Ubat penahan sakit atau dikenali sebagai analgesik adalah ubat yang digunakan untuk melegakan kesakitan.
Terdapat pelbagai jenis bentuk ubat analgesik seperti tablet, kapsul, injeksi atau transdermal patch. Jenis-jenis ubat analgesik merangkumi paracetamol atau panadol, non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) dan opioid.
Berlebihan dos ubat (overdose) yang sederhana mungkin tidak menunjukkan tanda-tanda yang jelas. Ia mungkin berlarutan jika terus diambil secara berlebihan sehingga menyebabkan kerosakan ginjal pada satu masa nnanti.
3 Jenis Ubat Tahan Sakit (Analgesik)
1. Paracetamol
Paracetamol adalah selamat digunakan apabila diambil dengan dos yang betul.
Jika anda mengambil paracetamol secara berlebihan, kebanyakan reaksi yang dilaporkan adalah kesan sampingan ringan seperti ruam, kegatalan kulit, sesak nafas, dan bengkak di bahagian muka.
Namun, ada juga yang akan mengalami kesan sampingan yang berat seperti kecederaan hati dan buah pinggang yang serius sehingga memerlukan pemindahan organ atau menyebabkan kematian.
Dos maksimum untuk orang dewasa adalah 4g dalam 24 jam. Dos maksimum untuk kanak-kanak adalah lebih rendah berbanding orang dewasa.
Highlighted
2. NSAIDs
NSAIDs berkesan melegakan kesakitan muskuloskeletal dan sendi yang ringan hingga sederhana termasuk melegakan kesakitan selepas pembedahan, sakit senggugut, sakit gigi dan lain-lain.
Elakkan mengambil lebih daripada satu jenis NSAIDs pada masa yang sama kerana ini meningkatkan risiko pendarahan pada saluran gastrousus.
Kejadian serangan asma atau menerukkan lagi keadaan asma akibat pengambilan NSAIDs adalah lebih tinggi dalam golongan pesakit asma berbanding golongan yang tidak mempunyai asma.
3. Opioid
Opioid adalah selamat dan berkesan apabila dos rendah diambil, tetapi boleh membawa maut jika diambil berlebihan atau tidak diambil mengikut arahan doktor. Kesan sampingan yang biasa dilaporkan adalah loya, muntah, sembelit, keghairahan, perubahan mood, ruam, dan mengantuk.
Opioid biasanya diberikan kepada mereka yang ada penyakit terminal (boleh membawa maut) ataupun sesetengah penyakit kronik (bukan kanser). Ia memainkan peranan penting dalam menangani kesakitan sederhana hingga teruk yang tidak dapat dikawal dengan rawatan alternatif dan ubat bukan opioid.
Elakkan pengambilan serentak dengan minuman beralkohol, antihistamin, atau ubat-ubat lain yang juga boleh menyebabkan kesan mengantuk.
Tanda-Tanda Keracunan Ubat
1. Sakit perut
2. Muntah-muntah
3. Kesukaran untuk bernafas
4. Kegelisahan
5. Denyutan nadi yang lebih laju atau perlahan daripada biasa
6. Kerosakan ginjal
7. Tangan atau badan menggigil
Pastikan ubat-ubatan dijauhkan daripada kanak-kanak. Dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sekiranya kurang pasti berkaitan indikasi dan cara pengambilan ubat-ubatan.
Baca dan fahami label ubat setiap kali sebelum mengambilnya untuk memastikan ubat diambil oleh pesakit yang betul pada dos, cara dan masa yang betul.
Semoga perkongsian ini dapat memberikan info yang berguna untuk Mommy dan sekeluarga.
Dapatkan lebih banyak info tentang kesihatan dan perubatan di SINI.
Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.