Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Info-info Penting Mengenai Imuniti & Kesihatan Mental Anda Sekeluarga Semasa COVID-19

Image from Adobe Stock

Sejak bermulanya pandemik COVID-19 ini, tidak dinafikan bahawa ramai antara kita yang sentiasa risaukan tahap imuniti dan kesihatan mental sekeluarga. Mana tidaknya, dengan anak yang masih kecil, virus yang masih aktif di seluruh dunia, ekonomi yang turut terjejas, dan sebagainya. Berkurung di rumah pun boleh memberi kesan pada kesihatan mental kita. Yelah, asyik terperap je dekat rumah. 

Menurut Malaysia Gazette, KKM telah menerima lebih kurang 8,380 panggilan yang berkaitan dengan masalah kesihatan mental sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. 

Untuk membantu ibu bapa dan orang ramai diluar sana, Motherhood bersama Enfagrow A+ Malaysia telah menjemput Dr Rajini Sarvanathan, seorang Pakar Kanak-kanak dari Baby & Beyond Child Specialist Clinic – untuk mengupas tentang soalan-soalan berkaitan imuniti dan kesihatan mental anda sekeluarga. Jom ikuti jawapan Doktor dalam episod 2 MEDTalk ini.

S1: Bagaimanakah COVID-19 mengubah situasi atau pekerjaan Dr Rajini sebagai seorang doktor? Perundingan digital? Apakah pandangan Dr mengenai perkara ini?

Dr RajiniBanyak perubahan yang berlaku, terutama sekali dalam cara merawat pesakit. Jika sebelum ini, rundingan (consultation) lebih mesra dan dekat dengan pesakit, namun situasi sekarang telah mengubah kepada rundingan dalam talian.

Tapi jika terdapat kes yang memerlukan rundingan secara fizikal, maka saya harus lebih peka dengan risiko jangkitan ini. Penggunaan PPE dan face masks adalah benda wajib untuk masa sekarang – terutama sekali jika pesakit disyaki terkena jangkitan virus ini.

Kebanyakan ibu bapa yang sudah biasa dengan saya memang akan memilih video consultation sebab mereka risau untuk keluar rumah. Namun bagi pesakit yang belum biasa dengan saya, mereka akan datang berjumpa di klinik.

Apa yang pasti adalah, semuanya tidak lagi sama seperti sebelum ini.

S2: Adakah benar kanak-kanak kurang menunjukkan simptom COVID-19? Bagaimana ini berbeza untuk kanak-kanak berkeperluan khas?

Dr RajiniBetul, kanak-kanak yang terkena jangkitan COVID-19 akan menunjukkan simptom yang ringan dan ada juga bagi sesetengah kes, tiada simptom langsung.

  • Asymptomatic Carrier

Asymptomatic carrier adalah apabila seseorang itu dijangkiti virus, namun badannya tidak menunjukkan apa-apa gejala. Kanak-kanak adalah golongan asymptomatic carrier dalam kes COVID-19 ini. Mereka juga jarang sakit dan ada juga yang tidak memerlukan rawatan rapi di unit ICU.

Begitu juga dengan kanak-kanak yang berkeperluan khas seperti yang mempunyai masalah fizikal – sukar untuk bergerak. Tapi, jika kanak-kanak itu mempunyai sejarah masalah kronik, jangkitan paru-paru misalnya; maka golongan ini mungkin akan menunjukkan gejala yang lebih serius.

Tanggungjawab ibu bapa: Pantau anak dengan lebih peka.

Seperti yang kita tahu, kanak-kanak sukar untuk beritahu kita yang mereka sakit atau tidak sedap badan. Jadi, kita kena lebih peka dengan setiap perubahan yang ditunjukkan oleh mereka dan badan mereka.

Mungkin mereka letih atau lesu lebih dari kebiasaan – simptom seperti inilah yang perlu kita perhatikan selain daripada gejala demam. Dalam keadaan wabak sekarang, ibu bapa kena jadi extra prihatin.

S3: Bercakap mengenai jangkitan dan imuniti untuk kanak-kanak, adakah makanan berperanan dalam imuniti dan bagaimana?

