Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Kadar Terkini Mahar/Mas Kahwin Ikut Negeri Buat Rujukan Bakal Pengantin

Kalau anda bercadang untuk berkahwin dalam masa terdekat ini, pelbagai persiapan perlu dibuat, terutamanya jika ingin melangsungkan majlis besar-besaran. Kebanyakan pasangan akan mula membuat persediaan seawal setahun sebelum tarikh yang dipilih, ataupun sejurus selepas bertunang.

Sebelum membuat komitmen ini, anda perlulah lengkapkan diri dengan pelbagai jenis maklumat berkaitan dengan perkahwinan. Kebanyakan aspek perkahwinan dan mendirikan rumah tangga boleh dipelajari melalui kursus kahwin yang memang wajib untuk pasangan mendaftar jika ingin berkahwin, tapi bagaimana pula dengan hal-hal dan urusan pernikahan?

Salah satu aspek utama pernikahan ialah mas kahwin. Anda perlu memahami bahawa wang hantaran dan mas kahwin adalah dua perkara yang berbeza, walaupun ramai lagi yang keliru tentang kedua-dua unsur kewangan berkaitan perkahwinan ini.

Highlighted

Sumber: Astro Awani

Apa Itu Mas Kahwin?

Mas kahwin, atau juga dikenali sebagai mahar adalah wang pemberian wajib yang diberikan seorang bakal suami kepada bakal isteri sewaktu berlangsungnya pernikahan.

Mas kahwin disyariatkan bagi menzahirkan keinginan bakal suami yang benar-benar ingin membina rumah tangga yang mulia bersama isterinya, justeru ia diwajibkan untuk diberi supaya membolehkan bakal pengantin perempuan menyediakan diri dengan keperluan perkahwinan seperti pakaian dan perbelanjaan lain.

Mahar atau mas kahwin adalah menjadi hak isteri selama-lamanya dan dilarang sama sekali bagi suami, keluarga suami, atau mana-mana pihak yang mewakili suami untuk menuntut semula duit mas kahwin tersebut.

Selain itu, mas kahwin juga tidak dikenakan GST atau apa-apa cukai di atasnya, tak seperti pendapatan-pendapatan lain, jadi bakal pengantin tak perlu risau tentang bab ini ye!

Sumber: Lazada

Jumlah mas kahwin yang wajib diberikan kebanyakannya ditentukan mengikut negeri, dan jumlah yang wajib diberi tidaklah terlalu tinggi secara relatifnya.

Ini yang membuatkan mas kahwin berbeza dengan wang hantaran, dimana jumlah wang hantaran selalunya adalah jumlah yang besar untuk menunjukkan status ataupun mempunyai nilai yang dituntut oleh keluarga pengantin perempuan.

Wang atau duit hantaran adalah sebuah tradisi turun-temurun yang tidak wajib, tetapi ia juga selalunya digunakan untuk menanggung kos-kos berkaitan perkahwinan.

Wang hantaran juga selalunya dipersembahkan dengan hadiah-hadiah hantaran lain yang boleh merangkumi apa juga barang-barangan duniawi lain, asalkan halal.

Mas Kahwin Ikut Negeri Terkini

Nilai mas kahwin adalah ditetapkan mengikut negeri, iaitu negeri dimana bakal isteri bermastautin. Ini adalah kerana secara umumnya pernikahan selalu dilangsungkan di negeri dari mana bakal isteri datang.

Nilai atau kadar harga boleh turun atau naik, ataupun tidak berubah mengikut ketetapan oleh Jabatan dan Majlis Agama Islam di setiap negeri.

Sumber: Twitter

Kadar mas kahwin terbahagi kepada dua, iaitu sama ada bakal isteri adalah bujang (anak dara) ataupun janda (ibu tunggal atau bukan).

Jadual dibawah menunjukkan kadar mas kahwin ikut negeri yang terkini.

NEGERI JANDA BUJANG
Kuala Lumpur RM40 RM80
Selangor RM300 RM300
Pulau Pinang RM24 RM24
Johor RM22.50 RM22.50
Pahang RM22.50 RM22.50
Perak RM101 RM101
Negeri Sembilan RM100 RM200
Melaka RM100 RM100
Kelantan Tidak ditentukan Tidak ditentukan
Terengganu Tidak ditentukan Tidak ditentukan
Perlis Tidak ditentukan Tidak ditentukan
Kedah Tidak ditentukan Tidak ditentukan
Sarawak RM120 RM120
Sabah RM80 RM100
Labuan RM80 RM80

Bagi negeri-negeri di mana kadar mas kahwinnya tidak ditentukan, nilainya boleh ditentukan oleh keluarga pengantin melalui rundingan bersama.

Kadar-kadar atau nilai mas kahwin bagi setiap negeri boleh berubah mengikut arahan Majlis Agama Islam negeri tersebut dari semasa ke semasa.

Kos-kos Lain Selain Daripada Mas Kahwin

Selain daripada mas kahwin, sebenarnya tidak banyak lagi kos-kos lain yang wajib untuk dibelanjakan. Bakal penganting hanya perlu mengemukakan permohonan untuk bernikah dan menyediakan beberapa salinan maklumat peribadi.

Kos pernikahan mungkin berbeza-beza, tetapi boleh mencecah dalam RM200 untuk urusan-urusan atau fi seperti bayaran kepada jurunikah, bayaran kepada saksi, bayaran sijil dan kad nikah, dan bayaran pentadbiran lain.

Kos majlis pernikahan dan perkahwinan pula adalah bergantung kepada kebesaran majlis yang ingin dibuat. Ini perlu dibincang sesama bakal pengantin dan juga keluarga masing-masing.

Sumber: SuamiSihat

Yang penting, jangan berbelanja berlebihan atau lebih dari bajet yang boleh diperuntukkan, dan jangan pula ambil pinjaman! Itu semua tidak penting kerana majlis secara kecil-kecilan pun sudah memadai dan boleh mendatangkan kebahagian kepada pasangan pengantin, keluarga, dan rakan-rakan.

Semoga info yang dikongsi bermanfaat buat bakal pengantin dan kami harap urusan perkahwinan anda dipermudahkan dan mendapat berkat Tuhan.