Para ibu terutamanya yang sedang membesarkan bayi sulung tentu mencari-cari menu dan pemakanan yang sesuai untuk diberikan kepada bayi apabila mencecah umur 6 bulan. Pada usia ini, sistem badan bayi anda telah pun matang untuk menerima makanan lain selain dari susu.
Corak pemakanan bayi anda kini harus diolah untuk mencapai tahap keperluan badannya. Untuk pengenalan awal, para ibu dinasihatkan untuk memulakan pemberian makanan pelengkap yang separa pejal seperti puri buah-buahan dan sayur-sayuran.
Sebaiknya, para ibu hendaklah membuatnya sendiri tanpa menambahkan sebarang bahan perasa, gula atau garam. Perkenalkan lah bayi anda kepada rasa semula jadi makanan baru mereka. Dalam buku Indahnya Dunia Hamilku, terdapat pelbagai resepi puri yang para ibu boleh rujuk sebagai inspirasi. Penyediaannya yang mudah dan ringkas pasti menyenangkan urusan anda.
Pelbagai Resepi Makanan Pertama Bayi
Resepi ini sesuai untuk diperkenalkan kepada bayi anda sebelum makanan pejal diberikan. Ini untuk membiasakannya dengan perubahan pada pola pemakanannya dan penerimaan makanan lain selain dari susu. Usia yang ideal ialah antara 6 hingga 9 bulan.
Puri Beras Perang
Bahan-bahannya:
- 1/4 cawan (lebih kurang 1 oz) beras perang
- 1 cawan (8 fl oz) air
- sedikit susu ibu/susu formula
Cara penyediaan:
- Kisarkan beras perang.
- Masak air sehingga mendidih.
- Masukkan beras perang yang telah dikisar di dalam air yang mendidih dan kacau secara berterusan.
- Perlahankan api dan renehkan selama 10 minit. Kacau tanpa henti
- Masukkan susu secukupnya.
Para ibu boleh juga merendamkan beras perang semalaman atau sejam sebelum penyediaan untuk melembutkan lagi tekstur puri.
Puri Labu Manis
Bahan-bahannya:
- Sebiji labu manis
- Air secukupnya
Cara penyediaan:
- Kupaskan buah labu. Belahkan pada 2 bahagian. Ambil separuh dan buangkan bijinya.
- Potong pula kepada kiub-kiub kecil.
- Kukusnya sehingga lembut.
- Kisarkan labu di dalam pengisar.
- Tambahkan air jika perlu.
Rasa labu yang sememangnya manis dapat merangsang deria rasa bayi anda. Puri labu ini boleh dicampur bersama puri yang lain yang kurang kemanisannya sebagai penambah rasa.
Puri Lobak Merah
Bahan-bahannya:
- 6 batang lobak merah
Cara penyediaan:
- Kupaskan semua lobak merah dan potongkan setebal 1/2 inci.
- Kukus dan rebuskan lobak merah di dalam periuk yang bertutup selama 20 minit atau sehingga ia lembut.
- Keluarkan lobak merah dari periuk dan simpan air rebusannya.
- Kisarkan lobak merah sehingga hancur.
- Gunakan air rebusan tadi untuk mendapatkan tekstur puri yang ideal. Masukkannya sedikit demi sedikit ke dalam pengisar.
Untuk menjimatkan masa dan memudahkan urusan para ibu, puri yang telah sedia dimasak ini boleh dibekukan untuk penggunaan lain masa. Letakkannya di dalam bekas kiub air batu dan simpankan di bahagian sejuk beku.
Apabila hendak digunakan, nyahbekukanlah kiub ini seberapa bilangan yang sesuai dengan plan penyediaan anda. Sebaiknya, gunakanlah kiub lobak merah beku ini dalam tempoh seminggu.
Pisang Lecek
Bahan-bahannya:
- Sebiji pisang masak
- Air
- Susu ibu/susu tepung secukupnya
Cara penyediaan:
- Buangkan kulit dan potong pisang dalam bentuk dadu-dadu kecil.
- Lecekkannya dalam bekas yang bersih menggunakan garfu.
- Tambahkan air atau susu untuk mendapatkan kelikatan yang diingini.
Untuk menyediakan resepi ini, pengisar tidaklah diperlukan kerana tekstur pisang sudah cukup lembut. Namun, untuk menyediakan puri pisang, pisang tersebut hendaklah dikisar terlebih dahulu. Para ibu hanya perlu mengolah resepi di atas sewajarnya.
