Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Badan Gatal-gatal Lepas Bangun Dari Tidur? Pepijat Mungkin Adalah Puncanya!

Katil sendiri memang sedap tidur, tapi kalau bangun ada rasa gatal-gatal di badan, tentu tak seronok! Kalau Mommy sedang melalui pengalaman ini, punca kegatalan itu mungkin datang dari pepijat!

Apa Itu Pepijat?

Pepijat adalah sejenis serangga parasit kecil yang juga dikenali ramai sebagai ‘bed bugs‘. Sumber makanan serangga karnivor ini ialah darah manusia atau haiwan berdarah panas lain.

Macam nyamuk, tapi tak boleh terbang!

Masalah bed bugs ini tidak selalu berlaku, tapi bila dah jadi dekat Mommy atau anak-anak, Mommy pasti akan tahu. Ini kerana kesan gigitannya memang jelas, dan rasa gatalnya amat teruk sekali.

Highlighted

Kredit gambar: Getty Images

Serangga parasit ini selalunya bersarang dalam tilam. Terdapat dua spesis yang sering dijumpai di Malaysia, iaitu pepijat biasa (Cimex lectularius) dan pepijat tropika (Cimex hemipterus).

Seperti namanya, pepijat biasa selalunya berada di kawasan yang mempunyai suhu biasa atau suhu normal dan beriklim sederhana. Pepijat tropika pula sering dijumpai di kawasan tropika.

Ciri-ciri Pepijat

Kenapa perlu tahu ciri-ciri serangga parasit ini? Sebenarnya penting juga untuk Mommy kenalpasti pepijat supaya Mommy sedar tentang kehadirannya dan dapat menghapuskannya.

Tambahan pula, gigitan serangga ini boleh mengancam kesihatan, terutamanya bagi individu dan anak-anak kecil yang mempunyai lelah.

Pepijat betina juga boleh bertelur sehingga lebih daripada seribu telur! Kalau tak tahu ada pepijat, memang niaya!

Fakta dan ciri-ciri pepijat adalah seperti:

  • berbentuk bujur
  • bersaiz 3mm – 5mm
  • berwarna hitam keperangan
  • mempunyai bau yang busuk

  • boleh hidup dalam 6 – 12 bulan
  • menghisap darah manusia atau haiwan berdarah panas lain
  • boleh tahan lapar/dahaga sehingga satu tahun
  • pepijat betina boleh bertelur dalam 500 – 1,200 biji telur

Bila dah tahu serba-sedikit tentang pepijat, senang untuk kenal pasti serangga parasit ini. Lagi-lagi kalai timbul bintik-bintik merah akibat kesan gigitannya. Sekurang-kurangnya Mommy tahu puncanya!

Ia juga amat berguna jika Mommy sekeluarga suka travel atau melancong dan tidur di hotel. Kalau hotel tak diselanggara dengan betul, tentu ada bed bugs di katil!

Sumber: Getty Images

Ini kerana serangga ini senang untuk berpindah-randah kerana boleh menyelinap dan masuk ke dalam bag atau baju seseorang.

Jadi ia boleh datang dari orang lain, singgah ke tilam hotel, kemudian ikut Mommy balik ke rumah pula! Seekor pun cukup untuk mula membiak di rumah Mommy tau! Jadi perlulah berhati-hati.

Petua Rawatan Gigitan Pepijat

Kalau Mommy baru sedar tentang kewujudannya di tilam Mommy dan dah kena gigit pun, jangan panik! Kalau gigitan tidak berapa gatal dan tidak menjejaskan keselesaan, Mommy boleh biarkan gigitan itu sembuh sendiri.

Kalau ada ubat gigitan serangga yang memang sering digunakan oleh Mommy sekeluarga, bolehlah sapukan ubat tersebut.

Kalau gigitan Mommy rasa gatal teruk dan memudaratkan, pertama sekali elakkan daripada menggaru hingga boleh menyebabkan gigitan itu berdarah.

Mommy boleh ke farmasi untuk mendapatkan ubat. Pakar farmasi selalunya boleh mengesyorkan krim untuk disapu pada gigitan. Selalunya ia adalah jenis krim antiseptik seperti hydrocortisone untuk menenangkan kawasan gigitan.

Sekiranya gigitan itu menyebabkan gejala lain seperti bengkak di sekeliling gigitan dan sehingga demam, Mommy disarankan untuk berjumpa dengan doktor serta-merta.

Mungkin Mommy mempunyai alahan yang tidak diketahui dan perlu mendapatkan rawatan segera. Jangan biarkan keadaan bertambah teruk!

Elakkan Digigit Serangga Parasit Ini

Jika Mommy mengesyaki terdapat pepijat di bilik, Mommy boleh cuba langkah-langkah berikut untuk mengelakkan diri daripada digigit sementara memikirkan cara untuk menghapuskannya.

  • Pakai baju yang menutup majoriti kulit seperti baju lengan panjang dan seluar panjang.
  • Gunakan stokin atau sarung kaki untuk menutup bahagian kaki.
  • Gunakan semburan serangga yang boleh disemburkan pada kulit.
  • Tukar alas tilam baru dan gunakan kelambu jika perlu.

Cara Menghapuskan

Terdapat beberapa cara yang Mommy boleh gunakan untuk menghapuskan bed bugs yang sedang berleluasa di tilam.

1. Gunakan semburan serangga khusus untuk pepijat. Selalunya Mommy boleh dapatkan di farmasi seperti ‘bed bugs spray‘. Ini mungkin memadai jika Mommy syaki tidak banyak berdasarkan jumlah gigitan. Semburan ini juga boleh dibawa jika semasa pergi bercuti dan boleh dipakai di hotel.

2. Cara yang lebih jimat kos ialah dengan menggunakan perangkap pepijat. Biasanya perangkap ini mempunyai produk kimia untuk menarik keluar serangga tersebut. Kemudian ia akan terperangkap pada permukaan perangkap yang melekit.

3. Cara yang paling efektif ialah dengan menggunakan perkhidmatan professional untuk menghapuskan serangga parasit. Cara ini adalah paling berkesan, tetapi ia juga agak mahal. Cara ini sesuai jika Mommy syaki terdapat serangan pepijat yang ekstrem.

Tips-tips Untuk Mengelakkan Masalah Serangan Serangga Ini

Lega rasanya bila serangga parasit ini dah dihapuskan, betul tak? Sekarang kena fikir pula bagaimana untuk mengelakkannya daripada kembali!

1. Rajinkan diri untuk selalu membuat pemeriksaan. Mungkin dalam seminggu sekali, Mommy boleh menggunakan perangkap pepijat seperti yang disebutkan tadi untuk ‘check‘ kehadiran pepijat di tilam Mommy.

2. Jemurkan tilam Mommy di tengah panas kerana pepijat tak suka panas dan terik Matahari! Serangga ini akan lari atau akan menjadi lemah, sebab itu mereka suka duduk di tempat yang gelap!

3. Kalau Mommy tiada ruang untuk menjemur tilam, Mommy boleh buka tingkap dan langsir supaya cahaya Matahari dapat masuk sebanyak mungkin.

4. Selain jemuran panas, Mommy juga boleh gunakan vakum untuk membersihkan tilam, justeru menghapuskan pepijat dan mengelakkannya daripada membiak.

5. Buat pemeriksaan di seluruh kawasan rumah Mommy jika baru-baru ini terdapat serangan pepijat di katil. Check kawasan seperti almari baju dan sofa kain.

Semoga bermanfaat.