Perkahwinan merupakan impian untuk setiap pasangan yang sedang hangat bercinta tidak kisahlah sama ada ianya adalah perkahwinan jarak jauh sekalipun asalkan hubungan yang terbina itu sudah halal dari segi syarak. Hanya dengan sekali lafaz maka lengkaplah satu ikatan yang sah hasil penyatuan antara dua jiwa. Maka dari situ bermulalah fasa hidup rumah tangga yang baharu sahaja dibina.
Namun begitu, tidak semua pasangan yang berkahwin mampu untuk hidup bersama. Terdapat pasangan suami isteri yang perlu hidup secara berjauhan atas dasar pelbagai komitmen luaran yang tidak mampu mereka elakkan.
Mungkin bagi pasangan yang tidak pernah hidup berjauhan ianya akan dianggap mudah, tetapi tidak buat pasangan yang perlu hidup secara PJJ atau perkahwinan jarak jauh ini. Terdapat pelbagai rintangan dan halangan yang perlu mereka lalui dan atasi.
Oleh itu, untuk Mommy yang perlu hidup berjauhan dengan si suami, tidak perlu risau lagi kerana di sini kami akan kongsikan sembilan tips perkahwinan jarak jauh yang dapat Mommy dan suami praktikkan dalam hubungan.
9 Tips Berkesan Bagi Mengeratkan Perkahwinan Jarak Jauh & Kekal Bahagia
Tips-tips yang Mommy dan si suami boleh ambil untuk dijadikan satu rujukan atau terus diamalkan adalah tips 9s ini iaitu :
-
Saling percaya antara satu sama lain
Mommy perlu sentiasa ingat, dalam hubungan suami isteri asas yang paling penting dan perlu ada adalah kepercayaan. Bina dan kekalkan kepercayaan antara satu sama lain sebaik-baiknya.
Perlu juga diingat, tanpa kepercayaan yang kukuh, sangat mudah untuk kita terpengaruh dengan sesuatu perkara atau berita yang negatif dan akhirnya terburu-buru dalam membuat sesuatu keputusan.
Akhirnya diri kita sendiri yang berada dalam kerugian.
-
Sering berkomunikasi
Aspek ini adalah yang paling penting sekali. Tanpa komunikasi yang baik dan jelas, maklumat antara dua hala akan disampaikan dengan cara yang salah.
Hal inilah yang sering menyebabkan berlakunya pertengkaran atau salah faham antara pasangan.
Malah, dengan kurangnya komunikasi juga penyampaian emosi dan kehendak antara kedua-dua pihak juga turut akan terjejas dan tidak didengari.
Mommy berasa seperti diabaikan, manakala si suami pula berasa seolah dipinggirkan. Akhirnya perkahwinan yang memang sudah berada jarak jauh ini, menambahkan lagi jurang jarak dari segi perhubungan pula.
Oleh itu, sangat penting bagi suami dan isteri untuk jaga dan kekalkan komunikasi yang baik dan sentiasa menggunakan panggilan yang manja dan romantis di antara satu sama lain contohnya seperti sayang, cinta, baby dan sebagainya.
Selain itu, perlu juga dipastikan jangan sesekali menggunakan bahasa yang kasar walaupun pada waktu itu kita sedang dalam keadaan marah.
-
Sentiasa berfikiran positif
Dalam hidup ini, walau apa pun yang terjadi sentiasa kekalkan diri untuk berfikir secara positif. Dengan aura positif ini sebenarnya dapat menjauhkan diri kita dari hal-hal yang negatif dan sekaligus menjaga emosi dan cara pemikiran kita.
Selain itu, banyak kelebihan yang dapat kita peroleh jika mengamalkan pemikiran yang positif ini antaranya jiwa berasa lebih tenang, boleh bertindak dan membuat keputusan secara rasional, emosi tidak mudah terganggu dan segala permasalahan dapat diatasi dengan mudah.
-
Saling ingat-mengingati
Kedua-dua pihak perlulah selalu saling ingat-mengingati tentang perkara kebaikan. Risau dengan jarak yang jauh ini jika ada sebelah pihak yang sedang lakukan sesuatu yang salah, akan terus-terusan melakukannya.
Dengan adanya ingatan dan teguran dari yang tersayang, perkara sebegini dapat dielakkan malah dijauhkan. Selain itu, jika pasangan kita jenis yang sukakan sambutan contohnya seperti hari lahir, anniversary atau lain-lain lagi, sentiasalah ingat tarikh-tarikh penting ini.
