Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Apa Para Ibu Boleh Ketahui Tentang Perkembangan Bayi Pada Usia 2 Bulan

Sumber: Adobe Stock

Tahniah kepada Mommy yang telah melalui pelbagai pengalaman mencabar menjaga bayi sejak si comel dilahirkan dua bulan lepas! Sekarang Mommy mesti dah perasan yang bayi berkembang dengan sangat cepat, walaupun pada usia satu bulan seperti yang diketahui sebelum ini.

Apa pula jenis-jenis perkembangan bayi 2 bulan yang boleh diperhatikan? Makin hari tentu makin senang untuk uruskan bayi selepas Mommy kenalpasti dan selesa dengan rutin Mommy dan bayi, dipermudahkan lagi dengan pelbagai perkembangan bayi.

Sudah tentu menjaga bayi yang baru lahir memerlukan banyak pengorbanan masa dan tenaga, tetapi senyuman yang amat manis itu tentu membuatkan semuanya rasa berbaloi!

Highlighted

Sumber: Getty Images

Dalam masa dua bulan sahaja, bayi Mommy telah menunjukkan perkembangan dan pertumbuhan yang agak mendadak. Disebabkan itu, bayi Mommy mempunyai kawalan motor yang baik, menyumbang kepada perkembangan-perkembangan lain.

Jom tengok jenis-jenis perkembangan bayi 2 bulan yang bayi Mommy mungkin sedang lalui.

Jenis-jenis Perkembangan Bayi 2 Bulan

Perkembangan Fizikal

Semakin hari semakin ketara perkembangan fizikal bayi, dan Mommy tentu geram dengan kemontelan si comel, kan? Jadi pada usia dua bulan, apakah perkembangan fizikal yang normal bagi bayi?

Untuk bayi perempuan, purata berat yang biasa diperhati ialah dalam 5.1kg, manakala bagi bayi lelaki ialah 5.5kg. Dari segi ketinggian atau kepanjangan, purata ketinggian bayi perempuan adalah dalam 57cm manakala untuk bayi lelaki ialah dalam 58cm.

Sumber: Adobe Stock

Ukuran ini kemungkinan besar akan mempunyai perbezaan yang banyak bagi bayi yang dilahirkan lebih berat, berada dalam kandungan lebih lama, atau dilahirkan pramatang.

Dalam kes-kes sebegitu, cara yang lebih sesuai untuk mengukur pekembangan fizikal bayi adalah melalui kadar pertumbuhan.

Bayi yang baru lahir selalunya membesar dalam 0.5 hingga satu inci pada bulan pertama dan berat pula akan naik dalam 140g ke 200g setiap minggu dalam tempoh yang sama.

Ini adalah kadar yang biasa diperhatikan dalam enam bulan pertama dalam kehidupan seorang bayi.

Perkembangan Motor

Pada usia dua bulan, bayi Mommy semakin kuat secara fizikal. Pada kebiasaannya, bayi pada usia ini boleh mengangkat kepala mereka untuk beberapa ketika.

Mereka juga boleh mula menolak badan ke atas dengan tangan apabila sedang meniarap di atas perut mereka. Apabia bayi mendapat lebih banyak kawalan ke atas otot, pergerakan bayi akan menjadi lebih lancar dan kurang tersentak.

Sumber: minicampshop.com

Mainan yang digantung di atas katil atau stroller bayi dapat membantu memotivasikan bayi untuk mencapai mainan tersebut dan mencengkamnya, justeru membantu mengembangkan koordinasi tangan-mata.

Jika bayi Mommy masih belum boleh mangangkat kepala, perbanyakkan masa ‘tummy time‘ supaya bayi boleh berlatih untuk mengangkat kepala. Dorong bayi untuk mendongak dengan menggunakan mainan ataupun secara interaksi dengan bayi.

Selain itu, Mommy juga boleh tawarkan pelbagai jenis mainan yang mempunyai sifat-sifat atau tekstur yang berlainan untuk memperkembangkan sensori mereka, dan juga menaikkan minat bayi untuk bergerak dan menerokai pelbagai perkara.

