Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Normal atau Tidak? Cara Untuk Ibu Bapa Mengukur Ketinggian Anak-anak di Rumah

Anak-anak sebenarnya membesar dengan sekelip mata. Sekejap sahaja mereka sudah besar dan matang. Tak dinafikan, hal ini sebenarnya agak menyedihkan untuk para ibu bapa, walaupun itulah hakikat yang perlu dilalui. Untuk si anak kecil pula, mereka akan lebih gembira apabila mengetahui diri sendiri semakin membesar dan tinggi.

Pakar Perunding Pediatrik Endokrinologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Muhammad Yazid Jalaludin berkata,

Hormon tumbesaran dihasilkan oleh kelenjar pituitari yang terdapat dalam otak untuk merangsang tumbesaran. Oleh itu, hormon tumbesaran sangat penting untuk perkembangan dan fungsi tubuh manusia yang sihat. Sekiranya kanak-kanak kelihatan lebih rendah berbanding rakan sebaya, kemungkinan untuk mereka mengalami masalah tumbesaran tinggi,

Anda rasa anak anda membesar dengan normal atau tidak? Khusus untuk ibu bapa, di bawah disenaraikan beberapa cara-cara yang mudah untuk anda mengukur tahap ketinggian anak-anak.

1. Genetik

Highlighted


Ketinggian dan badan anak-anak kita sebenarnya boleh diramal berdasarkan faktor genetik. Tahap ketinggian ibu bapa merupakan faktor penting dalam tumbesaran anak-anak. Jika mak ayah tinggi, berkemungkinan besar anak-anak juga akan tinggi apabila mereka semakin membesar.

Untuk pengetahuan anda, ketinggian anak boleh dikira dengan menambah ketinggian ibu dan ayah, bahagikan jumlahnya dengan 2 dan kemudian tambahkan 2.5 inci bagi anak lelaki, atau tolak dengan 2.5 bagi anak perempuan.

2. Pemakanan yang Sihat

Tabiat pemakanan yang sihat adalah cara yang paling mudah untuk memastikan tumbesaran anak anda. Aktiviti harian mereka akan meningkat berdasarkan nutrisi makanan, tahap kesihatan dan kecerdasan minda si manja. Pemakanan yang berkhasiat harus dimulakan sejak mereka kecil lagi.

Ibu bapa harus sentiasa pastikan anak-anak mendapat nutrien yang cukup, untuk tumbesaran diri mereka yang sihat dan kuat.

3. Mengira umur tulang

Cara ini sering digunakan oleh pakar paediatrik untuk mengetahui ketinggian anak-anak dengan lebih tepat. Umur tulang akan diperiksa dengan menggunakan sinar X di bahagian tangan dan pergelangan tangan anak anda. Proses ini ialah untuk mengetahui kematangan tulangnya.

 4. Carta pembesaran

Carta pembesaran boleh membantu ibu bapa untuk mengetahui ketinggian anak-anak pada bulan dan tahun akan datang. Ia juga membantu ibu bapa untuk mengetahui tahap kematangan mereka. Carta ini sebenarnya sangat menyeronokkan untuk ibu bapa dan anak-anak! Ia juga seperti satu carta motivasi untuk kehidupan yang lebih sihat dan cerdas.

Setiap anak-anak akan membesar dengan cara tersendiri. Ada yang membesar secara ganjil, malah ada juga yang akan kekal pada ketinggian yang sama di awal tahun, tetapi mula meninggi selepas mencapai tahap kematangan.

Apa yang lebih penting ialah anak-anak kita selesa dengan diri mereka sendiri. Jangan pula ibu bapa sendiri mempersoalkan tahap ketinggian dan tumbesaran badan mereka.

Nasihat Prof Dr Muhammad Yazid Jalaludin,

Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak membandingkan kanak-kanak berkenaan dengan rakan yang lain.

Ingat, tumbesaran anak-anak yang sihat adalah pada badan dan minda mereka. Rekodkan dengan tepat setiap perkembangan ketinggian anak-anak kerana kanak-kanak yang mempunyai masalah ketinggian boleh mengalami kualiti kehidupan yang lebih rendah berbanding dengan rakan sebaya mereka.