Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Cara Penyimpanan Susu Ibu dan Senarai Peralatan Asas

penyimpanan susu ibu

Tidak disangkal lagi bahawa susu ibu adalah susu yang terbaik untuk bayi. Bayi yang menyusu badan mendapat keperluan yang secukupnya tanpa memerlukan makanan tambahan yang lain.

Namun begitu, bagi sesetengah ibu, proses penyusuan dirasakan sukar atas faktor-faktor yang tertentu. Malah, ada juga yang tidak pasti akan cara penyimpanan susu ibu yang betul dan tahan lama.

Para ibu yang bekerja sebagai contoh, akan mengalami kesukaran untuk menyusu secara terus pada setiap masa.

Sesetengah dari mereka memilih untuk memberi susu formula kepada bayi semasa ketiadaan mereka manakala sebahagiannya memilih untuk membekalkan perahan susu mereka.

Sebaiknya, para ibu haruslah memilih untuk meneruskan susuan biar pun tidak secara terus kerana susu perahan yang disimpan dengan betul tidak akan berubah kualiti dan tetap membekalkan nutrisi yang sama untuk bayi anda.

Mommy boleh mencuba tips-tips dibawah, yang menerangkan dengan lebih teliti cara penyimpanan susu ibu untuk memudahkan hari anda.

Peralatan Asas

Untuk memerah susu, para ibu boleh memilih kaedah yang mana dirasakan lebih mudah dan berkesan.

Sebilangannya mampu untuk menyusukan bayi mereka secara terus pada kebanyakkan masa meskipun mempunyai tuntutan kerja. Mereka hanya perlu membekalkan sedikit sahaja susu perahan kepada pengasuh atau penjaga bayi mereka.

Untuk itu, memerah susu hanya dengan menggunakan tangan sudah mencukupi. Namun, jika menginginkan pemerahan yang lebih efektif dan efisyen, anda haruslah mempunyai kelengkapan yang sewajarnya:

  1. Pam susu – pam susu yang terbaik ialah pam susu elektrik yang pantas dan senyap yang menyerupai cara bayi anda menghisap.
  2. Botol susu – para ibu hendaklah menggunakan botol susu yang selamat disimpan di dalam freezer.
  3. Puting susu – pemilihan puting susu perlu dititik beratkan dari segi pengaliran dan saiz lubang. Untuk bayi yang baru lahir, pengaliran yang sesuai adalah yang paling perlahan. Puting yang diperbuat dari bahan yang berbeza dan bentuk yang berlainan juga memainkan peranan. Puting yang sesuai dapat mengelakkan bayi dari tersedak susu.
  4. Alat steril – alatan steril ini boleh dipilih sesuai dengan kaedah-kaedah untuk mensteril peralatan penyusuan bayi iaitu: periuk besar dan penutup untuk masak sehingga mendidih, bekas besar atau pun besen dan bahan steril yang tidak beracun untuk merendam peralatan di dalam air sejuk, steril elektrik berwap dan ketuhar gelombang mikro untuk mensteril peralatan ini di dalamnya.
  5. Sabun pencuci – untuk memastikan peralatan menyusu anda benar-benar bersih, para ibu disarankan untuk membersih peralatan menggunakan sabun pencuci yang selamat untuk bayi.
Highlighted

Sumber: Shutterstock

Cara Penyimpanan Susu Perahan

Lazimnya, terdapat empat cara penyimpanan susu ibu iaitu di dalam bilik, peti sejuk, peti sejuk beku dan peti sejuk deep freezer.

Bilik

Jika para ibu bercadang untuk memberi susu perahan dalam masa kurang dari empat jam, menyimpannya di dalam bilik sudah memadai.

Susu perahan yang disimpan dalam suhu bilik yang sederhana boleh tahan sehingga empat jam seeloknya. Kebiasaannya adalah pada suhu 15 hingga 37 darjah celcius.

Peti Sejuk

Sekiranya para ibu ingin menggunakan susu perahan ini dalam tempoh beberapa hari, anda haruslah menyimpannya di dalam peti sejuk.

