Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Ciri-Ciri Yang Harus Dititikberatkan Ketika Memilih Susu Formula Terbaik

'Sumber: https://www.shutterstock.com/image-photo/milk-powder-baby-measuring-spoon-on-580979455'

Lahirnya si comel membawa seribu makna. Pemberian susu ibu yang berkhasiat seawal kelahiran akan membantu mereka membesar dengan jayanya. Namun, terdapat sesetengah para ibu yang memilih untuk memberikan susu formula kepada bayi mereka atas faktor-faktor yang tertentu.

Pengambilan ubat yang mempengaruhi kandungan susu sebagai contoh, memaksa golongan ibu ini memilih penyusuan susu formula bagi bayi mereka. Para ibu usahlah merasa sedih atau luntur semangat dalam usaha memberikan yang terbaik untuk bayi anda.

Walaupun tidak setanding dengan susu ibu, susu formula yang dirumus berpandukan piawaian yang ketat mempunyai segala nutrisi yang diperlukan dan selamat untuk bayi. Berbanding dengan susu ibu, apakah penyusuan susu formula mempunyai kelebihan yang tersendiri?

Kelebihan Susu Formula

1. Penyusuan susu formula adalah lebih mudah kerana sesiapa sahaja boleh melakukannya. Para bapa sebagai contoh, boleh mengambil alih tugas penyusuan, lantas memberi peluang untuk para ibu berehat dengan lebih lama dan kesempatan untuk melakukan urusan lain.

2. Penyusuan susu formula tidak tertakluk pada tempat. Para ibu dan bapa tidak perlu lagi untuk mencari tempat yang terlindung dari khalayak ramai. Anda dapat menyusukan bayi anda dengan selesa tanpa perlu risau akan terdedahnya payudara anda.

3. Para ibu boleh mengamalkan diet pilihan. Oleh kerana anda tidak menyusu badan, anda tidak perlu untuk mengawasi pengambilan sesetengah makanan yang tidak disarankan ketika menyusu. Anda kini bebas mengamalkan pemakanan dan diet tersendiri.

Tips Pemilihan Susu

*Pengeluar

Dalam memilih susu formula, antara faktor utama yang harus diperhatikan ialah syarikat pengeluar susu tersebut. Para ibu haruslah memilih produk yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat pengeluar yang telah mendapat pengiktirafan dan kelulusan badan yang berkuasa. Sebagai contoh, dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

*Nutrisi, bahan-bahan dan komposisi

Seterusnya, para ibu haruslah mengkaji bahan-bahan, nutrisi dan komposisi dalam susu formula tersebut. Susu formula dari pengeluar yang berbeza kebiasaannya akan mempunyai indeks komposisi yang berbeza.

Secara umum, susu formula terbahagi kepada dua iaitu yang berasaskan protein whey dan yang berasaskan protein kasein. Susu formula yang berasaskan protein whey dikatakan lebih mirip susu ibu dan merupakan pilihan yang sesuai untuk bayi yang baru lahir.

Manakala, susu formula yang berasaskan protein kasein lebih sesuai untuk bayi atau kanak-kanak yang sistem penghadamannya lebih matang kerana susu formula ini mengambil masa yang lebih lama untuk dihadam.

Nasihat dan pandangan dari doktor, pakar laktasi dan pakar nutrisi bayi sangat membantu dalam pencarian ibu dan bapa. Pilihlah yang anda rasa sesuai untuk bayi anda setelah mendapatkan maklumat yang selengkapnya.

*Harga

Dalam pemilihan anda, para ibu tidaklah seharusnya memilih susu formula yang paling rendah harganya. Faktor utama yang harus menjadi kayu ukur dalam penilaian anda ialah kandungan produk dan kesesuaian bayi anda. Usahlah kerana mahu berjimat, anda sanggup membahayakan kesihatan si manja anda.