Dr Rajini: Sudah tentu! Makanan memang memainkan peranan dalam building up sistem imuniti; bukan sahaja untuk kanak-kanak bahkan juga untuk kita (golongan dewasa). Kanak-kanak yang kekurangan zat akan mudah jatuh sakit kerana kurangnya makanan seimbang boleh melemahkan imuniti badan seseorang.

  • Pentingnya Micronutrient!

Micronutrient seperti vitamin, protein dan kalsium sangat penting untuk tumbesaran anak-anak. Kurangnya micronutrient bukan sahaja menyebabkan sistem imunisasi menjadi lemah, malah juga boleh menyebabkan obesiti.

Kanak-kanak perlu makan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan. Kalau boleh elakkan makanan yang diproses atau fast food seperti nuggets, burger, dan banyak lagi.

Image from Adobe Stock
  • Konsep Suku-Suku-Separuh

Untuk mendapatkan micronutrients yang cukup dan pemakanan yang seimbang, kita digalakkan mengamalkan konsep suku-suku-separuh.

Apa itu suku-suku-separuh?

Konsep ini adalah satu cara untuk hasilkan ‘My Healthy Plate’. Dalam satu pinggan, kita bahagikan kepada tiga bahagian iaitu suku, suku, dan separuh.

  • Suku – Karbohidrat
  • Suku – Protein
  • Separuh – Sayur dan buah

Sumber karbohidrat boleh didapati dari bijiran, nasi, dan roti. Adalah lebih baik jika kita mengambil karbohidrat yang berkualiti seperti beras perang dan roti wholemeal.

Manakala bagi protein pula boleh didapati daripada ikan, ayam atau daging. Bagi kanak-kanak atau golongan yang vegetarian, sumber protein boleh diambil dari telur, dhaal, dan juga kekacang yang lain.

Pengambilan susu perlu diteruskan walaupun anak kita sudah berusia lima tahun keatas. Hal ini kerana, mereka dalam proses membesar yang masih memerlukan kalsium yang secukupnya. Ada sesetengah ibu bapa menganggap bahawa apabila anak sudah bersekolah, mereka tidak lagi memerlukan susu – dimana, tanggapan itu adalah salah.

Susu perlu diambil 2-3 gelas dalam sehari. Bukan sahaja untuk tulang, malah juga untuk otak dan minda si manja kerana susu mengandungi DHA dan MFGM yang baik untuk perkembangan minda mereka.

  • Mommy perlu kreatif dan jadi teladan

Memang tidak dinafikan bahawa anak-anak sukar untuk makan sayuran dan buahan. Nampak sayur terus taknak makan, kan? Inilah masanya Mommy nak tunjuk skill memasak anda!

Mommy harus menjadi lebih kreatif dalam menyediakan makanan dan minuman anak-anak. Contohnya, potong sayur dan buah dalam bentuk-bentuk yang comel. Si manja akan lebih tertarik untuk makan jika mereka nampak ada kartun kegemaran mereka.

Mommy boleh gunakan cookie cutter untuk hiaskan makanan anak-anak. Selain itu, Mommy juga boleh sediakan milkshake atau pudding buah-buahan untuk mereka. Secara fizikalnya, buahan dan sayuran itu tidak kelihatan namun khasiatnya masih sama. Tapi jangan letak gula pula ya – terus jadi unhealthy version.

Image from Adobe Stock

Ibu bapa ialah idola kepada anak-anak, maka tunjukkan healthy eating habits kerana secara tidak langsung mereka akan terikut dengan perbuatan Mommy dan Daddy semua.

S4: Memandangkan kita sedang berada dalam bulan Ramadan, boleh Dr kongsikan apa-apa tips untuk meningkatkan imuniti kepada keluarga yang sedang berpuasa?

Dr Rajini: Untuk pengetahuan semua, puasa dibuktikan mampu menguatkan sistem imunisasi seseorang. Walaupun kadangkala kita kekurangan tenaga kerana berlapar dan dahaga sepanjang hari, tetapi kita boleh tingkatkan imuniti badan dengan tips pemakanan yang betul.

  1. Banyakkan Fresh Food

Bila dah seharian berpuasa, sudah pasti kita akan makan dengan banyak ketika berbuka bukan? Tapi kalau kita makan makanan yang tak seimbang, kemungkinan besar imuniti badan kita akan menurun. Jadi, elakkan processed food, makanan dan minuman manis serta makanan bergoreng.

