Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Maklumat Mengenai Pakar Psikiatri, Jenis Perkhidmatan Dan Rawatan Yang Boleh Diberikan

Sumber: Adobe Stock

Sejak Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) dilaksanakan, anda tentu perasan ramai orang mula beriadah di kawasan atau perkarangan rumah memandangkan rakyat tidak dapat ke mana-mana. Ini kerana secara semulajadinya badan manusia perlu selalu bergerak!

Selain daripada kesihatan fizikal, kita juga perlu menjaga kesihatan mental. Kesihatan mental merujuk kepada kesejahteraan emosi dan psikologi anda. Kesihatan mental yang baik dapat membantu anda menjalani kehidupan yang bahagia dan sihat.

Ia juga dapat meningkatkan ketahanan dan kemampuan anda untuk menghadapi menghadapi kesulitan atau kesukaran hidup.

Highlighted

Sumber: Getty Images

Jadi dengan keadaan negara yang membimbangkan sekarang, ramai juga yang sudah mula untuk mencari pakar-pakar yang dapat membantu dalam meningkatkan kesihatan mental.

Salah satu daripada pakar tersebut ialah pakar psikiatri.

Siapa Pakar Psikiatri Dan Apakah Rawatan Yang Diberikan

Pakar psikiatri ialah seorang doktor bertauliah yang boleh mendiagnosis, merawat, dan membantu mencegah gangguan mental, emosi, dan tingkah laku.

Mereka menggunakan perubatan psikiatri, ujian fizikal, dan ujian makmal.

Pakar psikiatri adalah doktor dengan ijazah doktor perubatan (MD) atau ijazah doktor perubatan osteopati (DO).

Doktor pakar psikiatri sering merawat individu dengan keadaan kesihatan mental yang memerlukan perubatan, seperti:

  • gangguan kegelisahan atau keresahan (anxiety disorder)
  • gangguan kekurangan perhatian hiperaktif (attention deficit hyperactivity disorder atau ADHD)
  • gangguan bipolar
  • kemurungan serius (clinical depression)
  • gagguan tekanan selepas trauma (post-traumatic stress disorder atau PTSD)
  • skizofrenia
Sumber: Getty Images

Setelah membuat diagnosis, pakar psikiatri boleh merujuk anda ke psikoterapi untuk terapi atau memberi ubat.

Beberapa jenis ubat-ubatan yang boleh diberi oleh pakar psikiatri termasuk:

  • antidepressant
  • ubat antipsikotik (antipsychotic medication)
  • penstabil mood (mood stabiliser)
  • ubat perangsang
  • ubat penenang (sedatives)

Selepas memberi ubat-ubatan kepada pesakit, pakar psikiatri akan memantau pesakit tersebut dengan teliti untuk tanda-tanda peningkatan kesihatan serta kesan sampingan. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, mereka boleh membuat perubahan pada dos atau jenis ubat.

Pakar psikiatri juga boleh menetapkan jenis rawatan lain seperti terapi elektrokonvulsif dan terapi cahaya.

Sumber: Getty Images

Perbezaan Antara Pakar Psikiatri, Doktor Psikologi, Dan Kaunselor

Walaupun bunyi profesion psikiatri dan psikologi adalah hampir serupa dan kedua-duanya dilatih untuk mendiagnos dan merawat kesihatan mental, namun psikiatri dan psikologi adalah tidak sama.

Kaunselor pula termasuk dalam bidang yang sama dengan psikiatri dan psikologi, tetapi ia juga amatlah berbeza dari pakar psikiatri dan doktor psikologi.

Setiap profesional ini mempunyai latar belakang pendidikan, latihan, dan peranan yang berbeza dari segi rawatannya.

Kelayakan

Pakar psikiatri mempunyai ijazah perubatan bersama dengan kelayakan lanjutan dari latihan dan kepakaran dalam psikiatri. Maksudnya taraf mereka sama seperti anda berjumpa dengan doktor pakar bedah, misalnya.

