Memang ramai yang mengalami masalah kurang darah merah ni, terutamanya ibu mengandung. Yelah apabila sedang hamil, badan kita bukan sahaja perlu hasilkan sel darah merah untuk diri sendiri tetapi untuk si kecil dalam kandungan juga.
Simptom Kurang Darah Merah
Biasanya, Mommy boleh tahu dan perasan je simptom kurang darah merah pada diri sendiri dan orang lain. Antara simptom yang dijelaskan oleh Dr Zubaidi dan Kementerian Kesihatan Malaysia adalah:
- Kerap letih
- Badan terasa lesu dan lemah
- Berdebar-debar
- Rasa sesak nafas
- Kurang fokus
- Wajah kelihatan pucat
- Mudah nak marah
- Pening kepala
Kalau simptom yang lagi teruk pula:
- Kuku menjadi rapuh dan mudah patah
- Mata putih kelihatan sekan-akan biru
- Rasa pening apabila berdiri dari duduk
- Degupan jantung menjadi laju
Punca Kurang Darah Merah
Apa sebenarnya punca kekurangan darah merah atau dikenali juga sebagai anemia ni ya? Menurut penjelasan saintifik, masalah kurang darah merah ini disebabkan kurangnya zat besi di dalam badan.
Pentingnya zat besi ini, ia diperlukan untuk menghasilkan sel darah merah dalam badan kita. Jadi bayangkan jika paras zat besi dalam badan berkurangan?
Badan kita tidak dapatlah menghasilkan sel darah merah yang bermutu. Ini menyebabkan badan kita tak dapat berfungsi secara optimum disebabkan badan kita tak cukup sel darah merah untuk bawa oksigen ke seluruh badan.
Sebab itulah badan jadi cepat letih, lesu, muka pun pucat dan ada yang akan pening kepala dan rasa berdebar-debar.
10 Jenis Makanan Untuk Tambah Darah
Masalah kurang zat besi ini boleh terjadi disebabkan oleh beberapa situasi. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, ia terjadi kerana badan Mommy kurang bekalan zat besi ataupun badan Mommy kurang keupayaan untuk menyerapnya.
Biasanya untuk mengatasi masalah ini, kita disarankan untuk mengambil jenis-jenis makanan tertentu yang dapat meningkatkan bekalan zat besi dalam tubuh.
Antaranya adalah:
1. Hati dan daging organ dalaman lain
Mesti selalu dengar kan? Kita disarankan untuk mengambil hati haiwan untuk meningkatkan darah merah dalam badan?
Ini adalah fakta kerana hati dan daging organ dalaman yang lain seperti otak dan jantung, adalah kaya dengan zat besi ya.
Bukan tu je, ia juga tinggi dengan selenium dan vitamin B yang dapat mempercepatkan penghasilan sel darah merah.
2. Kerang
Kalau makanan laut pula, kerang lah yang paling popular kan? Ia kaya dengan zat besi tetapi berbeza-beza pada jenis dan tempat kerang itu diambil ya.
3. Daging merah
Orang tua-tua pernah juga cakap kan, kalau mereka tengok muka anak cucu pucat tu, suruh makan daging merah lebih sikit untuk tambah darah.
Petua tu memang berasas ya. Daging merah seperti daging lembu dan daging kambing memang mempunyai kandungan zat besi yang tinggi.
Untuk 100 gram daging merah, terkandung sekitar 2.7 miligram zat besi di dalamnya. Bahkan, ada beberapa penemuan yang mengaitkan antara mereka yang kekurangan zat besi dengan kekerapan pengambilan daging merah.
4. Daging putih (dada ayam)
Bukan daging merah je, daging putih seperti ayam dan burung pun boleh meningkatkan paras zat besi dalam tubuh.
Tetapi bahagian yang digalakkan adalah bahagian dada ayam. Selain daripada kaya dengan zat besi, bahagian ini mempunyai kadar lemak yang rendah dan berkhasiat.
5. Tauhu
Selalunya, mereka yang kurang gemar dengan daging merah ataupun vegetarian, mereka mengambil tauhu sebagai alternatif kepada daging.
Tak salah pun, sebabnya memang tauhu mempunyai zat besi yang tinggi dan khasiat-khasiat lain seperti isoflavon. Jom baca resepi tauhu sumbat untuk snek minum petang mommy!
6. Kekacang
Mommy juga boleh tingkatkan paras zat besi dalam badan melalui pengambil kacang-kacang. Kekacang seperti kacang hitam dan kacang soya mempunyai zat besi yang tinggi yang dapat membantu untuk menambah darah merah dalam badan.
7. Bayam
Kalau sayur-sayuran, sayur bayamlah yang paling terkenal sebagai sayur penambah darah merah kan? Mana tak nya, sayur hijau ini memang sarat dengan zat besi. Yang membuatkan ia lagi istimewa ialah, ia juga tinggi dengan vitamin C yang mana dapat membantu badan untuk menyerap zat besi dengan lebih baik.
8. Ikan tuna
Selain kerang, ikan pun makanan laut yang kaya dengan zat besi, terutamanya ikan tuna. Jika tiada ikan tuna, ikan sardin pun tinggi kandungan zat besinya.
9. Brokoli
Bukan bayam je sayuran hijau yang mengandungi zat besi yang tinggi, sayur brokoli pun kaya dengan zat besi dan vitamin C juga!
10. Kurma
Buah kurma memang berkhasiat tinggi kan? Untuk Mommy yang mengalami masalah kurang darah merah, cubalah makan kurma beberapa biji.
Ia dapat memberi tenaga segera dan membantu penghasilan darah merah dalam badan kita tau.
Makanan Tambah Darah Untuk Ibu Mengandung
Untuk ibu mengandung pula, pencegahan dan penjagaan daripada masalah kurang darah merah ni lagilah penting. Masalah kurang darah merah akan memberi kesan bukan sahaja kepada ibu, tetapi kepada bayi yang dikandung.
Seriusnya kesan kurang darah merah untuk ibu mengandung ni, boleh gugur kandungan tau. Jadi memang kena betul-betul jaga ya masa hamil.
Antara makanan tambah darah yang baik untuk ibu hamil ialah:
- Buah kurma
- Buah delima
- Buah tembikai
- Buah jambu batu
- Ikan salmon
- Buah pisang
- Telur
- Sayuran hijau seperti bayam
- Kekacang
- Kerang
- Tiram
- Oat
- Madu
- Buah kismis
- Makanan yang kaya dengan vitamin C
Banyak je makanan sedap yang elok untuk kesihatan kita sebenarnya. Sama ada untuk orang biasa atau ibu mengandung, makanan-makanan ini bagus untuk kita amalkan dalam pemakanan seharian kita.
Pandai-pandailah olah resepi dan cara penyediaannya ya?
Dapatkan e-baucar istimewa apabila Mommy mengundi jenama barangan bayi dan keperluan ibu hamil kegemaran Mommy di Motherhood Choice Awards 2022 hari ini!