Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Perkara Yang Ibu Bapa Sering Pandang Ringan Selepas Menindik Telinga Anak Kecil

Menindik telinga merupakan satu amalan menghiaskan diri dengan subang atau juga dikenali sebagai anting-anting. Tidak dinafikan, kanak-kanak perempuan tampak manis dan lebih comel jika bergaya bersama anting-anting. Tetapi, ibu bapa yang menindik telinga anak-anak ketika mereka kecil harus sentiasa berwaspada dan sentiasa berikan perhatian penuh pada anak-anak anda. Siapa sangka, amalan menindik telinga pada anak kecil boleh membawa padah, sekiranya tidak dijaga dengan betul.

Highlighted


Menurut perkongsian Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, terdapat ramai ibu bapa terlupa akan penjagaan lubang tindikan anak masing-masing. Ibu bapa sepatutnya menjaga tindikan di telinga si kecil dengan baik sehingga mereka mampu menjaganya dengan sendiri.

Ikuti kisah yang dikongsi Dr Kamarul Ariffin dilaman Facebook beliau:

Terpaksa Bedah Cuping Telinga Anak Kecil

Doktor, bahagian belakang subang anak saya tenggelam dalam cuping telinga dia!

Besi tertanam dalam cuping. Baca pun ngilu, kan? Terpaksa saya bedah sedikit cuping telinga anaknya itu untuk keluarkan.

Ramai ibu-ibu yang membawa anak mereka untuk melakukan tindikan di cuping telinga sejak anak-anak itu kecil lagi. Jika ia dilakukan di klinik, biasanya doktor akan nasihatkan tentang penjagaan tindikan baru.

Dalam posting yang sama, Dr Kamarul Ariffin turut kongsikan nasihat dan tips-tips berguna untuk ibu bapa yang menindik telinga anak-anak.

Bukan 6 Minggu Pertama Sahaja

Antaranya, cucian luka, tanda-tanda jangkitan, dan tidak dibenarkan buka subang dalam jangka masa lama selagi belum melebihi 6 minggu dari hari tindikan. Ibu bapa lazimnya menjaga dengan baik sepanjang 6 minggu itu.

Namun selepas itu, ramai ibu bapa terlupa tentang penjagaan lubang tindikan pada anak masing-masing. Jika anak anda bertindik sejak awal usia(1-4 tahun), kalian harus jaga tindikan mereka dengan baik sehingga mereka mampu menjaganya sendiri.

Kenapa Ibu Bapa Harus Menjaga Tindikan Anak-anak Dengan Baik?

  1. Jangkitan pada tindikan agak mudah berlaku pada kanak-kanak. Ini kerana, mereka belum tahu menjaga kebersihan tubuh sendiri. Mereka juga kadang kala tidak pandai mengadu jika ada tanda jangkitan.
  2. Kanak-kanak agak lasak, dan berisiko mencederakan cuping telinga kerana subang terkait pada baju, rambut, langsir, pokok atau apa jua di persekitaran mereka.
  3. Kecederaan dan jangkitan yang terabai boleh menyebabkan keradangan pada lubang tindikan, dan menyebabkan komplikasi pada cuping telinga seperti bernanah, terbelah, bengkak (berubah bentuk) dan seperti pesakit di atas; subang tertanam dalam cuping!

Dr Kamarul Ariffin turut menegaskan bahawa ibu bapa yang mempunyai anak kecil yang bertindik HARUS melakukan perkara-perkara di bawah! Hal ini untuk memastikan kesihatan dan kebersihan tempat tindikan anak anda terjamin.

Cara-cara Menjaga Tempat Tindik Anak-anak

1. Periksa cuping telinga anak anda setiap 2-4 minggu. Pastikan tidak sakit, merah, bengkak, berbau, kulit berubah warna atau bentuk.

2. Semasa periksa, buka subang. Bersihkan cuping telinga dengan sabun. Cuci subang dengan larutan yang sesuai. Keringkan sebelum pakai.

3. Digalakkan gunakan subang dengan material yang tidak menyebabkan alahan. Jika subang logam, emas paling kurang sebabkan alergi.

4. Elak memakai subang lebih sebulan tanpa membuka dan memeriksa. Ajar anak tentang kebersihan.

5. Jika ada tanda-tanda jangkitan atau kecederaan, bawa jumpa doktor dengan segera untuk mendapat rawatan yang bersesuaian.

Apa yang penting sebenarnya ialah kebersihan anak-anak anda. Anda mahukan anak-anak tampak lebih cantik dan bergaya bukan? Jangan sampai terlupa akan kebersihan dan kesihatan diri mereka tau. Walaupun anak-anak kita bukan lagi bayi, tetapi mereka masih perlukan perhatian dan didikan kita.

Untuk kebersihan si manja yang lebih optimum, dapatkan produk kesihatan dan kebersihan bayi dan kanak-kanak di Motherhood.com.my hari ini!