Setiap pasangan berkahwin pasti inginkan kehadiran cahaya mata. Namun, tak semua pasangan bernasib baik disahkan hamil sejurus berkahwin. Ada yang selepas beberapa kali mencuba, baru rezeki anak datang malah ada juga yang terpaksa tunggu sehingga bertahun lamanya. Umum mengetahui beberapa sebab mengapa sukar untuk hamil, dan antaranya ialah Sindrom Polisistik Ovari (PCOS). Mungkin segelintir masyarakat masih tidak tahu mengenai penyakit yang sering menyerang kaum wanita ini.
Dalam setiap 100 wanita, akan ada 2 hingga 26 wanita mengalami penyakit ini. PCOS mampu mengganggu kesuburan, hormon dan juga mengubah penampilan wanita.
Ikuti penjelasan Dr Muhammad Izzat dan informasi yang telah diolah daripada perkongsian Dr Natasha Nor di bawah:
Apa itu Sindrom Polisistik Ovari (PCOS)?
Secara umumnya, PCOS berlaku apabila keadaan kilang telur atau ovari wanita menjadi bengkak disebabkan benih terperangkap di dalamnya, dan tidak boleh menetas ketika waktu subur. Keadaan ini juga mengganggu kitaran haid seorang wanita. Sebab tu ada sesetengah antara kita mengalami haid tidak teratur. Ada yang tidak datang haid untuk jangka waktu panjang, malah ada juga yang mengalami pendarahan haid yang sangat banyak atau berpanjangan.
PCOS juga disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon dalam badan wanita; di mana terdapat lebihan hormon lelaki dan insulin dalam pesakit.
Apa pula ovari polisistik?
Mengikut perkongsian Dr Muhammad Izzat,
Ovari polisistik adalah ovari yang lebih besar dari ovari ovari yang normal dan mempunyai 2 kali ganda folikel (ruang kosong dalam ovari yang berisi air selepas ovari menetaskan telur dalam setiap ovulasi).
Maka, dengan mempunyai ovari polisistik tak bermakna anda mengalami PCOS. Tetapi wanita yang telah didiagnos dengan PCOS mempunyai ovari polisistik.
Punca Sebenar PCOS
Sehingga ke hari ini, punca sebenar penyakit ini masih tidak diketahui. Pakar-pakar mempercayai ianya merupakan penyakit yang diwarisi. Ujar Dr. Muhammad Izzat lagi,
Perlu diketahui gejala yang timbul akibat PCOS sebenarnya berpunca dari ketidakseimbangan hormon dalam badan.
Hasilnya paras gula dalam darah meningkat. Untuk mengatasi masalah ini, badan secara automatik akan menghasilkan lebih banyak insulin. Insulin yang banyak ini menjadi punca kepada masalah kegemukkan, haid tak teratur, masalah kesuburan dan paras hormon lelaki (testosteron) yang tinggi.
Simptom-simptom Anda Mengalami PCOS
- Haid menjadi tak teratur atau tiada langsung.
- Pertumbuhan bulu lebih banyak di muka dan badan (hirsuitism).
- Kepala botak.
- Berat badan menjadi berlebihan – berat badan naik dengan cepat dan susah nak diturunkan.
- Kulit berminyak dan senang naik jerawat.
- Sukar untuk hamil.
- Kemurungan dan masalah psikologi.
- Kolesterol tinggi.
Perlu diingatkan simptom-simptom ini berbeza antara satu pesakit dengan yang lain. Ada yang mengalami simptom yang sedikit, dan ada juga yang mengalami simptom yang melampau.
Kenapa Pesakit Ini Sukar Hamil?
Menurut perkongsian Dr Natasha Nor di laman blog beliau,
- Masalah Ovulasi
Tiap-tiap bulan, folikel kecil akan berkembang dan matang di dalam kilang telur, ovulasi akan berlaku apabila folikel itu matang dan dilepaskan ke dalam saluran peranakan. Akan tetapi, apabila berlaku ketidakseimbangan hormon di dalam badan, i.e hormon lelaki dan insulin yang berlebihan, ini akan menyebabkan gangguan pada perkembangan dan kematangan telur. Ovulasi tidak akan berlaku dan kitaran haid terganggu. Oleh itu, pesakit akan lebih sukar untuk hamil.
