Semasa berpantang, seorang ibu itu wajib menjaga makanan yang diambil. Selalunya banyak resepi di Internet untuk makanan tengahari tetapi jarang sekali ada resepi untuk sarapan.
Jadi, ada juga ibu di luar sana yang tertanya-tanya menu apakah yang patut disediakan ketika sarapan pagi.
Mama pernah dengar pepatah ‘breakfast like a king?’ Ya, tepat sekali. Sarapan pagi sangatlah penting dalam hari seseorang, apatah lagi ibu yang sedang berpantang.
Kalau ada Mama yang diluar sana yang tidak mengambil sarapan pagi, mulai daripada sekarang ayuh kita ubah rutin itu!
Kelebihan Sarapan Pagi Bagi Ibu Yang Sedang Berpantang
- Membantu mengawal paras gula darah
- Memberi nutrisi yang cukup untuk susu badan
- Tenaga yang secukupnya untuk kekal sihat sepanjang hari
- Memulihkan badan selepas bersalin dengan pemakanan yang teratur
Pemakanan yang baik merupakan penyebab utama untuk membolehkan wanita terus kekal sihat selepas bersalin.
Seperti yang kita ketahui, pantang-larang makanan selepas bersalin merupakan suatu perkara normal dalam masyarakat kita.
Ini tak boleh makan, itu tak boleh dan kadang-kadang sampai tidak tahu mana satu yang boleh dimakan.
Untuk sarapan pagi, menu Mama harus dipenuhi dengan makanan yang dapat memberi tenaga dan khasiat untuk badan Mama.
Apabila kita menyusu badan, segala nutrisi itu juga dikongsikan bersama si manja, jadi kita haruslah makan makanan yang berkualiti.
Jangan risau, untuk sarapan pagi menu tidak rumit dan bahan-bahan pun mudah untuk dicari. Menu sarapan ini dikongsikan oleh ibu-ibu yang berpengalaman dan menu ini semua amatlah sedap dan mudah untuk dilakukan!
6 Menu Sarapan Pagi Untuk Ibu Berpantang Yang Mudah Dan Lazat Untuk Dinikmati!
1) Bubur Nasi Ikan Merah
Menu yang mudah dan cepat tetapi paling penting sedap! Bubur ini mengandungi ikan merah di mana ikan ini adalah ikan yang boleh dimakan ketika berpantang. Kalau Mama tidak suka ikan, Mama boleh tukar dengan protein seperti ayam atau daging.
Bahan-Bahan:
- Nasi bubur – 1 cawan
- Karot – 1 biji dipotong dadu
- Halia – 1 biji dipotong halus
- Isi Ikan Merah – 1 ekor (sebahagian kecil)
- Garam – Secukup rasa
2) Lempeng Oat Tanpa Gula
Lempeng atau kalau ikut nama English ala-ala ‘pancake’ sedap dimakan pada waktu pagi. Menu ini adalah sangat sedap dan paling penting, tiada gula!
Bahan-Bahan:
- Oat – 1 cawan
- Tepung Gandum – 1 sudu
- Madu – 2 sudu
- Buah Strawberi – Mengikut kemahuan
3) Cucur Manis Simple
Cucur manis yang enak diminum dengan teh menjadi pilihan ramai ibu ketika berpantang. Bukan sahaja gebu dan enak, malah sangat senang nak buat.
Bahan-Bahan:
- Tepung Gandum – 2 cawan
- Gula – 3 sudu besar
- Garam – ½ sudu teh
- Air Panas Mendidih – 2 cawan
4) ‘Overnight Oat Apple’
Kalau Mama nak tahu, ‘overnight oat’ ini pernah viral pada suatu ketika dahulu dan ternyata memang sedap sampai digemari ramai orang.
Oat ini sangat penting bagi ibu yang berpantang yang ingin turunkan berat badan tetapi dalam masa yang sama mengawal kolestrol badan.
