Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Meroyan? Jom Kenali Jenis, Tanda, Punca Dan Cara Untuk Merawatnya

meroyan

Kredit gambar: www.verywellfamily.com

Kebanyakan dari kita selalu mendengar ramai orang menyebut tentang kesusahan dan keletihan semasa mengandung juga sakit bersalin. Namun, tidak ramai yang memperkatakan tentang meroyan ketika dalam pantang. Hakikatnya, kesusahan, kepayahan, keletihan dan kesakitan Mommy yang bergelar ibu itu tidak tamat selepas melahirkan.

Melahirkan adalah sebuah permulaan bagi perjalanan yang panjang sebagai seorang ibu. Banyak cabaran yang menanti. Salah satunya adalah meroyan.

Apakah yang dimaksudkan dengan meroyan dan bagaimana cara untuk merawatnya? Ikuti perkongsian ini untuk mengetahui masalah kemurungan kemurungan selepas bersalin ini dengan lebih lanjut.

Apa Itu Meroyan?

Highlighted

Kredit gambar: www.parkview.com

Meroyan atau pun dikenali juga sebagai postpartum depression ialah masalah mental yang serius seperti masalah kemurungan dalam kalangan ibu yang baru melahirkan. Lebih tepat lagi istilah ini dikaitkan dengan kecelaruan emosi dan keresahan perinatal (Perinatal Mood and Anxiety Disorder, PMAD).

Masalah kemurungan selepas bersalin ini melibatkan fungsi otak yang mana bukan sahaja akan mempengaruhi kesihatan mental tetapi juga kesihatan fizikal Mommy dan ia sangatlah tidak baik untuk ibu dan juga untuk bayi.

Jenis-jenis Meroyan

Kredit gambar: www.helsana.ch

Jika Mommy ingin tahu, terdapat beberapa jenis meroyan atau gila meroyan yang boleh terjadi kepada Mommy di dalam pantang.

Antaranya ialah:

  • Meroyan api yang mana Mommy akan menjadi sangat pemarah sehingga lupa diri dan emosi
    yang tidak stabil sehingga terjerit-jerit.
  • Meroyan ketung yang mana Mommy menjadi murung, sangat sensitif, mudah menangis, hiba
    dan menganggap diri teruk dan bodoh. Sering berlaku kepada Mommy yang kehilangan anak
    sehingga boleh menyebabkan bunuh diri.
  • Meroyan urat ialah masalah kemurungan selepas bersalin yang diakibatkan oleh ketegangan urat saraf dan akan menyebabkan Mommy sentiasa mengeraskan diri seperti kejang otot.
  • Meroyan lendir apabila Mommy sentiasa kelihatan pucat, lesu, rambut gugur, badan susut
    dan hilang keiginan terhadap seks. Ini disebabkan oleh darah kotor yang belum dikeluarkan dari
    tubuh.
  • Meroyan tinggal yang mana Mommy akan sentiasa membebel, bercakap seorang diri, cuba
    larikan diri dari rumah, enggan menjaga bayinya dan boleh bertindak ganas.
  • Meroyan bulu ialah apabila Mommy sentiasa berasa seram sejuk selepas bersalin.

Tanda Meroyan

Kredit gambar: immunifyme.com

Antara tanda meroyan selepas bersalin yang perlu Mommy tahu dan perlu beri perhatian sekiranya ada pada Mommy ialah:

  • Brain fog iaitu satu keadaan dimana Mommy cepat lupa. Kajian menunjukkan kemurungan boleh beri kesan kepada memori seseorang.
  • Sentiasa berfikiran negatif. Contohnya, memukul dan mencederakan bayi jika dia menangis terlalu lama atau tanpa sebarang sebab.
  • Mudah marah arah atau cepat panas baran walaupun dengan perkara yang simple yang mana ia adalah salah satu tanda kemurungan.
  • Rasa kosong iaitu apabila Mommy merasakan bahawa diri Mommy kosong tanpa sebarang perasaan.
  • Sukar melelapkan mata (insomnia) walaupun badan telah kepenatan? Itulah tandanya Mommy sedang berhadapan dengan kemurungan kerana walaupun badan penat tetapi mental Mommy masih bekerja keras memikirkan banyak perkara.
  • Terlalu banyak menangis dan merasa putus asa.
  • Kurang selera makan dan badan susut.
  • Halusinasi seakan berada dalam dunia sendiri.
  • Mendegar ‘bisikan’.

