Setiap pasangan ibu bapa baru tentu memerlukan pertolongan dan panduan bila si comel tiba.
Walaupun peranan dan naluri ibu bapa datang dengan semula jadi buat sesetengah pasangan, tidak salah jika Ibu dan Ayah tambahkan pengetahuan tentang penjagaan bayi yang baru lahir dan mendapatkan pertolongan orang lain jika rasa ia diperlukan.
Bayi yang baru lahir memerlukan perhatian Ibu dan Ayah sepanjang masa, tak kira jika mereka sedang berjaga atau tidur.
Di hospital, jururawat boleh menjaga bayi bila si ibu sedang tidur, tapi bila dah pulang ke rumah, tiba-tiba rasa resah pula untuk jaga bayi sendiri!
Tips-tips penjagaan bayi baru lahir berikut mungkin dapat membantu ibu bapa baru untuk berasa yakin menjaga bayi yang baru lahir dalam masa yang singkat.
Mengendalikan Bayi Yang Baru Lahir
1. Basuh Tangan Sebelum Memegang Bayi
Kalau boleh gunakan hand sanitiser juga,terutamanya waktu pandemik yang membahayakan nyawa setiap individu sekarang.
Bayi yang baru lahir terutamanya tidak mempunyai sistem imun yang kuat lagi, jadi mereka mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat jangkitan.
Pastikan setiap orang yang akan mengambil atau mendukung bayi Ibu membuat perkara yang sama juga.
2. Sokong Kepala Bayi
Ketika memegang atau mendukung bayi, pastikan Ibu menyokong kepala dan leher bayi kerana tulang bayi, terutamanya di bahagian leher masih lemah dan mereka tidak boleh mengangkat kepala sendiri.
Bila Ibu memegang bayi secara menegak atau mahu letak bayi di atas katil, pastikan anda menyokong kepala bayi dengan menggunakan satu tangan di kepala sementara satu lagi memegang badan bayi.
3. Jangan Goncangkan Bayi
Jangan sekali-kali menggoncangkan bayi, sama ada Ibu bermain sahaja dengan bayi ataupun sedang berasa geram.
Menggoncang bayi yang baru lahir boleh menyebabkan pendarahan dalam otak dan mengakibatkan kematian.
Perkara ini juga perlu ditegaskan kepada ahli keluarga dan orang lain yang mengendalikan bayi.
4. Pastikan Bayi Selamat Dalam Stroller
Bila menggunakan peralatan dan aksesori seperti stroller dan carrier, pastikan bayi memakai tali pinggang dengan betul dan sendat supaya bayi tidak bergegar terlalu ekstrem ketika bergerak.
Ini juga sama seperti isu menggoncangkan bayi yang dibincangkan di atas.
Memandikan Bayi
1. Mandian Span Untuk Bayi Yang Baru Lahir
Pada awal kelahiran, kalau Ibu tak berani untuk memandikan bayi dalam besen, anda boleh gunakan span dengan saiz bersesuaian untuk membersihkan bayi.
Gunakan air suam, tidak terlalu sejuk dan tidak pula terlalu panas. Untuk membersihkan kerak-kerak di mata, Ibu boleh gunakan bola kapas yang lembap dan sapu dari sudut dalam mata ke luar.
2. Mandian Tab Atau Besen
Bila Ibu sudah berasa yakin sedikit, anda boleh mandikan si kecil dalam besen yang dibuat khas untuk memandikan bayi.
Kebanyakannya juga mempunyai netting untuk meletakkan bayi dengan selamat, jadi anda boleh mandikan bayi dengan penuh keyakinan dalam besen.
Pastikan air suam dan tidak terlalu dalam memandangkan bayi tidaklah kotor mana pun. Ibu boleh gunakan gel mandian yang bersesuaian.
3. Tips-Tips Penting Tentang Mandi
Jika bayi dimandikan dalam besen, pastikan anda tidak alihkan pandangan dari bayi walau sesaat pun.
Pastikan Ibu selalu mencurah air suam ke atas badan bayi supaya bayi tidak kesejukan. Selesai mandi, pastikan bayi dilap sehingga kering dengan tuala yang lembut.
4. Penjagaan Tali Pusat
Gosokkan kawasan tali pusat dengan swab alkohol setiap kali selepas mandi dan sebelum memakaikan lampin. Lakukan rutin ini sehingga tali pusat tertanggal dengan sendiri, selalunya dalam 10 hari hingga tiga minggu.
5. Menggunakan Lampin
Bagi bayi yang baru lahir, tolong jangan beli sebarangan lampir. Pastikan anda cari lampin pakai buang yang dibuat khusus untuk bayi yang baru lahir, selalunya dipanggil ‘newborn diaper‘.
Kalau menggunakan lampin yang boleh digunakan semula atau ‘reusable cloth diaper‘ juga, selalunya ada saiz khusus untuk bayi baru lahir.