Lazimnya, susu perahan yang disimpan di dalam peti sejuk akan bertahan kesegarannya selama tiga hari. Suhu yang sesuai ialah di antara 2 hingga 4 darjah celcius.

Setiap bekas atau botol simpanan hendaklah dilabel tarikh dan masa simpanan. Jika anda merancang untuk membekalkannya kepada pengasuh, nama bayi anda juga haruslah ditulis bersama.

Apabila ingin digunakan, keluarkannya dari peti sejuk dan biarkanlah pada suhu bilik atau pun panaskannya menggunakan teknik double boiling.

Susu perahan yang disimpan di dalam peti sejuk ini hendaklah digunakan hanya sekali sahaja pada satu masa. Adalah tidak dibolehkan untuk menyejukkannya semula sekiranya susu itu tidak habis diminum.

Peti Sejuk Beku

Untuk penyimpanan dalam tempoh yang lebih lama iaitu selama beberapa bulan, simpanlah susu perahan anda di dalam peti sejuk beku, sebaiknya peti sejuk beku berpintu dua.

Suhu peti sejuk beku yang sesuai ialah -20 darjah celcius dan tempoh simpanan maksima ialah selama tiga bulan dari tarikh perahan.

Sebaik sahaja diperah, susu ibu haruslah disimpan segera tanpa dibiarkan di luar, sama sahaja seperti yang disimpan di dalam peti sejuk dan deep freezer.

Untuk penyimpanan dalam peti sejuk beku, para ibu disarankan untuk menggunakan botol atau bekas simpanan yang freezer friendly.

Apabila ingin digunakan, susu perahan yang dibekukan ini disarankan untuk diletakkan di dalam peti sejuk dahulu selama semalaman.

Pentingnya label tarikh dan masa simpanan supaya para ibu boleh membezakan yang mana yang harus diberikan kepada bayi dahulu, iaitu susu perahan yang diperah paling awal.

Setelah dicairkan, susu perahan beku ini tidak boleh untuk dibekukan lagi dan hendaklah diberikan kepada bayi anda dalam tempoh sebaiknya, beberapa jam kemudian.

Peti Sejuk Deep Freezer

Peti sejuk deep freezer sesuai digunakan untuk menyimpan stok susu ibu selama enam bulan paling lama.

Ia sesuai untuk sesetengah para ibu yang memilih untuk menyimpan susu perahan pada jangka masa yang lebih lama dari tiga bulan atas sebab-sebab yang tertentu.

Cadangan pengurusan untuk penyimpanan susu perahan di dalam peti sejuk deep freezer ini tidak jauh bezanya seperti di dalam peti sejuk dan peti sejuk beku.

Para ibu dinasihatkan untuk memilih botol yang freezer friendly, melabelnya dan menyimpan terus sesudah diperah. Juga, tidak dibolehkan untuk membekunya kembali sekiranya tidak habis diminum.

Sumber: Shutterstock

Tips untuk Ibu

Untuk memudahkan pengurusan penyimpanan susu perahan anda, para ibu dinasihatkan untuk memerah susu dalam tempoh sebulan atau beberapa minggu sebelum penggunaannya.

Terutama untuk golongan ibu yang bekerja, perancangan awal akan memudahkan urusan kerja dan penjagaan bayi anda. Jika bayi dihantar kepada pengasuh, jelaskan lah dengan terperinci proses penyimpanan dan penyusuan kepadanya.

Selain itu, peralatan menyimpan dan menyusu bayi juga haruslah sentiasa dijaga kebersihannya kerana usus bayi anda masih lagi sensitif.

Walaupun disimpan dengan betul, kesegaran susu perahan simpanan hendaklah sentiasa diperiksa sebelum diguna.

Harus juga diingatkan, walaupun terdapat pelbagai cara untuk menyimpan susu perahan, para ibu hendaklah sentiasa mencari peluang untuk memberikan susu dada secara terus.

Selesai sahaja urusan anda, kuatkanlah semula ikatan kasih antara anda dan bayi. Semoga usaha para ibu dipermudahkan!