Ibu, Bayi & Kanak Kanak

“Nursemaid Elbow” – Bahaya Hayun & Tarik Tangan Anak Terlalu Kuat Sampai Cedera

Pernah tak Mommy hayun anak dan esoknya mereka mengadu sakit? Ataupun tiba-tiba saja dia kata tangan sakit tak boleh bengkok kan? Haa, ada yang tak kena tu Mommy.

Nursemaid Elbow 

Mommy pernah dengar tak Nursemaid Elbow? Ia adalah kecederaan biasa dalam kalangan kanak-kanak dan ia berlaku apabila ligamen tergelincir daripada tempatnya dan terperangkap di antara dua tulang di sendi siku.

Nursemaid Elbow ataupun siku ditarik menyebabkan lengan anak Mommy sakit, tetapi mudah untuk dibetulkan oleh pakar dan tidak menyebabkan masalah yang berpanjangan.

Jika Mommy nak tahu dengan lebih lanjut, ikuti perkongsian daripada Dr Samhan tentang bahayanya tarik anak kuat-kuat.

Anak Mengadu Sakit Tangan, Apa Nak Buat Ni? 

“Doktor, tangan anak saya tak boleh bengkok. Dia mengadu sakit”

“Apa yang dah jadi?”

“Masa main tadi, saya cuma pegang tangan dia dan hayun sambil berpusing.”

Highlighted


Apakah Nursemaid Elbow? 

‘Nursemaid elbow’ atau dipanggil radial head subluxation adalah sejenis kecederaan otot ligamen atau tulang pada siku yang boleh berlaku apabila tangan anak tertarik dengan kuat.

Ia digelar nursemaid elbow kerana dipercayai ada suatu masa dahulu nursemaid (nanny) dikatakan sering menyebabkan kecederaan ini ketika menjaga kanak-kanak. Dalam bahasa ringkasnya, ia juga digelar ‘lengan tertarik’ atau ‘pulled elbow’.

Bagaimana Ia Boleh Berlaku? 

Tulang dan ligamen kanak-kanak masih lembut dan dalam proses perkembangan. Kecederaan ini boleh berlaku apabila berlakunya tarikan yang kuat pada siku.

Kanak-kanak berusia 1-4 tahun adalah yang paling kerap mendapat kecederaan ini. Pada usia 5 tahun, selalunya ligamen pada siku kanak-kanak akan menjadi lebih kuat dan mereka kurang berisiko mendapat nursemaid elbow ini.

Simptom

Dari segi luaran, ia mungkin sukar dilihat kerana kecederaan ini biasanya tidak menyebabkan bengkak atau kelainan (disfigurement) pada sendi. Simptom yang paling biasa berlaku apabila kanak-kanak mengalami lengan tertarik ini adalah rasa sakit. Mereka juga sukar menggerakkan lengan dan tangan kerana akan menyebabkan rasa lebih sakit.

Cara Mengelakkannya

Antara perbuatan yang perlu dielakkan oleh ibu ayah adalah:  

  • Tidak menghayun tangan anak ketika bermain
  • Tidak mengangkat anak dari tempat duduk/baring dengan menarik lengan/tangannya
  • Tidak menarik tangan anak dengan kuat ketika berjalan dengannya.
Seeloknya, angkat/dukung anak dengan selamat dengan memegang bahagian badan atau bawah ketiaknya.

Diagnosis dan Rawatan

Sekiranya anak anda mengadu sakit pada lengan atau siku atau menggerakkannya dalam keadaan yang luar biasa, bawalah anak berjumpa doktor. Pemeriksaan x-ray biasanya tidak diperlukan, tapi boleh dilakukan untuk mengesan masalah yang lebih serius seperti retak atau patah.

Doktor akan merawatnya melalui proses reduction, di mana tulang dan ligamen akan digerakkan dengan lembut kembali ke tempatnya. Proses ini biasanya akan mengambil beberapa saat saja. Dalam tempoh 5-10 minit, anak dah boleh gerakkan tangan macam biasa.

Tapi ada juga kes-kes tertentu yang memerlukan lebih masa dan rawatan untuk sembuh.

Patutlah si kecil asyik mengadu sakit je tangan dia ni! Rupanya dia cedera pada otot dia. Lepas ini kenalah Mommy hati-hati ya bila main dengan anak-anak.

Terima kasih Dr Samhan kerana memberi awareness tentang Nursemaid Elbow ataupun kecederaan otot ligamen atau tulang pada siku ini pada orang ramai. Bukan sahaja Mommy, tetapi keluarga, kawan-kawan dan jiran pun perlu tahu ya!

Sentiasa berhati-hati ya~

Kredit: Twitter Dr Samhan