Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Payudara Ketika Hamil – Ini Perubahan Bakal Anda Lihat Mengikut Trimester Kehamilan

payudara ketika hamil

Kredit gambar: lookyounger.net

Tempoh kehamilan adalah suatu tempoh yang bukan sahaja menguji ketahanan mental malah fizikal. Sepanjang tempoh kehamilan ini tubuh badan wanita hamil akan mengalami pelbagai perubahan samada dari segi mental dan fizikal.

Selain perut yang membesar, perubahan dari segi fizikal yang lain termasuklah perubahan payudara. Kenapa berlaku perubahan payudara ketika hamil?

Untuk ketahui dengan lebih lanjut, perkongsian kali ini akan membantu Mommy mendapatkan gambaran jelas berkenaan perubahan payudara semasa hamil ini.

Perubahan Payudara Ketika Hamil Mengikut Trimester

Highlighted

Kredit gambar: www.toplinemd.com

Trimester Pertama (0 hingga 13 minggu)

  • Payudara lembut/lembik ketika hamil dan rasa tidak selesa yang disebabkan oleh perubahan hormon dan juga peningkatan peredaran darah di bahagian tisu payudara Mommy.
  • Payudara membesar dan ini akan menyebabkan payudara Mommy menjadi sedikit gatal kerana kulit menegang.
  • Urat pada payudara Mommy juga akan kelihatan disebabkan oleh peningkatan jumlah aliran darah yang berlaku semasa hamil.

Trimester Kedua (14 hingga 27 minggu)

  • Areola menjadi gelap yang disebabkan oleh perubahan hormon yang berlaku dalam tubuh badan wanita hamil. Namun, ianya akan kembali ke warna asal selepas penyusuan berlaku.
  • Terdapat benjolan yang akan muncul pada areola Mommy semasa hamil. Benjolan ini adalah kelenjar yang menghasilkan minyak dan penting untuk memudahkan proses penyusuan kelak.
  • Puting akan mengeluarkan cecair iaitu cecair berwarna kuning dan pekat. Ianya dikenali sebagai colostrum. Namun, tidak semua ibu hamil mengalaminya pada trimester kedua, kerana ianya juga boleh keluar selepas bayi mula menghisapkan.
  • Ketulan pada payudara juga boleh muncul semasa trimester kedua. Namun, ketulan ini tidaklah berbahaya kerana ianya mungkin disebabkan oleh salur susu yang tersumbat atau. Tetapi, sangat digalakkan untuk merujuk doktor Mommy.

Trimester Ketiga (28 hingga 40 minggu)

  • Memasuki trimester ketiga, pembesaran dan perubahan yang disebutkan di atas akan berterusan sehingga melahirkan.
  • Stretch Mark akan muncul di sekitar payudara Mommy kerana pertumbuhan tisu yang cepat dan meregangkan kulit yang dahulunya tegang.

Tips untuk Menghilangkan Payudara Sakit Ketika Hamil

Bagi Mommy yang mengalami sakit di bahagian payudara ketika mengandung, berikut adalah beberapa tips untuk menghilangkan sakit pada payudara yang dialami.

  1. Mommy boleh menyapu sebarang losyen atau minyak untuk melegakan rasa sakit yang dialami. Payudara menjadi sakit boleh diakibatkan oleh rasa gatal dan kulit yang menegang. Pastikan minyak dan losyen yang disapu adalah selamat digunakan untuk ibu mengandung.
  2. Selain itu, Mommy juga boleh merawat saluran susu yang tersumbat dengan meletakkan kompres hangat pada tempat yang sakit. Bukan itu sahaja, malah Mommy juga boleh melakukan urutan untuk mengurangkan rasa sakit yang dialami.
  3. Akhir sekali, lakukan pemeriksaan sekiranya Mommy mengalami atau mempunyai ketulan pada payudara Mommy semasa hamil.

Tips Pemilihan Bra Ketika Hamil

Kredit gambar: www.synergyplasticsurgery.com

Semasa hamil, payudara Mommy akan berlaku perubahan yang akan membuatkan payudara Mommy sakit atau tidak selesa. Oleh itu, pemilihan bra yang sesuai amatlah penting untuk keselesaan Mommy. Berikut adalah tips pemilihan bra yang boleh dijadikan rujukan Mommy.

  1. Pastikan bra yang dipilih memberi sokongan yang baik kepada payudara Mommy. Contohnya, saiz yang betul dan jenis kain lembut pada kulit.
  2. Mempunyai tali yang lebar. Tali yang lebar membantu mengurangkan rasa sakit dan memastikan ianya dapat memberikan sokongan kepada payudara Mommy.
  3. Bahagian penutup yang boleh dilaraskan mengikut keselesaan Mommy.
  4. Tiada besi yang boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada payudara yang sakit.
  5. Pastikan memilih bra yang diperbuat dari komposisi kapas.
  6. Pastikan tiada design berhampiran dengan kawasan puting.

Kesimpulannya, segala perubahan yang berlaku kepada Mommy sepanjang tempoh kehamilan ini adalah sebagai persediaan Mommy untuk proses penyusuan yang akan berlaku selepas proses kelahiran berlaku nanti. Oleh itu, jangan risau yang berlebihan dan nikmati saat-saat ini.


Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.


Dapatkan pelbagai lagi tips, info dan panduan menarik yang lain di SINI!