Kalau boleh elak, kita elak. Tetapi kalau teringin, apa boleh buat kan? Cumanya ingat moderation is the key. Lebihkan makanan yang mengandungi Vitamin C, Zink dan Beta Cerotene.

  • Vitamin C – buah limau, buah oren
  • Zink – sayuran hijau seperti sawi, pak choy
  • Beta Cerotene – lobak merah, labu

S5: Bagaimana cara untuk mengurangkan kebosanan atau kegelisahan anak-anak di rumah? Atau bagaimana kita boleh terus merangsang mental anak-anak yang menghabiskan masa hampir 24/7 di rumah?

Dr Rajini: Kuncinya adalah rancang rutin dan jadual harian. Kerana bila kita mempunyai jadual, aktiviti kita akan teratur dan anak-anak tidak mudah bosan kerana mereka mempunyai aktiviti yang telah disusun oleh anda semua.

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang sudah dewasa pun rasa tercabar dalam musim ini, apatah lagi ibu yang beranak kecil.

  • Jadual Harian Keluarga

Memang tidak dinafikan, kita semua bosan dan tidak tentu arah apabila diperintahkan berkurung. Jika sebelum ini kita boleh keluar pada hujung minggu, tapi tidak buat masa sekarang. Biarpun kelonggaran telah diberikan, namun kita masih perlu disiplin dalam menjaga jarak sosial dan tidak terburu-buru untuk keluar rumah.

Sebaiknya adalah terus kekal di rumah, dan rancang aktiviti harian bersama ahli keluarga. Tetapkan waktu makan bersama-sama, waktu mengemas, waktu menonton televisyen, dan sebagainya. Jadikan waktu makan bersama sebagai rutin wajib kerana ianya boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Image from Adobe Stock

Waktu ini lah Mommy boleh didik anak dengan kerja-kerja rumah seperti menyapu, menjemur pakaian, mencuci, mengelap, dan pelbagai kerja rumah yang lain.

Apabila mereka banyak meluangkan masa dengan aktiviti fizikal seperti ini, maka waktu menonton televisyen mereka akan berkurang. Hal ini kerana, kanak-kanak dinasihatkan untuk tidak menonton lebih daripada dua jam dalam satu hari. Tapi, fahamlah kan musim PKPB ini, ada masa, mesti lebih dua jam. Walau bagaimanapun, Mommy dan Daddy harus hadkan  juga waktu menonton TV.

Jadikan tempoh PKPB ini sebagai ruang untuk anda semua lebih mengenali dan mendalami anak-anak. Enjoy the moment kerana selepas ini, peluang ini tidak mungkin datang lagi.

  • Aktiviti Luar Rumah

Sekali sekala, bawalah anak-anak keluar beriadah di taman permainan. Tapi, periksa dulu kawasan tersebut, kalau ramai sangat orang, tolong elakkan.

S6: Ibu bapa bimbang bahawa penutupan sekolah yang berpanjangan dapat mengganggu pendidikan anak-anak. Apa pandangan Dr tentang hal ini?

Dr Rajini: Ibu bapa dinasihatkan untuk tidak stress dan tidak menyebabkan stress kepada anak-anak. Jadikan masa ini sebagai satu medium untuk anda take over tugas guru untuk mengajar anak-anak. Saya percaya dengan prinsip di mana pendidikan bermula dari rumah.

COVID-19 Sebuah Pengalaman Baru

Semua orang belajar banyak benda baru sepanjang musim kita diserang wabak ini. Bila dulu kita tidak pernah sedar dengan kepentingan penjarakan sosial, pemakaian topeng muka dan sebagainya, tapi sekarang kita banyak belajar.

Tempoh ini telah memberi setiap orang pengalaman baru yang berbeza-beza. Begitu juga kepada anak-anak. Kajian menunjukkan, kanak-kanak lebih cepat belajar dari pengalaman berbanding pembelajaran teori.

Sebuah kajian di New Zealand membuktikan peningkatan akademik anak-anak mereka selepas mereka terpaksa cuti sekolah kerana bencana gempa bumi.

Jadi, ibu bapa tidak perlu terlalu risau jika sekolah belum dibuka. Percayalah yang mereka dapat belajar banyak dari apa yang berlaku.

