Mimpi itu sering dikatakan sebagai mainan tidur tetapi apakah benar memang tiada makna yang tersembunyi disebaliknya?
Kadang-kala, mimpi yang dialami seperti mimpi mengandung, terasa sungguh nyata dan berkemungkinan merupakan petunjuk untuk sesuatu. Tetapi anda mungkin keliru kerana bukanlah kepakaran anda untuk mentafsirnya.
Apakah maksud atau pandangan mimpi menurut Islam ya?
Mimpi Menurut Islam
Islam tidak menolak kebenaran sesebuah mimpi itu. Bahkan, ia mungkin merupakan salah satu pertolongan dan petunjuk dari Allah.
Sabda Rasulullah S.A.W.:
Mimpi yang benar itu ialah sebahagian daripada empat puluh enam sifat kenabian – Hadis Riwayat Muslim.
Dalam Islam, mimpi terbahagi kepada beberapa kategori:
1. Mimpi daripada Allah S.W.T.
Mimpi jenis ini ialah mimpi yang baik. Ia merupakan khabar gembira dan teguran dari Allah.
2. Mimpi daripada syaitan
Mimpi jenis ini merupakan permainan syaitan yang tidak mengandungi sebarang makna. Ia adalah mimpi buruk dan batil yang tidak menyenangkan.
3. Mimpi daripada keinginan nafsu
Mimpi jenis ini terjadi kerana pengaruh perasaan dan minda anda. Apa yang dilakukan dan difikirkan sebelum waktu tidur telah menjelma sebagai mimpi. Ia juga dikatakan tidak membawa sebarang makna.
Rasulullah telah bersabda: “Mimpi itu ada tiga; mimpi daripada Allah (mimpi yang baik), mimpi daripada syaitan (mimpi buruk) dan mimpi daripada dirinya yang kerana terjadi sesuatu kemudian dia bermimpi.”
8 Jenis Mimpi Mengandung
Antara mimpi yang sering dialami manusia ialah mimpi mengandung. Ia tidak semestinya dialami oleh wanita, tetapi lelaki pun boleh bermimpikan yang sama ya.
Jom kita lihat 8 jenis mimpi mengandung berserta maknanya melalui perkongsian dari Misbahuddin ini:
1. Mimpi mengandung yang dialami wanita
Jika seorang wanita itu bermimpi dia sedang mengandung, itu boleh menjadi petanda bahawa rezeki atau hartanya akan bertambah.
Mungkin ramai yang menyangkakan bahawa mimpi mengandung adalah petanda bahawa anda akan hamil. Ia tidak semestinya ya.
2. Mimpi mengandung yang dialami lelaki
Memang kedengaran pelik tetapi terdapat juga kaum lelaki yang bermimpi mengandung ya. Sebaliknya, jika mimpi mengandung dialami seorang lelaki, dia dipercayai akan menghadapi kesedihan dalam hidupnya.
3. Mimpi mengandung yang dialami anak perempuan yang belum berkahwin
Jika mimpi mengandung dialami oleh mereka yang masih belum berkahwin, maknanya agak berbeza.
Sekiranya anak perempuan anda yang masih belum dewasa bermimpi dia hamil, mimpi itu disandarkan kepada ibunya. Mungkin ibunya akan beroleh keuntungan kelak.
4. Mimpi mengandung yang dialami anak lelaki yang belum berkahwin
Manakala jika anak lelaki anda yang masih belum dewasa bermimpikan tentang kehamilan, mimpi tersebut disandarkan pula kepada bapanya.
5. Mimpi seorang suami melihat isterinya mengandung
Kadang-kala, jika anda menginginkan zuriat, perasaan itu boleh terbawa-bawa ke dalam mimpi.
Tetapi menurut Misbahuddin, jika seorang suami itu bermimpi dia melihat isterinya hamil, mimpi itu dipercayai merupakan sebuah petanda bahawa dia sedang menginginkan sesuatu yang berkaitan dengan kehidupan dunia.