Kalau rasa sukar untuk ingat, terus catit atau setkan peringatan di telefon masing-masing. Sentiasa jaga hati dan perasaan pasangan anda.
-
Sentiasa berkongsi masalah
Hidup ini kalau tiada masalah memang sangat pelik kerana semua orang pasti ada masalah tidak kisahlah sama ada ianya masalah kecil atau pun besar.
Sebagai pasangan suami isteri, elakkan dari memendam semua masalah itu seorang diri. Lebih baik sekiranya berkongsi masalah tersebut dengan pasangan kerana hidup berumah tangga ini semua yang kita lakukan sebolehnya biarlah bersama-sama.
Alam rumah tangga adalah sebuah dunia yang berbeza dan penghuni tetapnya adalah diri kita dan juga pasangan. Sebab itu, ikatan sah lafaz nikah hanya untuk berdua bukannya beramai-ramai sekaligus.
Hanya pasangan yang mengenali siapa diri kita yang sebenar-benarnya. Apabila ada masalah cuba kongsikan. Sudah tentu pasangan juga akan turut serta dalam masalah untuk bantu kita hadapi dan selesaikannya.
Bertukarlah pendapat untuk cari jalan penyelesaian yang terbaik.
Sesetengah orang menganggap ianya akan membebankan pasangan jadi lebih baik untuk simpan sendiri, tetapi sebenarnya dengan melakukan itu anda sedang membina tekanan di dalam diri anda sendiri.
Jadi, lebih baik elakkan sifat suka memendam rasa ini kerana ianya akan menimbulkan masalah di kemudian hari.
-
Selalu beri hadiah
Hargai pengorbanan dan kesetiaan pasangan dengan memberikan hadiah istimewa buat mereka. Hal ini mampu menambah rasa sayang dan menyemarakkan lagi cinta di hati antara suami isteri.
Jika tidak mampu, cukuplah dengan ucapan yang ikhlas dari hati. Selitkan juga kata-kata pujian.
Lumrah hidup manusia memang sukakan pujian dan juga kata-kata manis.
-
Sentiasa beri sokongan dan galakan
Ambil tahu tentang minat dan impian pasangan. Jika boleh bantu si dia untuk merealisasikannya, maka bantulah pasangan anda seikhlas hati.
Sentiasa beri sokongan, pendapat yang bernas dan galakan antara satu sama lain.
-
Saling hormat-menghormati
Tidak kira suami atau isteri, perlu ada sifat hormat antara satu sama lain. Suami dan isteri perlu tahu batas dan tanggungjawab masing-masing.
Selain itu, suami juga perlu tunjukkan contoh teladan yang baik serta perlu didik dan bentuk isteri dengan rasa hormat yang tinggi.
Jika mahu melakukan sesuatu perkara atau membuat sebarang keputusan dalam hidup, tidak salah sekiranya suami atau isteri meminta pandangan masing-masing.
Paling penting, sebagai suami isteri masing-masing jangan sesekali merajakan diri di dalam rumah tangga.
-
Sentiasa tawakal dan berserah diri kepada Allah
Walau apa pun yang terjadi.sentiasalah muhasabah diri dan berserah sepenuh hati kepada Allah. Mohon diberikan petunjuk di atas segala tindakan dan juga keputusan.
Sentiasa berdoa memohon akan kesejahteraan dan kebaikan dalam urusan rumah tangga dan juga buat kaum keluarga kedua-dua belah pihak.
Alam perkahwinan sebenarnya merupakan alam yang misteri, penuh dengan tanda tanya, penuh dengan kejutan dan juga keajaiban. Ianya sangat berbeza dengan kehidupan yang kita lalui sebelum ini.
Sikap manusia yang sentiasa berubah-ubah dan sukar untuk diramalkan sememangnya sangat mencabar. Tambahan lagi, jika kita berkongsi hidup sepanjang hayat dengannya.
Tetapi walau apa pun yang berlaku, terimalah setiap kelebihan dan kekurangan yang tersedia ada di dalam diri masing-masing. Perbaiki dan tutupi setiap kelemahan itu dengan kebaikan-kebaikan yang ada.
Alam perkahwinan ini, jika bijak mengatasi segala kebarangkalian yang akan berlaku, Mommy pasti akan temui titik-titik cahaya yang akan mula menyinar terang tanpa gagal.
Oleh itu, untuk pastikan perkahwinan ini kekal berjaya, Mommy perlulah sentiasa bersedia dari segi mental, rohani dan juga fizikal. Sentiasa cari dan wujudkan titik persamaan dan persefahaman untuk menjayakan perkahwinan jarak jauh ini.
Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat buat Mommy semua!