Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Adakah Mengandung Luar Rahim Berbahaya untuk Ibu?

mengandung luar rahim

Mengikut kajian di United Kingdom, nisbah kandungan di luar rahim yang juga dikenali sebagai kehamilan ektopia ialah satu dalam 100 kehamilan. Secara purata, kandungan ektopia selalunya tidak dapat diselamatkan kerana ianya membahayakan nyawa si ibu berdasarkan beberapa faktor medikal.

Walaupun begitu, si ibu dan bapa tidak perlu gusar tentang kehamilan seterusnya kerana ramai para ibu yang pernah mengalami mengandung luar rahim sebelumnya, berjaya mengandung secara normal pada masa hadapan.

Apakah Itu Kandungan di Luar Rahim?

Highlighted


Kehamilan di luar rahim ialah kehamilan yang berlaku apabila sel telur si ibu berkembang di luar uterus iaitu kebanyakannya di saluran fallopian. Normal nya, apabila berlaku persenyawaan antara ovum dan sperma, sel telur yang telah dibuahi akan dihambat menuju ke uterus untuk berkembang dan mendapatkan nutrisi secukupnya. Namun di dalam sesetengah kes, terdapat permasalahan di dalam proses ini. Sel telur tersebut telah tertanam di salah satu tiub falopio.

Kenali Tanda-tanda Kehamilan Ektopia

Kebiasaannya, si ibu yang mengalami kehamilan ektopia akan melalui tanda-tanda yang tertentu. Dalam tempoh dua minggu selepas waktu haid tidak muncul, para wanita harus memerhatikan perubahan pada badan mereka.

#1. Pendarahan yang luar biasa

Kebanyakan wanita ini akan mengalami pendarahan luar biasa pada vagina yang berbeza dengan darah haid dari segi kuantiti dan warnanya.

#2. Kesakitan yang melampau di abdomen

Selain dari pendarahan, si ibu mungkin juga mengalami kesakitan yang teruk dan berterusan di bahagian bawah perut dan abdomen.

#3. Perubahan pada imbangan badan 

Gejala ini akan berlaku sekiranya keadaan semakin teruk yang menjejaskan saluran fallopian. Terdapat beberapa kes yang di mana si ibu tidak mendapatkan rawatan awal, mereka akan mengalami rasa ringan kepala, badan berpeluh-peluh dan kekejangan serta rasa ingin pitam. Ada juga yang tidak sedarkan diri jika kondisi badannya semakin lemah.

#4. Pembuangan serta keadaan najis

Dalam sesetengah kes, si ibu mungkin akan mengalami cirit-birit dan najis nya didapati terdapat darah.

#5. Sakit di kawasan bahu

Si ibu juga mungkin merasakan sakit yang menyucuk di kawasan bahu di bahagian atas. Pendarahan yang terjadi akan memberi kesan pada organ dalaman lain dan menjejaskan kesihatan tubuh si ibu.

Jika para ibu yang terlewat waktu haid nya dan mengalami simptom-simptom di atas, haruslah segera berjumpa doktor untuk konsultasi dan mendapatkan rawatan lanjut. 

 

Penyebab Kehamilan Ektopia

Kehamilan ektopia atau mengandung luar rahim biasanya terjadi kerana terdapat masalah di saluran fallopian. Jika ianya tidak rosak, tiub itu tersumbat ataupun mengecil ekoran dari berlakunya jangkitan kuman pada saluran tersebut di masa lalu. Saluran yang mengecil ini menghalang sel telur yang telah disenyawakan untuk menuju ke uterus, lantas mengimplan dirinya pada dinding tiub falopio.

Ketika ingin merancang kehamilan, terdapat beberapa faktor risiko yang harus dipertimbangkan oleh para ibu. Ibu-ibu yang tergolong di dalam golongan ini haruslah berwaspada kerana mereka mudah untuk mengandung di luar rahim.