Sekiranya anda dan pasangan sedang menginginkan zuriat, jangan berputus asa ya Mama. Cuba amalkan zikir dan doa-doa untuk zuriat ini selain terus mencuba pelbagai kaedah lain.
6. Mimpi mengandung yang dialami sesiapa sahaja
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa sesiapa sahaja yang bermimpi mengandung sama ada lelaki ataupun perempuan, baligh ataupun tidak, mimpi itu membawa maksud yang baik!
7. Mimpi melihat binatang mengandung
Bukan berkisarkan manusia sahaja, tetapi jika anda pernah bermimpi melihat binatang mengandung, itu mungkin beerti bahawa anda akan mendapat sesuatu keuntungan dan faedah, terutamanya jika binatang tersebut adalah binatang yang disukai.
8. Mimpi mengandung kembar
Selain itu, ada juga yang pernah bermimpikan mereka mengandung anak kembar.
Menurut kepercayaan sesetengah pihak, mimpi mengandung anak kembar membawa maksud yang amat baik. Anda dikatakan akan mendapat keuntungan atau rezeki yang berlipat kali ganda.
Secara umum, mimpi mengandung dipercayai membawa maksud yang baik.
Sama ada yang mengalaminya adalah wanita, lelaki, kanak-kanak ataupun anda melihat binatang hamil, itu mungkin petanda yang menunjukkan ke arah kebaikan.
Kandungan dalam mimpi tersebut mungkin merupakan simbolik kepada keuntungan yang akan diperolehi.
Tafsir Mimpi Dalam Islam
Mentafsir makna mimpi itu bukanlah kepakaran yang dimiliki semua orang.
Dalam Islam, Ibnu Sirin adalah ulama yang mempunyai kepakaran dalam menyingkap makna-makna di sebalik mimpi yang dialami.
Karyanya yang dikenali ramai iaitu buku Ensiklopedia Tafsir Mimpi telah dijadikan rujukan banyak pihak untuk memahami erti mimpi yang dialami.
Antara pandangan Ibnu Sirin tentang mimpi ialah:
Tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang terkandung didalamnya. Ada kalanya mimpi bagaikan angin lalu namun ada yang benar-benar menjadi kenyataan.
Mimpi insan yang bertakwa merupakan perkhabaran yang akan berlaku, kerana Rasulullah tidak bermimpi melainkan mimpi baginda menjadi kenyataan.
Sedangkan mimpi insan yang tidak beriman merupakan berita yang disebarkan oleh syaitan.
Buku tersebut merupakan antara sumber yang elok untuk dirujuk jika anda keliru atau ingin tahu mengenai makna mimpi anda.
Namun, anda juga boleh mendapatkan pandangan mereka yang alimi dan berpengetahuan luas dalam agama sebagai panduan.
Adab dan Pegangan Orang Islam Mengenai Mimpi
Tidak kiralah apa sahaja mimpi yang dialami, sama ada buruk ataupun tidak, kedua-duanya haruslah disusuli dengan tindakan yang sewajarnya.
Dalam Islam, jika anda bermimpikan sesuatu yang tidak elok, anda hendaklah membaca ta’awwuz dan meludah ke arah kiri sebanyak tiga kali.
Kemudian ubahlah tempat tidur anda namun sebaiknya, lakukanlah solat hajat terlebih dahulu dan berdoa meminta pertolongan dan perlindungan dari Allah.
InsyaAllah, mimpi tersebut tidak akan mendatangkan sebarang mudarat kepada anda.
Sebaliknya, jika anda bermimpi sesuatu yang menggembirakan, ucapkanlah kesyukuran kepada Allah dan ceritakanlah hal tersebut kepada orang lain.
Sesungguhnya, kebenaran sesebuah mimpi itu sebagai petunjuk dari Allah terletak pada tahap ketakwaan seseorang itu.
Mimpi mengandung boleh datang dalam pelbagai bentuk. Namun secara umumnya, ia dilihat sebagai petanda ke arah kebaikan dan akan membawa keuntungan.
Sebagai penganut agama Islam, kita haruslah meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada qadha dan qadar Allah walau apapun yang terjadi di samping berusaha sebaik mungkin.