Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Ketahui Pelbagai Aspek Perkembangan Bayi Hanya Pada Usia 1 Bulan Yang Mengagumkan

Sumber: Adobe Stock

Semua ibu bapa tahu, bukan senang untuk menjaga bayi yang baru lahir! Ia memerlukan bukan sahaja tenaga mental dan fizikal, tetapi juga banyak pengorbanan. Walau bagaimanapun, si comel seakan-akan membesar dalam sekelip mata sahaja!

Rasa macam baru semalam bertarung nyawa melahirkan anak, sekarang dah nak masuk satu bulan! Sekarang ni, Mommy pun tentu sudah berasa lebih selesa untuk mendukung anak, menukar lampin, mendodoinya untuk tidur, dan pelbagai lagi rutin lain.

Tapi mesti diingati, rutin tersebut tidak akan kekal! Walaupun bayi tidaklah membesar betul-betul dalam sekelip mata, namun perkembangan bayi pada usia 1 bulan mereka memang pantas berlaku sebenarnya.

Kalau Mommy ingin tahu apakah perkembangan bayi pada 1 bulan dan bagaimana untuk menghadapinya, Mommy boleh terus membaca.

Highlighted

Sumber: Getty Images

Perkembangan Bayi Pada Umur 1 Bulan

Perkembangan Fizikal

Dalam masa sebulan selepas dilahirkan, kebanyakan bayi memang akan membesar dengan banyak. Kebarangkalian besar, baju yang mula-mula dipakai ketika lahir dulu sudah tak muat pun.

Namun ia bergantung pada berat bayi ketika lahir juga, sama ada bayi lahir terma penuh atau pramatang.

Secara purata, bayi lelaki akan mencapai berat dalam 4.5kg manakala bayi perempuan akan mencapai berat dalam 4.2kg.

Dari segi kepanjangan pula, kepanjangan persentil ke-50 bayi lelaki ialah 54.6cm, manakala perempuan ialah 53.6cm.

Ukuran ini kemungkinan besar akan mempunyai perbezaan yang banyak bagi bayi yang dilahirkan lebih berat, berada dalam kandungan lebih lama, atau dilahirkan pramatang.

Sumber: Getty Images

Dalam kes-kes sebegitu, cara yang lebih sesuai untuk mengukur pekembangan fizikal bayi adalah melalui kadar pertumbuhan. Bayi yang baru lahir selalunya membesar dalam 0.5 hingga satu inci pada bulan pertama dan berat pula akan naik dalam 140g ke 200g setiap minggu dalam tempoh yang sama.

Perkembangan Sensori

Motor

Pada waktu ini, walaupun bayi baru mengenali dunia dalam tempoh sebulan, terdapat pelbagai organ deria dan sensori yang telah berkembang.

Bayi pada umur satu bulan sudah boleh mengangkat kepala mereka dari kedudukan meniarap, seolah-olah ingin melihat apa yang sedang berlaku disekeliling mereka! Selain itu, mereka juga mungkin boleh gerakkan kepala dari sisi ke sisi pada posisi yang sama.

Mereka juga mungkin boleh membawa atau mengangkat tangan ke kawasan mata dan mulut mereka, dan juga memegang tangan mereka dengan erat.

Dalam pada waktu perkembangan ini, bayi satu bulan juga sudah boleh mengekalkan pergerakan refleks yang kuat seperti refleks terkejut.

Sumber: Getty Images

Penglihatan

Dari segi perkembangan penglihatan atau visual pula, bayi pada umur satu bulan sudah boleh fokus pada jarak lapan hingga 12 inci daripada diri sendiri. Kalau bayi nampak seperti sering melihat pada pelbagai arahan, ini adalah perkara normal!

Mereka akan mula memfokus pada objek yang berada di depan mata mereka dan Mommy akan seringkali perasan yang bayi akan suka mengikut objek itu bergerak.

Bayi pada umur satu bulan lebih suka melihat objek atau corak dengan warna berkontras tinggi, seperti hitam dan putih. Kalau Mommy nak tahu, bayi memang lebih suka wajah manusia daripada mana-mana corak lain! Menarik, bukan?

Pendengaran

Pendengaran bayi pada usia satu bulan sangat aktif! Sewaktu ini, bayi Mommy boleh mengecam beberapa jenis bunyi dan akan menjadi lebih peka dengan bunyi-bunyi tersebut.

Suara Mommy yang merdu pun sudah tentu boleh dikenalpasti oleh bayi, dan si comel tentu selalu berpaling ke arah bunyi suara Mommy ataupun suara orang lain yang dikenali.

Pada usia ini, bayi amat berminat dengan jenis bunyi tertentu seperti bunyi melodi atau muzik yang menenangkan, percakapan seseorang yang lebih merdu, dan apa-apa bunyi yang menenangkan.

Sumber: Getty Images

Perkembangan Pertuturan

Bayi yang berumur satu bulan belum boleh bercakap lagi. Walaubagaimana pun, mereka selalunya sudah boleh mula mengeluarkan beberapa bunyi dari tekak dan bunyi-bunyi asas lain.

Untuk memperkembangkan lagi pertuturan dan vokal bayi, Mommy disarankan untuk sentiasa bercakap dengan bayi, walaupun cakap kosong! Kalau bayi dapat lihat pergerakan mulut Mommy ketika bercakap, ia tentu dapat membantu perkembangannya lagi.

Bunyi adalah kemahiran bahasa pertama anak Mommy, jadi tingkatkan percakapan dan komunikasi dengan bayi Mommy.

Tips-tips Berkaitan Penjagaan, Interaksi dan Perkembangan Bayi 1 Bulan

Sekarang Mommy tentu sudah biasa dengan rutin makan dan tidur bayi dan boleh meramal bila bayi lapar dan perlu tidur, kan?

Kalau Mommy nak tahu, bayi yang menyusu badan pada usia ini selalunya menyusu lapan kali sehari, atau setiap dua hingga tiga jam. Bagi bayi yang menyusu susu formula pula, Mommy boleh menyusukan bayi setiap empat jam.

Kalau sebelum ini bayi Mommy nampak seperti kurang gemar tidur, jangan risau kerana menurut pakar, pada usia ini bayi selalunya akan tidur dengan lebih lama. Ia masih bergantung kepada kekenyangan bayi. Bayi selalunya akan tidur kira-kira 15 jam secara keseluruhan.

Pakar pediatrik mengesyorkan bayi pada usia ini membiasakan diri untuk jadi mengantuk dan belajar untuk tidur di katil mereka bersendirian secara menelentang dan dibedung.

Sumber: Getty Images

Mommy boleh menggalakkan perkembangan motor bayi dengan memberi banyak masa ‘tummy time‘, di mana bayi diletakkan atas perutnya. Ini adalah supaya bayi dapat melatih kekuatan dan kawalan motor mereka.

Untuk perkembangan visual, pendengaran, dan pertuturan, Mommy boleh kerap berinteraksi dengan si comel secara bercakap, menyanyi, atau bermain dengan apa-apa sahaja untuk meningkatkan perkembangan tersebut. Ini juga akan membuatkan bayi berasa selamat.

Setiap bayi adalah unik dan akan berkembang mengikut kadar mereka sendiri, jadi Mommy tak perlu terlalu risau kalau mereka belum boleh bercakap atau menunjukkan apa-apa perkembangan. Yang penting, nikmati saat-saat indah dengan bayi yang masih kecil dan comel ini kerana ia takkan kekal sebegini selamanya!