Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Pentingnya Tumbesaran Tulang | Kesihatan Anak-anak Yang Sering Dilupakan Ibu Bapa

Apabila bercakap mengenai kesihatan anak-anak, ramai ibu bapa lupa akan kesihatan dan kadar tumbesaran tulang mereka. Ibu bapa lebih tertumpu pada kesihatan anak-anak seperti demam, batuk, selsema, sakit perut dan sebagainya. Bagaimana pula dengan tumbesaran tulang anak-anak? Tahukah anda, proses tumbesaran adalah satu proses fisiologi yang kompleks ketika anak-anak mula membesar dalam dua tahun pertama mereka.

Menurut Dr Roseline Yap, Pakar Nutrisi dari Nutrition Society of Malaysia, tahun-tahun awal tumbesaran anak-anak, iaitu daripada mereka lahir hingga 8 tahun, merupakan tempoh perkembangan kognitif, emosi, dan sosial serta kekuatan fizikal dan koordinasi mereka. Tumbesaran si kecil juga meningkat sehingga 50% pada tahun-tahun pertama ini.

Untuk memastikan anak-anak anda membesar dengan tulang yang sihat, mereka perlu mengamalkan pemakanan dengan nutrisi yang sihat. Ianya penting dalam membantu mencegah osteoporosis dan patah tulang di masa akan datang.

Highlighted

Kesihatan tulang badan sering dilupakan oleh ibu bapa.

Mengapa Pentingnya Tumbesaran Tulang Untuk Kanak-kanak?

Tulang merupakan satu framework terbesar di tubuh badan kita. Tulang merupakan tisu badan yang sentiasa berubah dari hari ke hari; satu tulang baru tumbuh, tulang yang lama akan semakin rapuh. Ketika anak-anak membesar, tumbesaran tulang mereka juga membesar dan bertambah dari tahun ke tahun.

Jika anak-anak kita tidak diberikan nutrisi yang secukupnya ketika mereka masih membesar, ia boleh menyebabkan tumbesaran mereka terbantut. Hal ini boleh menyumbang kepada kekurangan berat dan ketinggian.

Bagaimana Untuk Kekalkan Kesihatan Tulang Anak-anak?

Sebagai ibu bapa, kita menjadi contoh yang terdekat pada anak-anak. Gaya hidup kita, cara pemakanan, dan cara perbualan kita sering menjadi ikutan anak-anak. Salah satu cara yang ibu boleh cuba ialah dengan menunjukkan contoh yang terbaik pada anak-anak. Ibu bapa sendiri harus sentiasa mengamalkan pemakanan yang sihat dengan nutrisi yang penting.

Pengambilan kalsium yang cukup sejak kecil membantu tumbesaran tulang yang sihat.

Pemakanan yang sihat untuk tumbesaran tulang memerlukan nutrisi penting seperti Vitamin D dan kalsium yang cukup. Selain itu, aktiviti fizikal yang konsisten dan tidak memudaratkan juga penting untuk tumbesaran tulang. Jika mereka tidak mendapat sumber kalsium yang mencukupi dalam diet mereka, jisim tulang anak-anak tidak akan berada di tahap optimum. Namun, jika anak-anak diberi makanan yang mengandungi kalori berlebihan serta kekurangan aktiviti fizikal, ianya akan mengakibatkan lebihan berat badan dan obesiti.

Tabiat Pemakanan Yang Sihat

Ibu boleh cuba tips-tips dibawah ini untuk mengekalkan tabiat pemakanan yang sihat dalam anak-anak:

1. Pentingkan sarapan setiap hari. 

Rasanya ibu bapa pun faham betapa pentingnya sarapan pagi setiap hari. Sarapan yang berkhasiat akan membantu menjana tenaga anak-anak dan menjadikan mereka lebih bertenaga dan cerdas sepanjang hari.

2. Kurangkan pengambilan makanan tinggi lemak, berminyak dan tinggi gula/garam.

Pengambilan makanan-makanan yang tinggi lemak, berminyak, gula dan garam boleh menyumbang kepada penyakit yang kronik seperti diabetes dan darah tinggi. Apa yang ibu boleh cuba ialah dengan menggunakan cara memasak yang lebih sihat seperti merebus, mengukus, atau memanggang untuk mengurangkan lemak dan minyak. Untuk menambah rasa makanan pula, tukar perasa makanan kepada herba dan rempah-ratus yang asli.

3. Snek berkhasiat. 

Cara yang terbaik untuk memperbaiki kualiti diet seharian ialah dengan menggalakkan memakan snek berkhasiat. Normal sebenarnya untuk anak-anak kita memilih snek daripada makanan berat seperti nasi. Ibu boleh benarkan anak anda mengambil snek berkhasiat seperti bijiran, susu, yogurt, dan buah-buahan.

Senaman Untuk Kuatkan Tulang

Untuk meningkatkan kekuatan tulang anak-anak anda, ibu boleh cuba aktiviti ini mengikut peringkat usia.

Selain susu ibu, susu formula dengan kandungan kalsium yang tinggi juga dapat membantu tumbesaran tulang si comel.
  • Bayi yang masih belum boleh berjalan, ibu boleh menggalakkan bayi anda bermain-main di atas lantai. Aktiviti sukan seperti berenang juga digalakkan untuk dilakukan bersama bayi anda sejak mereka kecil.
  • Anak-anak yang sudah boleh berjalan pula harus sentiasa aktif setiap hari. Aktiviti seperti memanjat dan melompat boleh meningkatkan kekuatan tulang mereka. Tapi berhati-hati ya, jangan sampai tercedera.
  • Kanak-kanak berumur 5 hingga 18 tahun memerlukan sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal setiap hari. Hal ini supaya mereka kekal cergas dan sihat sentiasa.

Ibu bapa harus pastikan anak-anak mendapat makanan yang berkhasiat dan penuh nutrien. Selain kesihatan badan, tumbesaran tulang anak anda juga sangat penting. Ini supaya mereka mencapai perkembangan tubuh badan yang normal dengan jisim otot yang bersesuaian.

Berikan makanan tambahan terbaik untuk anak anda hanya di Motherhood.com.my!