Berapa banyak Mommy yang melalui masalah tidur seperti ini? Anak tidak mahu tidur ataupun terlebih tidur hingga membuat mereka berasa letih, lemah dan juga cepat marah dan meragam. Ada masa sampai pening kepala emaknya, sudah buntu tak tahu apa yang harus dilakukan.
Seorang ibu dan juga Pakar Terapi, Puan Syafiqah Allias, kongsikan pengalamannya berdepan dengan ibu yang tidak menitikberatkan waktu dan jumlah masa tidur anak yang masih kecil.
Berikut merupakan perkongsian berliau yang kini mencecah sehingga hampir 2 ribu shares di Facebook. Untuk meringankan beban Mommy, Puan Syafiqah Allias juga memberi petua dan tips dalam posting yang sama.
Adakah Mommy pantau masa tidur anak?
“Saya biar je jam berapa anak saya nak tidur, saya teman lah. Bahaya pulak biar dia berjaga seorang diri.”
“Tapi selalunya anak tidur jam berapa?” Soal Terapis lagi mencari kepastian.
“Ikut, kadang jam 12 Malam ke, 1 ke 2 pagi pun pernah. Tapi ada juga kadang tertidur awal kalau dia penat sangat.”
Jeda. Sudah berkali kami berpesan kepada ibu ayah yang datang tentang menitikberatkan masa tidur anak. Apabila pandemik melanda, kes yang datang juga tinggi dengan masalah tidur dan penggunaan gajet tidak terkawal.
”Jadi kena bagi dia aktif lah, baru tidur awal.” ujar Terapis semula.
“Oh, susah nak bagi tidur awal, sebab dia tak boleh tidur. Tadi siang tidur dari jam 2 sampai jam 6 petang.”
Yaaaa, wajarlah tak boleh masuk tidur awal. Dah recharge tenaga. Huhu.
Tidur Penting untuk Perkembangan Anak-anak
Kenapa tidur penting bagi perkembangan anak-anak?
Sebab kurang tidur akan mengganggu hormon tumbesaran anak dan perkembangan mereka. Semasa anak tidurlah Growth Hormone tu dirembeskan. Tapi, bukanlah tidur asal tidur sahaja. Ada masanya hormon tersebut dirembeskan dan berkesan.
Kurang tidur membuatkan anak tak ada mood, semua serba tak kena. Badan penat, tapi masih nak main kan. Sambil main, sambil marah-marah. Salah sikit, dah nak jerit marah. Jangan yang kecil, kita dewasa bila tak cukup tidur pun sama kan?
Rutin tidur harian
Jadi, apa perlu buat?
- Rutinkan masa tidur anak contoh seperti tidur jam 10 malam. Jam 930 malam dah kena selesai rutin tidur dan masuk ke dalam bilik.
- Pupuk rutin tidur seperti, sebelum tidur, minum susu, gosok gigi, kencing lepas tu masuk bilik baca doa tidur.
- Siang hari, pendekkan nap time: 1 jam – 1 jam 30 min sahaja.
- Waktu nap time lebih awal, tidak lebih dari jam 3 petang.
- Pastikan seboleh-bolehnya anak dapat melakukan banyak aktiviti fizikal di waktu siang.
Jika masih sukar tidur, semak kembali rutin harian.
Fitrah anak adalah bermain, bergerak. Sepanjang musim sekarang, keperluan itu sukar untuk dicapai.
Tuntutan ibu ayah pula adalah bekerja, jadi masa untuk ke taman permainan juga suntuk. Ada ibu ayah yang tidak berkesempatan pun nak bawa pada hari bekerja, masa/tenaga dah habis daya.
Jadi apa yang boleh kita lakukan adalah dengan membantu menyediakan persekitaran yang bersesuaian di rumah.
Andai ada ruang bagi trampoline, sila kan. Jika tidak, kenalah kreatifkan diri untuk memastikan anak mendapat cukup keperluan pergerakan harian mereka. Mungkin lekat masking tape buat bentuk teng-teng tu boleh membantu, silakan jugak ya ayah ibu.
Semoga anak-anak kita mendapat tidur yang cukup dalam memastikan perkembangan mereka berkembang dengan lebih baik ya.
Semoga Bermanfaat
Banyak perkongsian yang telah diberikan oleh Puah Syafiqah Allias. Semoga Mommy dapat manfaat daripada tips-tips dan petua ini. Jangan lupa untuk berjumpa dengan pakar sekiranya masalah berlarutan ya, Mommy?