Perkembangan Kognitif

Perkembangan dalam penglihatan selalu dikaitkan dengan peningkatan dalam kemahiran kognitif. Bayi Mommy sekarang tentu sudah mula mengikuti sesuatu dengan mata mereka dan boleh mengecam objek dari jauh.

Mereka juga dapat mengenalpasti empunya suara dan akan sering mendengar dan mengikuti suara-suara yang dikenalinya, terutamanya suara Mommy!

Sumber: Getty Images

Bayi berusia dua bulan juga mungkin boleh menunjukkan tanda-tanda kebosanan! Tawarkan bayi pelbagai jenis mainan untuk merangsang sensori dan minat mereka. Bayi berumur dua bulan selalunya boleh kenalpasti apabila terdapat objek baru dalam kawasan penglihatan mereka.

Perkembangan Pertuturan

Sekarang ini, bayi Mommy sudah mula menyedari dan mengenalpasti dunia disekelilingnya. Apabila bayi semakin menyedari persekitarannya, bayi akan mula menoleh ke arah bunyi yang didengar seperti yang disebutkan tadi.

Di sini juga bermulanya percubaan dalam komunikasi oleh bayi dalam bentuk bunyi-bunyian asas yang keluar dari tekak bayi. Kajian menunjukkan bercakap dengan bayi dalam bentuk nyanyian lagi atau bernada tinggi dapat membantu perkembangan pertuturan dan komunikasi bayi.

Mommy disarankan untuk luangkan masa menyanyi dan membaca kepada bayi Mommy. Ia bukan sahaja menyeronokkan untuk bayi mendengar jenis-jenis nada dan intonasi yang berlainan, tetapi ia juga dapat membantu mengukuhkan hubungan antara neuron, memudahkan komunikasi apabila mereka semakin membesar kelak.

Sumber: Getty Imaged

Tips-tips Penjagaan Dan Interaksi Dengan Bayi 2 Bulan

Mommy mungkin berasa lebih kuat secara fizikal dan mental sekarang, tetapi Mommy tentu mahukan rutin yang selesa untuk Mommy dan bayi, kan? Rutin bayi selalunya berubah-ubah sehinggalah mereka lebih besar sedikit, dan kebanyakannya juga bergantung kepada bayi anda.

Selalunya dari segi penyusuan, bayi yang menyusu badan akan menyusu selang dua hingga empat jam. Bergantung kepada berapa lama bayi tidur waktu siang dan malam, secara puratanya bayi akan menyusu lebih kurang enam hingga 10 kali dalam 24 jam.

Sumber: Getty Images

Bagi bayi yang menyusu formula pada usia ini, untuk setiap sesi penyusuan, bayi biasanya akan memerlukan 120ml hingga 150ml dalam setiap tiga atau empat jam.

Sewaktu bayi sedang berjaga di siang hari, Mommy bolehlah banyak berinteraksi dengan bayi secara bermain, berborak, ataupun berjalan-jalan. Ini dapat membantu perkembangan bayi dari pelbagai aspek dan juga mengeratkan hubungan Mommy dan bayi.

Tanda-tanda Amaran Yang Sering Menjadi Kerisauan

Secara umumnya, perkembangan bayi 2 bulan seperti yang disebutkan di atas bukanlah peraturan yang tetap yang perlu diikuti oleh semua bayi. Setiap bayi adalah berbeza dan akan berkembang mengikut kada mereka sendiri.

Jika bayi Mommy belum boleh meniarap, mungkin bayi Mommy masih belum berminat untuk bergerak kerana terlalu selesa! Mommy boleh pujuk-pujuk bayi sehingga mereka mempunyai motivasi untuk meniarap, sebagai contoh.

Sumber: Getty Images

Memandangkan bayi akan berkembang mengikut kadar mereka sendiri, ada yang akan cepat atau lambat dalam beberapa bulan. Jika Mommy risau perkembangan bayi mungkin adalah tidak normal atau terbantut, Mommy disarankan untuk berbincang dengan pakar pediatrik bayi.

Semoga bermanfaat.