*Jenis dan masa

Setelah para ibu dan bapa memilih produk yang dirasakan terbaik dari segi nutrisi dan pengeluarnya, anda haruslah memberikan susu formula kepada bayi anda, sejenis pada satu masa sahaja.

Penyusuan susu formula yang melebihi satu jenis pada jangka masa yang sama berkemungkinan akan mengelirukan sistem badan bayi anda dan penilaian dalam menentukan yang terbaik akan terganggu.

*Kesesuaian produk dan jenama

Bayi yang berbeza mempunyai keperluan yang berbeza jika dinilai dari kesesuaian pemilihan susu formula. Pihak pengeluar kebiasaannya tidak akan melabel produk mereka sama ada berasaskan protein whey atau kasein. Jadi, sepanjang proses penyusuan dan perkembangan bayi, pemerhatian yang rapi hendaklah dilaksanakan.

Di samping itu, para ibu dan bapa usahlah mementingkan jenama dalam pemilihan anda. Susu formula yang berjenama mahal dan popular tidak semestinya cocok dengan sistem badan bayi anda.

*Alahan

Highlighted

Sumber: Shutterstock @enjoyistyle

Dalam pengawasan anda, para ibu dan bapa haruslah memerhatikan sebarang perubahan atau tanda-tanda alergik. Tindak balas seperti ruam dan bintik-bintik merah yang timbul pada kulit bayi adalah antaranya. Hentikanlah penyusuan dan segeralah rujuk pakar kesihatan sekiranya ini terjadi.

*Penghadaman

Kesesuaian susu formula juga boleh dilihat pada proses penghadaman bayi anda. Ketidak selesaan bayi dan perut yang kerap meragam boleh menjadi antara faktor penolakan susu formula.

*Najis bayi

Sumber: Shutterstock @popularbusiness

Selain itu, pemerhatian juga harus dilakukan pada keadaan najis bayi anda dari segi warna dan bentuknya. Sekiranya bayi anda mengalami sembelit atau cirit-birit yang berterusan, ini mungkin adalah salah satu tanda bahawa susu formula itu tidak cocok dengannya.

*Muntah

Antara tanda lain yang harus dinilai ialah sekiranya bayi anda kerap memuntahkan susu. Punca bayi memuntahkan susu adalah pelbagai dan antaranya ialah salah satu tindak balas negatif pada penerimaan susu formula.

*Bayi pramatang

Untuk bayi pramatang, penilaian dalam memilih susu formula yang terbaik adalah lebih ketat kerana keperluan badan mereka tidak sama dengan bayi yang normal. Terdapat susu yang dirumus khas untuk bayi pramatang kerana susu formula untuk bayi normal secara amnya tidaklah sesuai untuk mereka.

Para ibu yang melahirkan bayi pramatang hendaklah mendapatkan nasihat dan panduan doktor dalam menentukan produk yang terbaik untuk bayi anda.

Jika proses penyusuan susu ini mengalami sebarang reaksi negatif, para ibu seeloknya berbincang dengan yang pakar. Tukarlah kepada jenama yang lain dan perhatikanlah proses penerimaan bayi anda terhadap produk baru itu berdasarkan faktor-faktor di atas. 

Dalam tempoh kehamilan, meskipun para ibu bercadang untuk menyusukan bayi secara terus selepas melahirkan, anda haruslah mendapatkan maklumat yang secukupnya mengenai susu formula. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku pada masa hadapan dan sebaiknya, para ibu dan bapa bersedia lah dari segala aspek.

Persediaan awal dapat membantu anda untuk merancang proses penjagaan bayi dengan lebih teratur dan cermat. Sekiranya anda telah mempunyai ilmu yang secukupnya, pemilihan susu akan menjadi lebih mudah dan anda akan lebih bersedia secara fizikal dan mental dalam menghadapi sebarang kemungkinan. Semoga para ibu dapat menikmati dan melalui fasa penyusuan dengan jayanya.

Dapatkan susu formula terbaik untuk si manja anda di Motherhood.com.my hari ini!