Cara Mengenal Pasti PCOS
Penyakit PCOS boleh dikenal pasti apabila anda mengalami keadaan-keadaan di bawah:
Sekiranya anda mengalami mana-mana simptom di atas, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Jangan malu dan segan untuk beritahu doktor hal sebenar. Hal ini untuk mengelakkan daripada kesan pada kesihatan untuk jangka masa panjang seperti di bawah.
Kesan jangka panjang sekiranya mengalami penyakit ini:
# Diabetes #
Jika paras gula darah anda tidak berada dalam tahap normal, ia boleh menyebabkan diabetes. Kira-kira seorang atau dua dari 10 wanita yang menghidap PCOS boleh menghidap penyakit kencing manis dalam jangka masa panjang.
Diabetes yang tidak dirawat pula akan menyebabkan kesan buruk untuk jangka masa panjang. Menurut Dr Muhammad Izzat,
Jika anda penghidap PCOS, kemungkinan anda mendapat kencing manis meningkat jika;
- Umur 40 tahun dan ke atas.
- Sejarah keluarga menghidap kencing manis.
- Menghidap kencing manis ketika hamil.
- BMI melebih 30.
#Tekanan Darah tinggi #
Selain itu, anda juga berisiko mengalami tekanan darah tinggi. Tekanan darah tinggi berlaku disebabkan oleh kerintangan insulin dan berat badan berlebihan untuk pesakit ovari polisistik ini. Tekanan darah tinggi yang tidak dirawat pula boleh menyebabkan sakit jantung.
# Kanser #
Jika seorang wanita didatangi haid kurang daripada tiga (3) kali setahun, dinding rahim akan menjadi lebih tebal dari biasa. Ini boleh menyebabkan anda mengalami kanser rahim.
PENCEGAHAN: Terdapat banyak cara untuk melindungi dinding rahim dengan menggunakan hormon progesterone. Doktor juga akan berbincang dengan anda untuk menggunakan antara tiga cara dibawah (bergantung kepada hasrat pesakit – mahu mengandung lagi atau tidak):
- Penggunaan pil hormon selama 5 hari berturu-turut untuk 3 atau 4 bulan.
- Mengamalkan pil perancangan keluarga.
- Menggunakan alat dalam rahhim (Mirena).
# Kemurungan & Perubahan Mood #
Pesakit ovari polisistik juga boleh mengalami kemurungan kerana sering memikirkan perubahan yang terjadi pada diri, lalu berasa rendah diri.
Tips untuk Mengelakkan Kesan Jangka Panjang
- Mengamalkan gaya hidup sihat.
- Makan makanan yang seimbang.
- Bersenam secara berkala seperti 3 kali seminggu, selama 30 minit setiap sesi.
- Mendapatkan berat badan atau BMI yang ideal.
- Pemeriksaan dan rawatan berkala dengan doktor, untuk saringan kencing manis, darah tinggi dan kemurungan.
Persoalan terakhir, adakah penyakit ini boleh sembuh?
Menurut Dr Muhammad Izzat,
PCOS tiada penawar dan tidak boleh sembuh. Rawatan perubatan yang diberikan adalah untuk mengurangkan simptom-simptom PCOS di samping mencegah komplikasi yang boleh timbul akibat PCOS.
Sebaliknya, rawatan yang berkesan untuk anda lakukan ialah dengan mengurangkan berat badan dan bersenam. Ubah gaya hidup menjadi lebih sihat, makan makanan yang bersih dan berkhasiat. Jangan hanya bergantung pada ubat-ubatan. Mencegah sentiasa lebih baik dari merawat.
Semoga dengan perkongsian ini menjadi panduan untuk semua wanita di luar sana.
Dapatkan pelbagai barangan bayi menarik pada harga termurah hanya di Motherhood.com.my.