Bayi yang baru lahir juga kerap membuang air, jadi si Ibu pun harus kerap menukar lampin bayi untuk mengelakkan bakteria berkumpul.
Memberi Susu Kepada Bayi
1. Waktu Penyusuan
Secara umumnya, bayi akan mahu menyusu mengikut ‘demand‘, maksudnya setiap kali mereka lapar.
Bayi boleh memberi isyarat seperti menangis, memasukkan jari dalam mulut, atau membuat aksi menghisap. Bayi yang baru lahir perlu diberi susu setiap dua atau tiga jam.
Sekiranya menyusu badan, beri bayi peluang untuk menyusu dalam 10-15 minit dari setiap payudara. Jika menyusu botol, bayi selalunya akan mengambil sebanyak 60-90ml dalam setiap penyusuan.
2. Pilih Susu Dan Aksesori Bersesuaian
Jika menggunakan susu formula, pastikan bayi tiada alahan pada susu tersebut. Ibu juga perlu pilih botol dan puting yang bersesuaian dengan peringkat umur bayi.
Bayi yang baru lahir selalunya akan menggunakan puting yang mempunyai satu lubang sahaja atau beberapa lubang kecil supaya aliran susu tidak laju.
3. Sendawakan Bayi
Selepas memberikan susu, Ibu digalakkan untuk menyendawakan bayi untuk mengelakkan kembung perut ataupun muntah susu.
Ia juga dapat mengelakkan bayi daripada berasa tidak selesa. Lihat di sini untuk mengetahui cara-cara untuk menyendawakan bayi dengan berkesan.
Penjagaan Kulit Bayi
1. Menggunakan Krim Dan Losyen Bersesuaian
Kulit bayi amatlah sensitif, dan dengan cuaca kita yang panas dan lembab, kulit bayi senang rosak, juga dikenali sebagai ekzema.
Selepas mandi, Ibu boleh sapukan krim dan losyen bersesuaian pada seluruh muka dan tubuh badan bayi untuk mengekalkan kelembapan kulit.
2. Menggunakan Krim Pelindung Matahari
Walaupun tidak keluar rumah, bayi juga perlu memakai krim pelindung matahari sekurang-kurangnya dengan SPF 30 untuk melindungi kulit bayi yang masih lagi baru dan sensitif.
Jangan lupa untuk selalu sapukan lapisan baru setiap dua ke tiga jam, terutamanya jika berada di luar rumah.
3. Menggunakan Krim Lampin
Setiap kali Ibu tukar lampin bayi, pastikan bahagian pangkal paha dan punggung di lap sehingga kering untuk mengelakkan ruam lampin.
Untuk perlindungan tambahan, Ibu disarankan untuk menyapu krim lampin yang dapat mengelakkan kawasan lampin daripada menjadi terlalu lembap dan juga untuk melegakan ruam.
Perkara Asas Tentang Tidur
1. Waktu Tidur Bayi
Walaupun rasa seperti bayi memerlukan perhatian Ibu 24 jam, sebenarnya bayi pada kebiasaannya tidur dengan jumlah 16 jam sehari atau lebih!
Selalunya bayi akan tidur dari dua hingga empat jam dan mereka perlu bangun untuk menyusu memandangkan perut mereka masih kecil dan mereka memerlukan nutrisi dengan kerap.
Ada sesetengah bayi yang tidur dengan lama dan perlu dikejutkan untuk menyusu. Ada juga bayi yang tidur sangat sekejap seperti 30 minit sahaja setiap satu jam. Bertabahlah di waktu ini ye ibu!
2. Bedungkan Bayi
Untuk memastikan keselesaan bayi ketika tidur dan supaya bayi tidur dengan lebih lena, Ibu perlu membedung bayi.
Ia bukan sahaja penting untuk tidur, tapi secara umumnya bayi perlu dibedung kerana mereka mempunyai refleks terkejut yang dapat membuatkan mereka terjaga dari tidur.
3. Keselamatan Bayi Sewaktu Tidur
Bayi perlu ditidurkan secara menelentang sepanjang masa untuk mengelakkan Sudden Infant Death Syndrom (SIDS) iaitu kejadian bayi mati mengejut.
Selain daripada dibedungkan, bayi juga tidak memerlukan selimut atau bantal kerana ia boleh membuatkan bayi lemas, justeru meningkatkan risiko SIDS.
Perkara-perkara di atas adalah panduan asas penjagaan bayi baru lahir yang bakal ibu bapa baru boleh rujuk setelah si comel dilahirkan.
Banyak lagi artikel-artikel lain tentang penjagaan bayi yang Ibu dan Ayah boleh rujuk di Motherhood. Semoga bermanfaat dan selamat maju jaya dalam menjaga bayi yang baru lahir.