Sebelum mendirikan rumah tangga, setiap pasangan harus melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu berkaitan perkahwinan dan rumah tangga.
Untuk mengelakkan konflik dan kekeliruan, ketahui apakah tanggungjawab-tanggungjawab suami dan isteri dan hal-hal berkaitan rumah tangga seperti nafkah isteri.
Hal nafkah isteri kadang-kala boleh menjadi isu dalam sesebuah rumah tangga. Hal ini boleh berlaku kerana mana-mana pihak mungkin mempunyai jangkaan yang berbeza-beza.
Maksud Nafkah Isteri
Nafkah isteri adalah sesuatu pemberian oleh suami kepada isteri. Dalam Islam, nafkah isteri terbahagi kepada dua, iaitu nafkah zahir dan nafkah batin.
Nafkah Zahir
Nafkah zahir ialah suatu tanggungjawab duniawi yang perlu dipenuhi oleh suami kepada isteri dengan menyediakan perkara-perkara kebendaan atau materialistik.
Hal-hal yang merangkumi nafkah zahir termasuklah tempat tinggal yang selesa, makan dan minum yang halal dan mencukupi, pakaian baru sekurang-kurangnya dua persalinan setahun, dan perubatan jika isteri jatuh sakit.
Ini semua adalah mengikut kemampuan dan ehsan suami dan tiada nilai yang ditetapkan. Jika masih berkemampuan, suami juga digalakkan untuk memberikan duit perbelanjaan untuk hal-hal peribadi si isteri yang boleh digunakan untuk apa jua perkara yang diidamkan isteri, asalkan ia adalah sesuatu yang halal.
Nafkah Batin
Nafkah batin pula merujuk kepada hubungan intim antara pasangan suami isteri dan ia merupakan suatu bentuk nafkah kepada isteri.
Jenis nafkah ini memerlukan beberapa syarat yang mesti dipenuhi, termasuklah melalui akad nikah yang sah, isteri menyerahkan diri kepada suami dan bukan dipaksa, isteri melayan suami dan memiliki kemampuan untuk melayani suami.
Sepertimana firman Allah s.w.t.;
Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.
Surah Al-Baqarah: Ayat 223
Nafkah isteri, sama ada zahir atau batin, adalah sesuatu yang dapat memberikan kegembiraan kepada isteri dan kebahagiaan dalam rumah tangga.
Beza Nafkah Isteri (Zahir) Dan Belanja Rumah Tangga
Nafkah isteri dari segi zahir, iaitu duit nafkah adalah tidak sama dengan belanja rumah tangga. Duit yang diberikan kepada isteri untuk urusan hal rumah tangga seperti perbelanjaan barang dapur, duit untuk membayar sewa atau pinjaman bulanan rumah, atau apa-apa perbelanjaan lain yang perlu dikongsi sesama ahli keluarga tidak boleh dikira sebagai bentuk nafkah.
Itu semua memang menjadi tanggungjawab suami untuk menyediakan buat keluarganya yang tersayang.
Jika si isteri mempunyai kerjaya dan pendapatannya sendiri, bergantung kepada isteri untuk berkongsi beban kewangan, dan suami tidak boleh menuntutnya daripada isteri.
Walaupun isteri bekerjaya dan mempunyai pendapatan yang lebih tinggi dari suami pun, suami tetap perlu memberikan nafkah kepada isteri, kerana itulah salah satu syaratnya untuk mendirikan rumah tangga dalam Islam.
Jangan pula encik suami berasa itu adalah tidak adil dan menjadi kebebanan! Banyak hikmah sebenarnya disebalik apa yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t.
Terutamanya jika isteri banyak berkorban demi suami dan anak-anak. Nafkah kepada isteri boleh dianggap sebagai tanda kesyukuran kepada isteri demi pengorbanan masa dan tenaganya buat keluarga.
Satu lagi firman Allah s.w.t.;
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.
Surah An-Nisaa’: Ayat 34
Begitulah indahnya Islam, kerana setiap perkara yang susah atau senang mempunyai hikmahnya tersendiri. Semoga rezeki pasangan suami isteri yang menuntut ajaran agama Islam dan seruan Allah s.w.t. berlipat kali ganda dan mendapat keberkatanNya.