Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Untuk Bantu Emosi Kanak Kanak Ketika Bencana: Bagaimana Mommy Boleh Bantu?

Setelah kita digempurkan dengan banjir besar yang melanda Lembah Klang, Pahang, dan juga Selangor, waktu ini adalah masa yang sukar untuk mangsa-mangsa banjir. Oleh itu, terdapat pelbagai jenis mangsa yang terkesan, tak kira peringkat usia – daripada orang tua, dewasa dan juga tidak lupa pada kanak-kanak.

Sebagai ibu bapa dan orang yang lebih berumur, kita haruslah beri perhatian yang lebih kepada anak-anak yang jauh lebih muda. Mereka juga mengalami masa yang sukar untuk memproses becana yang berlaku ini.

Seorang Pensyarah dan juga Pakar Psikiatri di UIAM Kuantan, Dr Rozanizam Zakaria kongsikan langkah-langkah bagaimana kita sebagai ibu bapa ataupun orang yang lebih tua, dapat membantu mengawal emosi kanak-kanak sewaktu dilanda bencana.

Berikut adalah perkongsian daripada satu bebenang di Twitter melalui akaun peribadinya:

Bagaimana Nak Bantu Emosi Kanak-Kanak Sewaktu Bencana?

Pertama sekali, kita tidak perlu memaksa anak-anak kita untuk memberitahu masalah mereka.

JANGAN lakukan atau katakan ini:

  • Paksa mereka bercerita jika mereka enggan
  • Merendahkan perasaan mereka seperti berkata “semua ini kecil sahaja” atau “bukankah kamu dah selamat!”
  • Memaksa perasaan anda kepada mereka
  • Menolak bantuan
  • Menipu mereka untuk menyembunyikan kebenaran
  • Berjanji sesuatu yang tidak realistik

Kemudian, ibu bapa hendaklah membuat anak rasa selesa dan selamat.

Sebaliknya, sampaikan mesej-mesej ini kepada mereka:

  • Anda menyayangi mereka
  • Anda akan melakukan yang terbaik untuk melindungi mereka
  • Apa juga perasaan yang mereka alami adalah normal dan boleh dibantu
  • Mereka tidak bersalah atas apa yang terjadi

Pastikan emosi kanak-kanak;

  • Beri mereka ruang untuk meluahkan – dengan kata-kata, bermain, lukisan, dan sebagainya.
  • Kurangkan pendedahan mereka kepada berita yang merisaukan berkenaan kejadian.
  • Cuba memastikan rutin mereka tidak terganggu – tidur pada waktunya, beri ruang bermain, berhubung, beraktiviti, makan secara teratur.
  • Bantu mereka tidur jika mereka menghadapi kesukaran seperti membacakan cerita, memeluk dan sebagainya.
  • Beri mereka rasa masih mampu mengawal sesetengah perkara – contoh biarkan mereka membuat keputusan atau pemilihan dari segi makanan, pakaian, permainan, dan lain-lain.
  • Jawab persoalan anak anda dengan jujur.
  • Tunjukkan cara hadapi tekanan dengan positif supaya anak anda mencontohi anda.
  • Bimbing anak-anak kembali kepada rutin sebelum bencana secepat mungkin selepas semuanya selesai.

Dapatkan bantuan professional sekiranya:

  • Perubahan pada anak anda berterusan, semakin serius atau mula memberi kesan kepada kehidupan mereka.
  • Anak menunjukkan risiko seperti mencederakan diri, enggan makan atau minum.

Kredit: Twitter Ikatan Muslimin

Banyak yang dapat kita pelajari daripada Dr Rozanizam tentang masalah dan panduan untuk bantu anak-anak kita. Yang paling penting, fahami akan kehendak dan kesukaran yang mereka sedang lalui. Ibu bapa harus sentiasa membuatkan mereka rasa selamat, selesa dan membuat aktiviti yang seronok untuk mengembalikan atau meningkatkan mood mereka.

Semoga panduan ini dapat membantu para ibu bapa yang mempunyai kesukaran untuk memahami masalah anak-anak kita. Mommy juga boleh membuat persediaan awal sebelum apa-apa yang berlaku. Peringatan untuk Mommy, segera berjumpa dengan pakar jika masalah menjadi semakin parah dan serius.

Sentiasa berwaspada dengan sekeliling anda dan stay safe!

“Kesukaran bukan maksud untuk berhenti, tetapi ia adalah garis panduan.”

-Robert Schuller

Untuk mendapatkan lebih banyak maklumat tentang kesihatan mental kanak-kanak ketika bencana dan bantuan, boleh klik di sini.