Mereka menggunakan terapi bicara, ubat-ubatan, dan rawatan lain untuk merawat individu yang mempunyai masalah kesihatan mental.

Doktor psikologi pula mempunyai ijazah lanjutan seperti doctor of philosophy (PhD) atau doctor of psychology PsyD yang memberikan mereka gelaran ‘doktor’. Selalunya, mereka menggunakan terapi bicara untuk merawat keadaan kesihatan mental, tetapi mereka tidak memberikan rawatan ubatan.

Mereka juga boleh bekerja sebagai perunding atau konsultan bersama dengan pegawai perubatan lain atau terapi kajian untuk program rawatan yang bersesuaian.

Sumber: Getty Images

Kedua-dua pakar psikiatri dan doktor psikologi mesti berkhidmat dibawah lesen di kawasan mereka untuk memberikan rawatan. Pakar psikiatri juga mempunyai lesen sebagai doktor perubatan.

Kaunselor pula adalah istilah am yang digunakan untuk menggambarkan seseorang yang memberikan kaunseling. Gelaran kaunselor juga boleh merangkumi istilah “berlesen” atau “profesional.”

Jika anda ingin berjumpa dengan kaunselor sahaja, pastikan anda bertanya mengenai pendidikan, pengalaman, dan jenis perkhidmatan kaunselor tersebut kerana istilah ini tidak khusus.

Kaunselor boleh membuat pengkhususan dalam bidang seperti:

  • kaunselor di tempat pekerjaan untuk tekanan kerja
  • kaunselor perkahwinan
  • cikgu yang bertugas sebagai kaunselor disekolah

Tempat Pekerjaan

Pakar psikiatri dan doktor psikologi menggunakan kaedah yang berbeza untuk merawat kesihatan mental. Kadang-kadang mereka bekerja di persekitaran yang berbeza.

Walaubagaimanapun, kebanyakan pakar psikiatri dan doktor psikologi boleh menjalankan tugas jenis-jenis tempat yang sama seperti:

  • klinik peribadi
  • hospital
  • hospital psikiatri
  • pusat perubatan universiti
  • rumah jagaan
  • penjara
  • program pemulihan

Bagi kaunselor pula, bergantung kepada jenis kaunselor tersebut, mereka boleh menetapkan tugasan di hospital, tempat kerja, sekolah, dan mana-mana tempat yang mungkin memerlukan perkhidmatan kaunseling. Kaunselor juga boleh membuat kaunseling dalam kumpulan.

Sumber: Getty Images

Jenis Terapi

Seperti yang disebutkan tadi, doktor pakar psikiatri sering merawat individu dengan keadaan kesihatan mental yang memerlukan perubatan. Mereka menggunakan ujian psikologi serta ujian makmal untuk menentukan keadaan kesihatan mental seseorang.

Manakala doktor psikologi pula biasanya merawat orang dengan terapi bicara. Rawatan ini melibatkan pesakit untuk duduk dengan doktor psikologi dan bercakap mengenai sebarang masalah yang dialami.

Selama beberapa sesi, doktor psikologi akan bekerjasama dengan pesakit itu untuk membantu mereka memahami gejala mereka dan bagaimana untuk menguruskannya tanpa memerlukan perubatan.

Kaunselor pula selalunya tidak menggunakan istilah ‘merawat’ bagi individu-individu yang berjumpa untuk mendapatkan pertolongan, tapi selalunya mereka boleh mendengar rintihan individu tersebut dan mungkin menawarkan beberapa nasihat.

Sumber: Getty Images

Pengkhususan

Kedua-dua pakar psikiatri dan doktor psikologi boleh membuat pengkhususan dalam bidang rawatan kesihatan mental.

Untuk menjadi pakar psikiatri yang terlatih, mereka mesti membuat latihan ‘residency‘ selama empat tahun selepas tamat pembelajaran. Dalam program residency ini, pakar psikiatri bekerja dengan orang-orang di hospital dan pesakit luar. Mereka belajar bagaimana untuk mendiagnosis dan merawat keadaan kesihatan mental dengan menggunakan ubat, terapi, dan rawatan lain.

