Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Peranan Ibu Bapa Dalam Membesarkan Anak Yang Bijak Dan Berbudi Bahasa

Sumber: Adobe Stock

Anak-anak adalah suatu amanah dan tanggungjawab yang amat besar bagi setiap ibu bapa. Peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak dan membentuk manusia berperibadi mulia bermula sejak mereka lahir lagi.

Sebagai ibu bapa sudah tentu kita selalu tertanya-tanya tentang pelbagai perkara yang melibatkan pengasuhan anak-anak dari pemakanan ke cara-cara mendisiplinkan mereka.

Budak-budak ni cukup makan ke tak? Nak beli lagi ke toys baru? Boleh ke anak-anak aku ni jaga adab kalau makan kat hotel 5-bintang?

Bermacam-macam persoalan yang dihadapi oleh ibu bapa kerana semestinya kita mahukan yang terbaik untuk anak kan? Jadi apakah cara-cara terbaik untuk membesarkan anak?

Sebenarnya, tiada cara “betul” atau “salah” yang mutlak untuk membesarkan anak bijak dan berbudi bahasa, tetapi secara umumnya ibu bapa boleh mengikuti beberapa garis panduan yang telah dibincangkan oleh banyak pakar rumahtangga.

Highlighted

Sumber: Adobe Stock

Dua kategori utama apabila membincangkan tentang peranan ibu bapa adalah peranan mengasuh dan peranan memberi struktur.

Dalam peranan pengasuhan, ibu bapa perlu menjaga keperluan asas anak-anak seperti berikut:

  • pemakanan, tempat tinggal, dan pakaian
  • rawatan perubatan
  • memberi pendidikan
  • kasih sayang
  • perhatian
  • masa diluangkan bersama
  • sokongan

Peranan ibu bapa yang lain adalah memberi atau membentuk struktur untuk anak-anak seperti:

  • memberi arahan
  • menetapkan had
  • menggunakan disiplin
  • mengajar nilai-nilai murni
  • mengajar anak tentang tanggungjawab

Ibu bapa yang aktif dalam pembesaran anak-anak tentu akan melakukan hampir semua perkara yang disebutkan tadi.

Ini yang akan memberikan kesan positif kepada perkembangan anak-anak dari segi rohani, emosi, dan jasmani.

Mari kita lihat beberapa perkara tersebut dengan lebih mendalam.

10 Peranan Penting Ibu Dan Ayah Dalam Hidup Anak

1. Menjaga Keperluan Asas Anak

Tidak boleh dipertikaikan lagi bahawa anak-anak memerlukan ibu bapa atau penjaga yang boleh memberikan mereka keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, dan pakaian kerana anak-anak yang kecil belum boleh berdikari dan menjaga diri sendiri, mahupun bekerja untuk mendapatkan duit!

Begitu juga dengan rawatan perubatan, sekiranya mereka tidak sihat, ibu bapa lah yang perlu bertanggungjawab untuk mendapatkan rawatan bagi anak-anak.

2. Memberi Pendidikan Dunia Dan Agama Mencukupi

Sumber: Adobe Stock

Bagi sesetengah ibu bapa, mendidik anak-anak bukan senang, tapi dengan langkah-langkah yang betul, anak-anak akan dapat meraih ilmu yang mencukupi.

Pembelajaran pada peringkat awal memang ada cabarannya, tapi ia akan membuka jalan untuk anak-anak pandai berdikari dimasa hadapan.

Pembelajaran anak pada peringkat awal, bermula dari sekitar umur dua tahun adalah penting dalam membantu kecemerlangan mereka.

3. Mencurahkan Kasih Sayang Dengan Ikhlas

Bunyi senang saja kan untuk mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak? Hakikatnya, setiap anak-anak kecil berbeza dan memerlukan jenis kasih sayang yang berbeza.

Ada yang menuntut bahawa kadang-kala mak atau ayah marah atau pukul tanda kasih sayang, tapi sebenarnya berdasarkan banyak kajian moden sekarang, cara-cara tersebut boleh memberikan trauma kepada sesetengah anak kecil yang mungkin terlalu sensitif.

Ada juga anak-anak yang mungkin tidak suka berpeluk-peluk dan bermanja, dan sebagai ibu bapa kita perlu menghormati kehendak anak tersebut, terutamanya jika mereka tidak suka berpelukan dengan orang yang mereka tidak kenali atau rapat.

Ini akan mengajar mereka tentang ‘boundaries‘ supaya mereka tidak melakukan perkara yang sama di masa hadapan terhadap individu lain.

4. Memberikan Perhatian Yang Mencukupi

Masa amatlah berharga, terutamanya pada zaman sekarang di mana banyak tugasan perlu dilakukan.

Ibu bapa yang bekerja juga, terutamanya bekerja di rumah pada era pandemik sekarang, dijangkakan oleh majikan untuk bekerja setiap masa, jadi masa untuk diluangkan bersama anak-anak akan terjejas.

Sebaiknya kita perlu pandai mengagihkan masa antara kerja, anak-anak, dan untuk diri sendiri juga.

Kalau anak-anak minta perhatian, asalkan munasabah, luangkanlah masa sedikit supaya mereka tidak terkecil hati.

Takut-takut di masa hadapan bila mereka dah besar, mereka pula tak mahu luangkan masa dengan ibu bapa!

