Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Pendidikan Awal Kanak-kanak: Acuan Kepada Masyarakat yang Dinamik

pendidikan awal kanak-kanak

Komuniti sesebuah negara terbentuk atas beberapa dasar yang penting seperti pendidikan. Pendidikan merupakan tunjang kepada perkembangan dan pembentukan manusia yang harus dimulakan sejak dari kecil lagi.

Jika dinilai dari sudut waktu, pendidikan sebenarnya bermula ketika bayi masih di dalam kandungan lagi. Lahirnya bayi, ia berkomunikasi melalui tangisan dan dengan peningkatan usianya, bayi dapat berinteraksi dengan orang sekeliling.

Apabila bayi mencapai usia beberapa tahun, pendidikan awal kanak-kanak yang sistematik dan menyeluruh haruslah mula diberikan kepadanya. Pendidikan ini terbahagi kepada beberapa aspek seperti psikologi, sosiologi, sahsiah dan keperibadian, pendidikan, dan perkembangan fizikal.

Melalui pendidikan awal ini, kanak-kanak akan diajar secara teori dan amali tentang bagaimana untuk membentuk dirinya menjadi insan yang berjaya.

Sama ada di rumah oleh ibu dan bapa ataupun di sekolah oleh para guru, pendidikan awal ini hendaklah dilaksanakan dengan kerjasama kedua-dua pihak. Jika para ibu dan bapa memilih untuk mengajar anak-anak sepenuhnya di rumah, anda harus bersedia untuk meluangkan hampir sebahagian besar waktu anda bersamanya.

Perhatian dan pendidikan yang secukupnya hendaklah diberikan secara menyeluruh kepada mereka. Di bawah akan dikongsikan beberapa aspek penting dalam pendidikan awal kanak-kanak ini.

Psikologi dan Intelektual Kanak-kanak

Secara amnya, para psikologi tidak dapat memutuskan secara tepat tentang garis perkembangan mental yang normal bagi kanak-kanak. Namun, terdapat beberapa ciri yang para ibu dan bapa boleh nilai dan usahakan. Antaranya:

1. Kata-kata

Kanak-kanak akan diperhatikan dan diajar dari segi mereka menggunakan kata-kata di dalam percakapan. Dalam erti lain:

  1. Apakah mereka memahami makna kata?
  2. Waktu yang sesuai untuk digunakan
  3. Cara penyampaian
  4. Jumlah kata-kata dalam percakapannya

2. Angka

Highlighted

Sumber: Shutterstock @OksanaKuzmina

Kanak-kanak normal yang berusia 5 tahun kebiasaannya mampu untuk menghitung sehingga lima. Antara konsep penting untuk difahami oleh kanak-kanak dalam memahami penggunaan angka ialah konsep ‘cukup’. Untuk menguji anak, para ibu dan bapa boleh bertanyakan soalan seperti:

Apakah cukup bilangan mangkuk di atas meja itu?

3. Ingatan

Daya intelektual kanak-kanak boleh dirangsang melalui ingatannya. Untuk menguatkannya, ajarkan kanak-kanak memahami situasi dan menghubungkaitnya.

  • Sebagai contoh, ketika bermain di taman, berinteraksi lah dengan bertanyakan tentang keadaan sekeliling kepadanya. Apabila berada di tempat lain, bertanyakan lah semula tentang detik di taman tadi. Ajarkannya untuk menghubungkait antara suasana, benda dan perasaan ketika itu untuk menguatkan lagi ingatannya.

4. Pengalaman

Kanak-kanak harus diajar untuk memerhatikan apa yang berlaku di sekelilingnya. Ini akan membentuk mereka menjadi seorang yang peka dan berhati-hati. Mereka juga perlu untuk memahami konsep masa dan waktu dengan sebetulnya. Pada masa hadapan, mereka akan mampu untuk merancang dengan sistematik dan efektif.

5. Huruf

Sumber: Shutterstock @Eviart

Kanak-kanak mesti diajar untuk mengenal huruf dengan tepat. Pada usia 4 tahun, kanak-kanak normal yang cerdas biasanya mampu mengecam dan meniru beberapa bentuk huruf. Mulakan lah mengajar huruf kepada kanak-kanak dengan pembacaan ringkas di sekelilingnya seperti tulisan di bungkusan makanan. Ini akan menjadi asas kepada pembacaan dan pembelajarannya di masa hadapan.

6. Emosi

Antara aspek penting di dalam psikologi kanak-kanak ialah emosinya. Kanak-kanak memerlukan keperluan emosi yang tinggi untuk membentuk mental yang sihat. Banyak cara yang boleh digunakan untuk memenuhinya seperti:

  1. Melalui ucapan dan kata-kata yang positif
  2. Sentuhan dan isyarat badan

Kanak-kanak yang merasai dirinya disayangi akan menjadi seseorang yang lebih stabil emosinya. Walaupun pendidiknya tegas dalam mendisiplinkannya, mereka akan memahami tujuan sebenar perbuatan itu.