Bahan-Bahan:
- Oat – 4-5 sudu besar
- Susu Rendah Lemak – 100ml
- Madu – 1 sudu besar
- Kismis – 7-9 biji
- Epal Hijau – Separuh dipotong
5) Roti Bakar Dan Telur Separuh Masak
Menu klasik dan sering digemari ramai orang, bukan sahaja ibu yang berpantang. Untuk pengetahuan Mama, ada juga adat yang tidak membenarkan ibu berpantang makan telur namun ianya amat penting dalam piramid makanan mengikut doktor.
Tiada masalah ingin mencuba, tetapi pastikan selepas itu tiada gatal-gatal di badan. Setiap orang kan berbeza!
Bahan-Bahan:
- Roti Wholemeal – 2 keping
- Kaya – 1 sudu (disapu)
- Mentega – 1 sudu (disapu)
- Telur – 2 biji (direbus)
6) Susu Kurma Ajwa
Seperti yang kita tahu, kurma amatlah mustajab bagi memberi khasiat bukan sahaja pada ibu malah menambah berfungsi sebagai ‘milk booster’ ketika berpantang.
Untuk ibu menyusu, secara saintifiknya kurma dapat meningkatkan susu badan dan melindungi tubuh dari penyakit dan jangkitan. Maknanya, baik juga untuk anak kita kan sebab ada zat besi yang tinggi juga
Bahan-Bahan:
- Kurma ajwa – 5 biji
- Susu segar – 1 cawan
- Madu – 1 sudu besar (optional)
Mitos Dan Fakta Dalam Amalan Pantang-Larang Pemakanan Selepas Bersalin Mengikut Kata Doktor
1) Jangan Makan-Makanan Sejuk
-
Mitos
Sayur-sayuran dan buah-buahan seperti kangkung, petola, terung, timun, tembikai dan pisang dianggap ’sejuk’ dan tidak boleh diambil oleh ibu dalam pantang.
Mengelakkan makanan sejuk dikatakan dapat membantu melancarkan pengaliran darah dan melambatkan proses pemulihan. Makanan sejuk menyebabkan kembung perut, kejang otot dan sakit-sakit badan.
- Fakta
Tiada kajian saintifik yang dapat membuktikan bahawa mengelak makanan-makanan ini memberi sebarang faedah kepada kesihatan ibu dalam pantang.
Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan amat penting sebagai sumber:
- Vitamin
- Mineral
- Fitokimia
- Serat
2) Ikan, Ayam Dan Telur
-
Mitos
Beberapa jenis ikan, ayam, telur dan beberapa jenis buah-buahan seperti nenas dianggap sebagai ’bisa’ dan ’tajam’. Makanan berbisa dikatakan boleh melambatkan penyembuhan luka bersalin serta boleh menyebabkan pendarahan bagi ibu dalam pantang.
-
Fakta
Makanan ini merupakan sumber baik bagi :
- Protein
- Vitamin
- Garam mineral
Ibu dalam pantang perlu mengambil secukupnya makanan sumber protein seperti ikan, ayam, telur dan kekacang.
Sumber protein amat penting untuk memulihkan luka akibat bersalin sama ada luka faraj atau pembedahan. Salah satu fungsi protein adalah pembentukan tisu-tisu badan yang membantu luka untuk sembuh.
Makanan Seimbang Dapat Membawa Kepada Pengalaman Pantang Yang Baik
Mama kena ingat, jangan terlalu taksub dengan pantang pemakanan yang keterlaluan sehingga menghadkan jumlah pengambilan makanan dan air atau tidak mengambil sumber makanan daripada kumpulan makanan yang tertentu.
Pastikan, Mama makan makanan yang seimbang dan mengikut waktu. Semoga pantang Mama akan dipermudahkan dan amalkan prinsip makan secara sihat supaya sentiasa cergas, ceria dan sihat semasa dalam pantang. Selamat mencuba!
Sumber: My Health Gov & Dari Dapur