Punca Meroyan

Kredit gambar: immunifyme.com

Apa punca yang boleh menyebabkan meroyan ini berlaku? Meroyan boleh berlaku disebabkan oleh banyak faktor. Antaranya ialah:

  • Faktor genetik yang mana keluarga mempunyai sejarah penyakit berkaitan mental.
  • Faktor biologik seperti mengandung pada usia muda atau tua juga boleh mengundang kepada meroyan.
  • Faktor persekitaran seperti sokongan keluarga, masalah kewangan, bayi yang sentiasa meragam dan lain-lain perkara yang berlaku di sekeliling Mommy.
  • Tidak cukup rehat semasa tempoh berpantang.
  • Perubahan hormon secara mendadak.

Mommy-mommy yang mempunyai tanda seperti di atas perlu segera dapatkan bantuan untuk mengelakkan kesihatan mental Mommy menjadi lebih teruk. Tetapi orang cakap mencegah lebih  baik dari mengubati. Oleh itu, sebelum berlaku lebih baik dicegah.

Cara Cegah Meroyan Selepas Bersalin

Kredit gambar: medlineplus.gov

Berikut adalah cara untuk mencegah meroyan selepas bersalin.

#1. Dekatkan Diri dengan Tuhan

Banyakkan melakukan aktiviti kerohanian seperti berzikir, bersolat dan mengaji. Hal ini dapat membantu memberi ketenangan hati dan kedamaian kepada Mommy. Amalan ini juga membantu Mommy merehatkan minda yang serabut dan memberi ketenangan jiwa.

#2. Buat Aktiviti yang Disukai

Selain itu, Mommy juga boleh melakukan aktiviti yang Mommy suka. Jangan jadikan alasan sedang berpantang menghalang Mommy dari melakukan perkara yang mommy suka. Contohnya, Mommy suka berjalan-jalan. Apa salahnya jika ajak suami jalan-jalan dalam kereta pun boleh.

Asalkan dapat lihat dunia luar dan menghirup udara segar di luar. Namun, harus diingat jangan terlalu lasak ya Mommy.

#3. Rehat dengan Cukup

Tekanan yang Mommy rasa mungkin juga berpunca dari tidur dan rehat yang tidak cukup. Ya, faham bahawa ibu yang baru bersalin perlu menyusu dan menguruskan bayi. Tetapi apa kata bagi peluang kepada papa pula untuk uruskan bayi.

Mommy rehatlah secukupnya. uruskan anak, rumah dan lain-lain biar papa yang buat. Dengan ini barulah Mommy dapat rehat yang berkualiti dan dapat mengelakkan dari masalah kemurungan selepas bersalin.

#4. Sokongan Dari Keluarga dan Orang Terdekat

Sokongan dari keluarga dan orang terdekat terutamanya suami sangatlah penting. Luahkan segala apa yang Mommy rasa kepada ahli keluarga, suami atau rakan baik Mommy.

Jangan pendam seorang diri. Dapatkan sokongan dan pertolongan keluarga Mommy sekiranya Mommy tidak dapat menguruskan setiap perkara sendirian. Luahkan dan berbual dengan mereka untuk melapangkan hati Mommy yang tengah resah.

Hal ini dapat membantu mengelakkan dari masalah kemurungan ini.

#5. Rawatan dan Ubat

Sekiranya Mommy merasakan mommy sudah mula mempunyai tanda-tanda meroyan segeralah dapatkan rawatan doktor sebelum menjadi semakin parah.

Jika perlu ubat anti depressant yang berfungsi untuk mengimbangkan kimia otak boleh diambil. Namun, haruslah merujuk kepada doktor dahulu.

Semoga dengan perkongsian ini membantu Mommy berpantang dengan lebih dan dapatkan mengelakkan dari meroyan. Semoga membantu!


Dapatkan pelbagai lagi info menarik mengenai penjagaan selepas bersalin yang lain di SINI!


Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.