Pelukan boleh diibaratkan sebagai senjata rahsia yang mungkin ramai orang pandang sebagai perkara biasa. Kuasa pelukan ini sangat hebat.
Peluk mampu mententeramkan jiwa yang sedang tersakiti, mampu menjadi penenang dikala keresahan dan menunjukkan rasa sayang tanpa perlu bersuara tidak kiralah pelukan untuk suami/isteri, ibu bapa, adik beradik mahupun anak-anak, mempunyai banyak kebaikan yang mungkin kita sendiri tidak sedar.
Apakah kebaikan tersebut terutama kepada anak-anak? Apa pula kesan sekiranya anak-anak tidak dipeluk semasa kecil? Untuk ketahui, Mommy perlu teruskan ikuti perkongsian di bawah!
12 Manfaat Peluk Anak-anak
Berikut ialah 12 faedah memeluk anak:
#1. Peluk Mengeratkan Hubungan Anak dan Ibu Bapa
Apabila Mommy dan Daddy selalu memeluk anak-anak, ini akan membuat mereka rasa dihargai dan disayangi. Oleh itu, ianya akan membuatkan hubungan Mommy Daddy dengan anak-anak semakin rapat dan dekat.
#2. Meningkatkan Hormon Gembira dan Kasih Sayang
Apabila Mommy dan Daddy memeluk anak-anak, terdapat hormon gembira yang akan dirembeskan iaitu hormo dopamine, serotonin dan oxytocin di mana hormon-hormon ini dapat membuatkan seseorang yang dipeluk itu merasa gembira, disayangi serta membantu memperbaiki emosi mereka.
#3. Heart-Saver antara Kebaikan Peluk
Seperti yang dinyatakan di atas pelukan akan merembeskan hormon oxytocin yang mampu mengurangkan kadar denyutan nadi dan tekanan darah. Cuba Mommy dan Daddy peluk anak-anak semasa mereka sedang marah. Pastinya kemarahan mereka akan reda. Itulah yang dipanggil sebagai heart-saver.
#4. Dari Pelukan Lahir Anak yang Bijak
Tahukah Mommy, pelukan boleh membantu anak-anak menjadi bijak? Bagaimana? Sentuhan yang positif ini sangat membantu dalam perkembangan otak anak-anak sejak dari kecil. Apabila Mommy Daddy memeluk mereka, perasaan dan emosi mereka akan lebih tenang. Ini akan membantu mereka membesar dalam suasana yang sangat positif dan sihat.
#5. Pelukan Meningkatkan Keyakinan Diri
Pelukan akan membuatkan anak-anak gembira. Hal ini akan membantu mereka melihat banyak perkara dari sudut yang positif dan lebih berkeyakinan dalam setiap langkahnya kelak.
#6. Menghilangkan Tekanan
Semasa tekanan melanda, hormon tekanan iaitu kortisol akan dirembeskan. Jika tidak dikawal tekanan ini boleh menyebabkan anxiety dan depresi. Untuk menyeimbangkan tahap hormon kortisol di dalam badan anak-anak adalah dengan hormone oxytocin. Pelukan yang merembeskan hormon ini akan memberikan ketenangan kepada anak-anak. Oleh itu, Mommy Daddy perlulah sentiasa peka dengan tahap tekanan anak-anak. Peluklah untuk meredakan rasa tekanan yang dihadapi.
#7. Peluk Mampu Kurangkan Tantrum
Tantrum adalah salah satu cara anak-anak untuk melepaskan rasa yang tidak boleh mereka luahkan. Tetapi dengan pelukan mampu membuatkan anak-anak yang sedang tantrum ini kembali tenang dan mampu mengawal emosi dengan lebih baik.
#8. Mengajar Anak-Anak Empati
Skin to skin semasa pelukan berlaku akan mengajar anak-anak berkenaan empati dan kasih sayang. Dalam kata lain, mereka dapat memahami perasaan orang lain melalui pelukan.
#9. Meningkatkan Kemahiran Bersosial
Melalui pelukan, anak-anak Mommy akan dapat memahami bahasa badan dan ekspresi wajah orang lain. Ini akan membantu mereka dalam perkembangan kemahiran bersosial.
#10. Baik untuk Kesihatan
Selain itu, pelukan boleh menjadi immune booster. Tekanan pada bahagian dada semasa memeluk akan merangsang kalenjar timus menghasilkan sel darah putih yang mana berperanan untuk mengelakkan jangkitan.
#11. Membantu Dalam Pertumbuhan Fizikal
Terdapat satu kajian yang dijalankan, pelukan akan membantu pertumbuhan fizikal bayi mempunyai masalah semasa lahir dan juga kurang berat semasa lahir. Berbeza bagi bayi yang tidak mendapat sentuhan fizikal ini, kerana mereka tidak dapat mencapai pertumbuhan yang sepatutnya.
#12. Peluk Mewujudkan Ingatan yang Indah
Memeluk anak-anak semasa kecil akan membuatkan mereka membesar dalam suasana yang gembira dan mencipta kenangan manis sepanjang hidup mereka. Anak-anak akan menjadi seorang yang lebih menghargai keluarganya kelak.
Kesan Anak Tidak Dipeluk Semasa Kecil
Terdapat beberapa kesan apabila kanak-kanak tidak dipeluk semasa mereka kecil. Antara kesan tersebut adalah seperti berikut:
- Sukar untuk mengenalpasti perasaan sendiri dan juga perasaan orang
- Sukar untuk membina hubungan dengan orang lain.
- Kurang keyakinan dalam diri
- Kanak-kanak mungkin akan berdepan dengan isu kepercayaan kepada orang lain.
- Berdepan dengan masalah tidak dapat menerima kelemahan diri sendiri.
Kesimpulannya, banyak kelebihannya apabila kita memeluk anak-anak ini sejak dari kecil. Salah satu kesan positif yang paling ketara adalah hubungan kekeluargaan.
Tidak kiralah samada anak lelaki mahupun perempuan, peluklah dan sayangilah mereka. Kerana dari pelukan inilah akan terlahirnya anak-anak yang mudah mendengar kata.
Semoga perkongsian ini memberikan panduan buat mak ayah di luar sana berkenaan pelukan ini.
Mommy juga boleh daftarkan anak Mommy ke program “Super Kids“ oleh Motherhood.com.my yang menawarkan pelbagai bengkel dan aktiviti menarik.
Para peserta juga berpeluang untuk mendapatkan Super Kids Activity Box PERCUMA, akses tanpa had ke pelbagai bengkel dan juga antara yang pertama mendapatkan diskaun serta tawaran terkini daripada Motherhood.com.my.
Sertai Super Kids bersama Motherhood.com.my sekarang!
Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.
Dapatkan pelbagai lagi info dan tips keibubapaan menarik yang lain di SINI!