Tauhu Puri Mangga
Bahan-bahannya:
- Sekeping tauhu
- Sebiji mangga masak
Cara penyediaan:
- Kukus tauhu sehingga masak. Ketepikannya.
- Kupas, potong dan kisarkan mangga untuk dijadikan puri tanpa perlu menambah air.
- Potongkan tauhu dalam saiz kecil, sesuai dengan usia bayi anda. Letakkannya di dalam mangkuk bayi.
- Tuangkan puri mangga ke atas potongan tauhu.
Puri Ubi Keledek Manis
Bahan-bahannya:
- Sebiji ubi keledek manis yang bersaiz sederhana
- Susu ibu/susu formula secukupnya
Cara penyediaan:
- Kupaskan kulit keledek manis dan potongkan kepada beberapa bahagian.
- Kukuskan selama 5 minit atau sehingga lembut.
- Masukkan potongan keledek manis ke dalam pengisar dan kisarkan bersama susu ibu/susu formula sedikit demi sedikit untuk mencapai kelikatan yang ideal.
Para ibu disarankan untuk mengukus keledek manis berbanding merebusnya supaya nutrien dan kemanisannya terjaga. Jika keledek manis tersebut sudah pun masak dan lembut, para ibu bolehlah membuat keledek manis lecek.
Dengan hanya menggunakan garfu, lecekkan keledek manis sehingga lembik. Jika perlu, tambahlah susu seadanya. Ubi keledek manis juga boleh dijadikan snek yang berkhasiat untuk bayi. Bakar sahaja keledek manis bersama kulitnya. Kupaskan kulitnya setelah masak dan berikan lah isinya kepada bayi anda.
Namun, jika bayi anda masih tidak pandai untuk memakannya secara kering begitu, tunggu lah untuk beberapa tempoh lagi dan perkenalkan lah semula kepadanya.
Puri Barli
Bahan-bahannya:
- Sesudu barli
- Air
- Susu ibu/susu formula
Cara penyediaan:
- Basuh barli dengan bersih.
- Rebuskan barli di dalam periuk yang bertutup dengan kuantiti air yang secukupnya.
- Setelah mendidih dan barli telah pun lembut, tapis barli dan ketepikan air rebusannya.
- Kisarkan barli bersama air rebusannya untuk mencapai kelikatan yang sesuai.
- Untuk menambahkan sedikit rasa berlemak, kurangkanlah kuantiti air rebusan dan gantikan dengan susu ibu/susu formula secukupnya.
Snek Berkhasiat untuk Bayi
Apabila para ibu memperkenalkan makanan separa pejal kepada bayi, snek yang berkhasiat juga wajar diberikan untuk mempelbagaikan lagi makanan pertama bayi anda. Untuk permulaan, sebagai contoh, jika bayi anda telah pun selesai menyusu dan kelihatan masih tidak puas, para ibu bolehlah mencuba memberikan snek kepada bayi.
Antara contoh snek yang berkhasiat untuk bayi ialah dadih susu dan biskut beras bayi. Yang terbaik adalah hasil buatan anda sendiri. Namun, jika terdapat sebarang kekangan, para ibu usahlah khuatir.
Di pasaran, terdapat pelbagai jenis biskut bayi yang berkhasiat untuk si manja. Semakin meningkatnya usia bayi, para ibu bolehlah menambahkan menu snek berkhasiat yang lain sesuai dengan umurnya seperti puding kastad, keju lembut dan roti.
Dalam memberikan makanan tambahan, harus diingatkan bahawa, para ibu hendaklah sentiasa mengawasi penerimaan bayi terhadapnya. Anda tidak seharusnya memaksa bayi anda tetapi cubalah dengan pelbagai pendekatan untuk memujuknya.
Para ibu hendaklah faham bahawa setiap bayi mempunyai selera yang berbeza. Makanan tambahan yang digemari bayi pertama anda belum tentu menjadi pilihan bayi anda yang seterusnya. Biasakanlah bayi anda secara berperingkat dan dengan percubaan yang berkali-kali dengan resepi yang berbeza, anda mungkin akan mengetahui pilihan kegemaran bayi anda. Semoga usaha para ibu berhasil!
Dapatkan keperluan makanan bayi anda di Motherhood.com.my hari ini!