5. Memberikan Sokongan Dalam Segala Aspek

Anak-anak walaupun datangnya dari ibu bapa secara biologikal, peribadi mereka mungkin tidak sama 100%.

Mungkin cara duduk atau ekspresi wajah adalah serupa, tapi pemikiran dan minat mungkin akan berbeza.

Di sini lah sebagai ibu bapa kita perlu memahami kehendak anak-anak dan memberi sokongan dalam apa jua bidang yang diceburi, asalkan tidak melanggar peraturan atau syariat agama.

Sokongan dan restu ibu bapa yang akan memberikan kejayaan kepada anak-anak.

6. Menetapkan Had Dan Memberi Arahan

Kanak-kanak memerlukan garis panduan untuk hidup kerana mereka belum lagi kenal erti betul dan salah.

Sebagai ibu bapa, kitalah yang perlu menggariskan panduan tersebut untuk anak-anak.

Ini bergantung kepada prinsip ibu bapa tersebut sendiri, jika mereka mementingkan satu perkara dari yang lain.

Contohnya, sesetengah ibu bapa mengehadkan masa untuk menonton television selama 30 minit sehari, ada yang tak kisah berapa lama anak-anak menonton TV asalkan mereka juga membuat banyak aktiviti lain, dan ada pula yang tak beri langsung masa untuk menonton TV melainkan hari minggu.

Ibu bapa perlu tahu di mana untuk memberi arahan untuk semua perkara dan bagaimana untuk menetapkan had.

7. Menggunakan Disiplin Berpatutan

Disiplin perlu diajar kepada anak-anak bukan sahaja supaya mereka mengenal perbezaan antara betul dan salah, tetapi disiplin juga penting supaya anak-anak lebih fokus dan gigih dalam apa sahaja yang diceburi.

Ibu bapa perlu mengenal pasti kadeah mendisiplinkan anak-anak dengan efektif dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan kekerasan.

Kanak-kanak masih kecil dan kaedah yang ekstrem di zaman sekarang tidak seharusnya dipakai.

Sebaliknya, ibu bapa perlu pandai-pandai mencari keseimbangan dalam mendisiplinkan anak, dan paling penting sekali, jangan memalukan mereka dikhayalak ramai.

8. Mengajar Nilai-Nilai Murni

Cara terbaik untuk mengajar nilai-nilai murni sertia tabiat-tabiat yang bagus adalah dengan melakukan dan mempraktiskannya depan anak-anak.

Ini adalah kerana anak-anak akan belajar dengan mencontohi kelakuan ibu bapa dan orang-orang yang terdekat dengan mereka.

Perasan tak, anak-anak selalu meniru apa yang Ibu dan Ayah buat kan? Seperti buat-buat minum kopi, membaca surat khabar, ataupun berjalan dengan meletakkan tangan di belakang badan sebagai contoh.

Cara yang paling efektif bagi kanak-kanak untuk belajar dan ingat adalah secara visual, jadi jika ingin anak-anak beradab baik, ibu bapa perlulah menjadi contoh yang terbaik.

Sumber: Getty Images

9. Mengajar Anak Tentang Tanggungjawab

Walaupun ibu bapa bertanggungjawab untuk anak-anak mereka, ia juga perlu diajarkan kepada anak-anak sebagai bekalan apabila mereka sudah pandai berdikari.

Tanggungjawab disini bukan sahaja dimaksudkan dengan tanggungjawab seperti pandai membasuh pinggan sendiri atau mengemas buku dan permainan, tetapi juga mengambil tanggungjawab keatas tindakan-tindakan yang mereka ambil.

Sebagai contoh, kalau mereka bermain dengan adik atau kawan di halaman rumah dan secara tidak sengaja memecahkan pasu bunga, mereka perlu belajar tanggungjawab ke atas apa yang mereka telah lakukan dan tidak menuduh orang lain atau lari dari tanggungjawab tersebut.

10. Memupuk Perkembangan Emosi

Antara perkara yang paling penting dalam pembesaran anak-anak ialah perkembangan emosi.

Ramai yang tidak mengambil endah tentang perkara ini dan hanya mementingkan perkembangan intelektual, tapi sebenarnya perkembangan emosi juga penting untuk kejayaan seseorang.

Lagi-lagi dengan pelbagai gangguan di zaman moden ini, ramai yang mengalami masalah emosi tidak stabil.

Jadi ibu bapa perlu memupuk perkembangan emosi sejak kecil lagi supaya ia berkembang dengan sihat.

Sumber: Getty Images

Apabila semua perkara yang dibincangkan di atas dititikberatkan oleh ibu bapa dalam peranan mereka sebagai pengasuh dan pendidik, anak-anak akan berasa yakin dan seronok dengan diri mereka dan merasa dicintai dan disayangi.

Mereka akan dapat belajar dengan efektif dan merealisasikan idea kerana mereka tahu ibu bapa akan mendengar kata mereka, dan mereka akan merasa diri mereka difahami dan keperluan mereka penting juga kepada ibu bapa.

Ini adalah kebaikan-kebaikannya jika ibu bapa memainkan peranan dengan betul.

Anak-anak akan senang nak memberi kepercayaan kepada ibu bapa untuk sentiasa menyuluh lampu ke jalan yang betul dan ini akan membantu mereka membesar dan menjadi orang yang baik, bijak, dan berbudi bahasa.