Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Mendaftar Kelahiran Bayi Di Kaunter JPN Dan Secara Atas Talian

Sumber: Adobe Stock

Perasaan menimang cahaya mata buat kali pertama kadang-kala susah nak digambarkan. Saat-saat yang dinantikan itu selalunya penuh dengan rasa gembira dan syukur dan ia cukup bermakna bagi setiap pasangan ibu bapa.

Setelah menyambut kelahiran bayi, salah satu perkara yang perlu dilakukan ialah mendaftar kelahiran bayi tersebut dan memberinya nama yang indah dan bermakna.

Panduan Mendaftar Kelahiran Di Kaunter JPN

Pendaftaran kelahiran di Malaysia perlu di buat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Secara umumnya, setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia hendaklah didaftarkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kelahiran anak.

Pendaftaran adalah percuma, namun jika Mama dan Papa lewat, mungkin akan dikenakan denda fi nominal permohonan.

Siapa Yang Boleh Mendaftar?

Mama tentu sibuk dengan penjagaan bayi yang baru lahir, tambahan pula lepas bersalin kena berpantang! Walaupun Mama boleh dan sempat tunggu sehingga habis pantang untuk pergi mendaftar, seeloknya biarlah ahli keluarga lain yang membantu.

Highlighted


Untuk mendaftar kelahiran bayi, pemohonan boleh dibuat oleh individu berikut:

  • ibu atau bapa bayi
  • penjaga bayi
  • seseorang yang mengetahui atau menyaksikan kelahiran bayi
  • ibu dan bapa bayi bagi pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf

Maklumat bapa bagi anak tidak sah taraf atau luar nikah tidak akan dicatatkan dalam daftar kelahiran kecuali dengan permohonan bersama ibu bayi berserta individu yang mengaku dirinya sebagai bapa kepada bayi tersebut.

Individu yang mengaku sebagai bapa kepada bayi tersebut perlu menandatangani daftar kelahiran bersama-sama ibu bayi berkenaan.

Senarai Dokumen Yang Diperlukan

Pada kebiasaannya selepas bayi dilahirkan, staf hospital akan menyediakan sesetengah dokumen  daftar kelahiran dan menyimpannya dalam suatu sampul.

Di situ ada nombor pejabat JPN yang boleh dihubungi untuk buat temujanji.

Pemohon, sama ada ibu bapa, penjaga, atau individu yang disenaraikan di atas untuk memaklumkan kelahiran bayi dikehendaki hadir ke mana-mana kaunter JPN dengan membawa dokumen-dokumen yang diperlukan seperti berikut:

Dokumen Bayi Baru Lahir (Asal Dan Salinan)

  1. Borang Daftar Kelahiran JPN.LM01 yang telah diisi dengan lengkap (borang asal)
  2. Borang Pengesahan Kelahiran daripada hospital atau Surat Pengesahan Doktor bagi kelahiran di rumah (borang dan surat asal)
  3. Laporan Polis bagi kelahiran di rumah (laporan asal)
  4. Kad Pranatal (Buku Rawatan Mengandung)/ Buku Pink atau Kad Rawatan Semasa Ibu Mengandung (asal dan salinan)
  5. Surat akuan AM80 sekiranya tiada buku rawatan mengandung atau kad rawatan mengandung
Kredit: KelabMama
Dokumen Ibu Dan Bapa (Asal Dan Salinan)
  1. Kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri ibu dan bapa (asal dan salinan)
  2. Sijil Kematian ibu dan bapa anak (asal dan salinan – jika berkaitan)
  3. Dokumen Perkahwinan atau Perceraian ibubapa anak (asal dan salinan)
Dokumen Pemaklum Atau Pendaftar (Asal Dan Salinan)
  1. Kad Pengenalan atau dokumen pengenalan diri seperti pasport pemaklum jika pemaklum bukan ibu atau bapa anak (asal dan salinan)

Panduan Mendaftar Kelahiran Di Atas Talian

Pada musim wabak Covid-19 berserta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sering dilaksanakan sekarang, Mama atau Papa boleh membuat pendaftaran kelahiran anak di atas talian atau secara online.