  1. Pesakit endometriosis
  2. Pesakit PID (Pelvic Inflammatory Disease)
  3. Wanita yang pernah menjalani pembedahan abdomen
  4. Para ibu yang menjalani rawatan IVF dan hamil
  5. Wanita yang menggunakan alat IUS/IUCD atau mengamalkan pemgambilan pil-mini
  6. Wanita yang mempunyai sejarah mengandung kandungan di luar rahim
  7. Wanita yang merokok
  8. Wanita yang berusia

Rawatan untuk Kandungan di Luar Rahim

Apabila sel telur yang dibuahi menanam dirinya di dinding falopio, ianya akan terus berkembang dan membesar. Saluran falopio akan menampung perkembangan ini kebiasaan nya pada bulan pertama dan kedua kandungan sehingga mencecah satu tempoh di mana ia sudah tidak mampu berkembang lagi dan akan terkoyak.

Ini yang mengakibatkan pendarahan dalaman kerana saluran ini tidak dicipta sebagai rumah bagi pembesaran janin. Ototnya tidak fleksibel seperti otot uterus yang mampu berkembang berkali ganda dari saiz asalnya. Terdapat juga kes di mana sel telur ini mengimplan kan dirinya pada kilang telur iaitu di bahagian ovari.

Pada peringkat awal pengesanan, si ibu akan dirujuk kepada doktor sakit puan. Ujian akan dilakukan untuk menentukan paras hormon hCG di dalam darah yang akan membezakan sama ada kandungan si ibu adalah normal ataupun kandungan ektopia.

Disebabkan skan pada abdomen tidak dapat memastikan kehamilan ektopia, doktor akan meneruskan rawatan dengan melakukan pemeriksaan ultra bunyi pada faraj.

Sekiranya rawatan ini tidak mencukupi, doktor berkemungkinan akan melakukan pemeriksaan laparoskopik. Alat penglihatan kecil akan dimasukkan ke dalam abdomen untuk melihat dengan lebih jelas keadaan kehamilan si ibu.

Apabila kehamilan ektopia telah dikenal pasti, terdapat beberapa kaedah medikal yang boleh digunakan untuk merawat si ibu dan membuang kehamilan ini dengan selamat. Antaranya ialah dengan melakukan pembedahan keyhole yang juga dikenali sebagai pembedahan laparoskopik. Pembedahan ini akan membuang kandungan di luar rahim dengan selamat dan membiarkan tiub falopio utuh sehabis boleh.

Sekiranya tidak berlaku pendarahan dalaman dan keadaan tiub falopio masih baik, ubat methotrexate akan diberikan kepada si ibu untuk mematikan kandungan tersebut. Akan tetapi, sekiranya tiub falopio telah pun terkoyak, pembedahan abdomen secara penuh mungkin akan dilakukan untuk menghentikan pendarahan dengan efektif dan membuang kandungan itu sekaligus.

Bergantung kepada beberapa faktor seperti kesihatan si ibu, kerosakan tiub falopio dan perancangan kehamilan si ibu pada masa hadapan, doktor akan menyarankan sama ada pembedahan yang akan dilakukan ini akan membuang kandungan itu sahaja ataupun bersama dengan tiub falopio.

Jarang juga berlaku keadaan di mana kehamilan ektopia ini telah dikenal pasti tetapi tidak diketahui lokasi spesifik nya. Dalam keadaan ini, doktor akan mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ kerana banyak juga kehamilan di luar rahim ini akan gugur sendiri tanpa memerlukan sebarang pembedahan atau pengambilan ubat tertentu.

Kepada si ibu yang pernah atau sedang mengalami kehamilan di luar rahim ini, usahlah terlalu risau dan berfikiran negatif. Pada zaman teknologi ini, terdapat pelbagai cara untuk membuang kehamilan ini dengan selamat dan efektif. Walaupun pernah mempunyai sejarah kehamilan ektopia di masa lalu, para ibu masih mempunyai peluang untuk mendapatkan kehamilan normal di masa hadapan. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau pun keraguan mengenai tubuh dan kesihatan anda, para ibu haruslah segera mendapatkan nasihat doktor. Semoga para ibu dikurniakan kehamilan yang normal dan si manja yang comel dan sihat!

Untuk mendapatkan pelbagai barang keperluan bayi, layari Motherhood.com.my hari ini!