Sosiologi Kanak-kanak

 

Pergaulan dan aspek sosial kehidupan kanak-kanak merupakan salah satu faktor utama yang mustahak di dalam pendidikan awal mereka.

1. Pergaulan

Kanak-kanak harus diajar untuk bergaul dengan orang sekelilingnya. Jika di rumah, bersama dengan ahli keluarga dan jika di prasekolah, dengan rakan-rakan dan para pendidik.

Cara pergaulan kanak-kanak dengan orang sekeliling akan membentuk identiti dan jati dirinya. Mereka harus diawasi untuk ditegur salahnya dan dipuji akhlak baiknya.

Dalam pergaulan, kanak-kanak hendaklah diajar untuk:

  • Bergaul secara aktif dan mengelakkan dari menyendiri. Ini untuk mengasah kemahiran berinteraksi dan berkomunikasi dalam diri mereka.
  • Melibatkan diri seperti memasuki pertandingan dan belajar alat musik.

Walau bagaimanapun, harus diingatkan, kanak-kanak yang cenderung untuk menyendiri dan lebih pemalu bukanlah beerti mereka tidak normal dan ketinggalan. Ramai kanak-kanak yang sebegini mempunyai tingkat intelektual dan kemahiran yang normal malah sesetengah, luar biasa. Para pendidik dan ibu bapa haruslah bijak dalam mendekati mereka.

2. Kebergantungan

Kanak-kanak hendaklah diajar bagaimana untuk mandiri. Mereka perlu dilatih untuk melakukan urusan peribadi dan tugasan am dengan sendiri ataupun pertolongan yang minima. Para ibu dan bapa serta pendidik boleh memberi tunjuk ajar dengan pelbagai cara:

  1. Mengajar kanak-kanak memakai pakaian dengan sendirinya
  2. Menggunakan sudu dan garfu dengan betul
  3. Memberus gigi

Latihan yang berterusan akan membina keyakinan diri yang kukuh dalam diri kanak-kanak. Sifat kebergantungan pada diri mereka akan meningkat dan ini akan menjadikan mereka lebih fleksibel dalam mengharungi kehidupan kelak.

3. Persekitaran

Kanak-kanak yang dibesarkan di dalam suasana yang harmoni dikatakan mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk berjaya. Suasana di rumah sebagai contoh dapat mempengaruhi aspek sosial kanak-kanak. Antara yang harus dilakukan ialah:

  • Memberi sokongan dan dorongan yang sepenuhnya dalam setiap yang dilakukan oleh mereka
  • Sentiasa respon kepada perbualan atau pertanyaan kanak-kanak
  • Menunjukkan penerimaan dan mengelakkan sebarang tindak balas yang menjatuhkan semangat mereka

Jika di sekolah, para guru hendaklah mencipta suasana pembelajaran yang kondusif. Hubungan antara guru dan murid (kanak-kanak) memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk aspek sosial kanak-kanak.

Sahsiah dan Keperibadian Kanak-kanak

1. Perilaku

Kanak-kanak membentuk peribadi dan sahsiah dirinya melalui pengamatannya pada perilaku orang di sekelilingnya. Sebagai contoh:

  1. Perilaku ibu bapanya
  2. Adik-beradik
  3. Rakan-rakannya
  4. Para pendidik

Kebiasaannya, ibu bapa yang kerap berkelahi di depan anak-anak akan membentuk sifat pemarah di dalam diri mereka kelak. Kanak-kanak hendaklah diajar untuk menghormati orang sekelilingnya terutamanya yang lebih tua dan ini dapat dicapai dengan memberi hormat kepada mereka dahulu.

Kanak-kanak akan cenderung untuk meniru tindak tanduk yang dilihatnya. Jika mereka melakukan kesalahan, hendaklah ditegur seeloknya. Mereka akan belajar dan mempraktikkan semula di dalam kehidupan mereka.

Sahsiah diri mereka akan dibina berdasarkan asas-asas penting seperti ini. Mungkin ia dilihat sebagai sesuatu yang kecil tetapi apabila meningkatnya usia, keperibadian dan akhlak mereka sebenarnya telah lama terbentuk di dalam diri.

Aspek-aspek di atas ialah antara aspek penting dalam pendidikan awal bagi kanak-kanak. Pendidikan ini merupakan suatu keperluan yang harus diberikan kepada kanak-kanak sebagai asas dalam pembentukan diri mereka.

Dalam menjayakannya, para pendidik dan ibu bapa kedua-duanya memainkan peranan tersendiri dan hubungan yang baik di antara keduanya dapat membantu keberhasilannya.