukaan. 

7) Halia dan bawang putih

Kredit Foto: Adobe Stock

Kedua-dua ini membantu pencernaan dan mengurangkan berat badan selepas mengandung. Anda boleh menambah sedikit halia dan bawang putih dalam makanan anda semasa memasak . 

8) Bijan putih dan hitam

Bijan kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus dan magnesium. Ia dapat mengawal pergerakan usus dengan baik.

Makanan Yang Dilarang Selepas Pembedahan Czer

Makanan berlemak dan bergoreng merupakan antara kumpulan makanan berpantang Czer kerana kedua-dua jenis makanan ini tidak bagus untuk proses pemulikan luka dalaman selepas bersalin.

Malah, ia hanya akan menambahkan berat badan anda sahaja. 

Selain itu, elakkan juga makanan pedas kerana ia boleh menyebabkan masalah gastrik. Bahkan, bayi juga turut terkena kesan buruk kerana menyusu badan.

Berikut merupakan beberapa makanan berpantang czer atau dilarang yang harus diberi perhatian:

Kredit Foto: Adobe Stock
  • Minuman berkarbonat yang boleh menyebabkan gas berlebihan dan kembung perut. 
  • Minuman berkafein seperti kopi dan teh perlu diambil secara sederhana kerana kafein berlebihan dalam tubuh boleh menyebabkan masalah pertumbuhan pada bayi anda. 
  • Mengelak minuman beralkohol kerana boleh menjejaskan keupayaan anda menghasilkan susu badan dan membawa kepada masalah perkembangan si kecil. 
  • Elakkan makanan yang boleh menyebabkan angin seperti kobis, ubi dan lain-lain. 
  • Jangan ambil makanan bergoreng kerana sukar dicerna terutamanya pada hari pertama bersalin dan ia juga boleh menyebabkan senak perut. 
  • Jangan ambil nasi putih sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari selepas melahirkan terutama jika anda mengalami GDM. Tukar dengan beras gandum kerana ia membekalkan tenaga dan kalori tambahan. 
  • Elakkan minuman dan makanan sejuk kerana ia boleh memberi kesan buruk terhadap tubuh ibu.

Bukanlah tidak boleh untuk anda menjamah makanan ini selepas mempunyai anak, tetapi, cuba untuk elakkan sepanjang proses berpantang.

Semoga perkongsian jenis makanan berpantang Czer ini bermanfaat untuk ibu-ibu semua.