Sesetengah pakar psikiatri mendapat latihan tambahan dalam bidang khusus, seperti:

  • ubat ketagihan
  • psikiatri kanak-kanak dan remaja
  • psikiatri geriatrik
  • psikiatri forensik
  • ubat tidur

Doktor psikologi perlu melengkapkan latihan peringkat siswazah dan kedoktoran selama empat hingga enam tahun. Setelah memperoleh ijazah, doktor psikologi perlu melengkapkan latihan satu hingga dua tahun lagi yang melibatkan mereka bekerja dengan orang lain.

Seperti pakar psikiatri, doktor psikologi juga boleh mendapatkan latihan khusus dalam bidang seperti:

  • psikologi klinikal
  • geropsikologi
  • neuropsikologi
  • psikoanalisis
  • psikologi forensik
  • psikologi kanak-kanak dan remaja

Kaunselor pula bergantung kepada jenis perkhidmatan yang ditawarkan dan apa taraf kaunselor tersebut. Selalunya kaunselor hanya memerlukan latihan atau ‘training‘ khusus dengan bidang yang diceburi.

Sebagai contoh, cikgu disekolah yang bertugas sebagai kaunselor mungkin perlu menjalani beberapa latihan untuk mendapatkan sijil yang membolehkan cikgu tersebut bertugas sebagai kaunselor.

Sumber: Getty Images

Jadi bergantung kepada jenis perkhidmatan yang anda perlukan, anda boleh mencari pakar psikiatri, doktor psikologi, atau kaunselor yang mempunyai pengkhususan yang dicari.

Cara Mendapatkan Rawatan Psikiatri Di Malaysia

Anda boleh mendapatkan rawatan psikiatri di Malaysia di beberapa hospital kerajaan, hospital pengajar (universiti), dan hospital atau klinik swasta.

Hospital Kerajaan (Kementerian Kesihatan Malaysia)

1. Hospital Kuala Lumpur

2. Hospital Selayang, Selangor

3. Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Selangor

4. Hospital Serdang, Selangor

5. Hospital Kajang, Selangor

6. Hospital Ampang, Selangor

7. Hospital Sungai Buloh, Selangor

8. Hospital Putrajaya

9. Hospital Tuanku Fauziah, Perlis

10. Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah

11. Hospital Sultan Abdul Halim, Kedah

12. Hospital Bukit Mertajan, Pulau Pinang

13. Hospital Taiping, Perak

14. Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak

15. Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak

16. Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan

17. Hospital Melaka

18. Hospital Sultanah Aminah, Johor

19. Hospital Segamat, Johor

20. Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Johor

21. Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang

22. Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang

23. Hospital Raja Permaisuri Zainab II, Pahang

24. Hospital Sentosa, Sarawak

25. Hospital Miri, Sarawak

26. Hospital Duchess of Kent Sandakan, Sarawak

27. Hospital Umum, Sarawak

28. Hospital Queen Elizabeth, Sabah

Hospital Universiti

1. Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)

2. Hospital Pengajar UPM Serdang

3. Pusat Perubatan UKM (PPUKM) / Hospital Canselor Tuanku Muhriz

4. Pusat Perubatan UIAM (Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah)

5. Hospital USM (HUSM) Kubang Kerian

Sumber: Hospital Kuala Lumpur

Beberapa klinik dan hospital swasta juga menawarkan perkhidmatan pakar psikiatri dan boleh menjadi pilihan anda jika mahukan rawatan yang lebih cepat dan mengikut keselesaan.

Seorang pakar psikiatri boleh menjadi pilihan yang baik jika anda mempunyai masalah kesihatan mental yang kompleks yang memerlukan perubatan. Anda boleh membuat temu janji di klinik atau hospital pilihan jika memerlukan perkhidmatan tersebut.

Semoga bermanfaat.