Tambahan pula, tempoh pendaftaran kelahiran bayi sejak April 2020 telah dilanjutkan kepada 90 hari, berbanding dengan 60 hari yang disebutkan tadi. Jadi Mama dan Papa tak perlu tergesa-gesa ke kaunter JPN untuk mendaftar kelahiran.

Tapi apabila PKP dilaksanakan, Mama dan Papa boleh pula membuat pemohonan pendaftaran di atas talian. Ini membuatkan pendaftaran lebih senang dan cepat! Tak perlu juga berpusu-pusu ditempat awam untuk mengelakkan dijangkiti wabak Covid-19.

Di sini Motherhood menyediakan panduan untuk mendaftar kelahiran di atas talian berserta gambar.

Proses Pendaftaran Pengguna

Sebelum mendaftar kelahiran anak, Mama atau Papa perlulah mendaftar akaun pengguna dahulu.

1. Pergi ke halaman utama Sistem Pendaftaran Kelahiran dalam talian JPN di sini.

2. Pastikan individu yang ingin mendaftar kelahiran mempunyai akaun di Portal MyGovernment dulu.

  • Klik pada ‘Daftar Pengguna Baru’ jika tiada akaun; atau
  • Klik pada ‘Log Masuk’ jika pernah mencipta akaun sebelum ini

3. Untuk mendaftarkan diri sebagai pengguna baru, isikan maklumat diri dengan betul dan lengkap.

4. Setelah menghantar borang maklumat peribadi untuk mendaftar, anda akan mendapat e-mel pengesahan untuk mengaktifkan akaun. Klik pada link yang diberi dalam e-mel tersebut.

5. Link tersebut akan membawa anda ke satu laman di mana anda perlu mencipta kata laluan dan teks pengesahan (CAPTCHA).

6. Setelah berjaya mencipta kata laluan dan memasukkan teks pengesahan, anda boleh mula log masuk.

7. Selepas log masuk buat pertama kali, anda perlu menanda ‘Setuju’ pada terma dan syarat untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

8. Selesai semua proses di atas, anda boleh mula mendaftar kelahiran anak.

Proses Pendaftaran Kelahiran

Selesai mendaftar akaun pengguna, Mama dan Papa boleh lah memulakan proses permohonan pendaftaran anak.

1. Lengkapkan maklumat kelahiran yang diminta dan klik ‘Seterusnya’ apabila selesai.

2. Kemudian lengkapkan pula maklumat pemohon dan klik ‘Seterusnya’ apabila selesai.

Sumber: mysumber.tv

3. Lengkapkan maklumat-maklumat lain yang diminta dan klik ‘Daftar’.

Sumber: mysumber.tv

4. Jika permohonan berjaya di hantar, anda akan mendapat paparan menunjukkan permohonan adalah berjaya berserta nombor slip permohonan anda. Slip tersebut boleh dicetakkan.

Sumber: mysumber.tv

5. Bawa borang permohonan yang dicetak ke kaunter JPN berdekatan untuk diproses.

Sumber: mysumber.tv

Senang sahaja kan? Kemungkinan besar proses yang paling susah untuk dilakukan ialah memilih nama anak!

Perlu diingati bahawa pendaftaran kelahiran online ini masih perlu dibuat dalam tempoh 30 hari selepas kelahiran bagi warga Semenanjung dan tujuh hari bagi warga Sabah, Sarawak, dan Labuan dari tarikh kelahiran anak.

Tempoh 60 hari yang diberi pula adalah untuk pemohon hadir di hadapan pendaftar untuk pengesahan pendaftaran bagi warga Semenanjung dan 14 hari bagi warga Sabah, Sarawak, dan Labuan.

Semoga bermanfaat.