Lebih baik, jika ibu bapa sendiri berkongsi ilmu dengan anak-anak contohnya tentang jenis-jenis virus. Dulu kita tidak begitu aware dengan hal ini, tapi sekarang kita dapat banyak pengetahuan dari bidang sains dan kesihatan ini.

S7: Apa pandangan Dr mengenai program pembelajaran dalam talian untuk kanak-kanak? Apa lagi yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dalam jangka masa ini?

Dr Rajini: Bagi saya, pembelajaran dalam talian ini merupakan satu pendekatan yang bagus kepada anak-anak yang sudah besar dan dewasa. Namun, jika untuk anak-anak yang masih kecil, masih di sekolah rendah atau prasekolah, pendekatan ini tidak begitu efektif. Online learning untuk anak kecil masih boleh dilakukan contohnya menyanyi bersama-sama atau sesi bercerita oleh guru.

  • Elakkan Memaksa

Ibu bapa dan guru tidak boleh memaksa anak kecil untuk belajar secara atas talian, kerana mereka belum betul-betul pandai dengan konsep ini. Ibu bapa perlu pantau setiap kali anak-anak hadiri kelas atas talian dan guru juga tidak boleh memaksa mereka menghabiskan homework.

Sumber: Adobe Stock
  • Belajar di Rumah

Ibu bapa boleh ambil masa ini untuk mengajar anak-anak di rumah, luangkan masa bersama-sama. Gunakan barang yang sedia ada di rumah.

Untuk anak kecil mereka lebih suka aktiviti yang unsur seni dan kraf. Jika tiada plasticine atau play dough, kita boleh buat sendiri dengan mengguna tepung dan pewarna.

Kita boleh explore benda baru dengan anak-anak selain daripada ilmu akademik sahaja. Yang penting, elakkan memaksa mereka sebaliknya ajak mereka buat bersama-sama.

S8: Apakah cadangan yang boleh Dr berikan kepada ibu bapa untuk mengatasi tekanan semasa wabak COVID-19 ini? Dan peranan setiap ahli keluarga iaitu kedua ibu bapa.

Dr Rajini: Selalu ingat yang keluarga adalah satu pasukan. Jadi, setiap orang ada peranan masing-masing. Bukan hanya kepada ibu atau bapa sahaja, malah setiap orang. Bila sebut tugas di rumah, semua mesti akan cakap itu kerja ibu. Tetapi kita silap. Tugas tersebut adalah tugas kita semua sebagai satu pasukan.

  • Agihkan Tugas

Amalkan family meeting dimana waktu inilah kita boleh berbahagi tugas – merancang aktiviti mingguan atau harian satu keluarga.

Pembahagian tugas bukan sahaja boleh mengeratkan hubungan keluarga, malah juga boleh mengurangkan stress. Mana tidaknya, kalau kita sahaja yang lakukan semua kerja, mesti kita akan sampai satu tahap di mana kita penat dan tertekan.

  • ‘Communication is The Key!’

Komunikasi sangat penting dalam membina sesebuah perhubungan. Banyakkan berbincang dan bersembang dengan anak-anak dan pasangan.

Nikmati momen ini bersama ahli keluarga dan jadikan ia sebagai tempoh untuk kukuhkan hubungan antara ahli keluarga. Bila kita selalu berinteraksi, masalah tekanan boleh dielakkan kerana kita tidak memendamnya seorang diri.

Apa yang penting adalah kita kena sentiasa tenang kerana kita, ibu bapa adalah sumber kekuatan anak-anak. Mereka bukan sahaja perlu kita untuk kuat dari aspek fizikal, tapi juga mental.

MEDTalk Live adalah satu platform untuk memberi informasi kepada ibu bapa berkaitan kesihatan keluarga dan anak-anak yang berumur satu tahun ke atas. Dengan kolaborasi bersama Enfagrow A+ Malaysia, medium ini bukanlah untuk menggantikan nasihat kesihatan dari pihak pakar tetapi pendekatan yang lebih mesra kepada anda semua. Terus dapatkan nasihat doktor dan pengamal perubatan untuk rawatan yang lebih lanjut dan jika ada kecemasan, segeralah ke klinik atau hospital. 

Dapatkan pelbagai info menarik berguna daripada Motherhood Story dan jangan lupa untuk follow Motherhood.com.my di Facebook dan Instagram.