Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Apa Ibu Perlu Tahu Tentang Perkembangan Bayi Pada Usia 3 Bulan

Sumber: Adobe Stock

Tahniah Mummy yang baru melahirkan cahaya mata beberapa bulan lepas. Pejam celik, dah nak masuk tiga bulan dah si comel!

Tiga bulan pertama memang memenatkan buat ibu bapa, terutamanya untuk anak pertama kerana masih lagi menyesuaikan kehidupan dengan bayi yang baru lahir.

Tapi lama kelamaan tentu Mummy dah biasa dengan rutin bayi kan? Tambahan pula senyuman dan ketawa bayi sering membuatkan hati Mummy cair!

Bayi Mummy akan mula berkembang dan belajar untuk lebih ‘berdikari’ selepas melangkaui usia tiga bulan. Waktu ini juga selalunya Mummy boleh mula menjaga diri sendiri seperti mandi dan makan pada waktu yang sepatutnya!

Highlighted

Sumber: Adobe Stock

Antara perkembangan bayi tiga bulan adalah si manja selalu senyum, mengeluarkan suara dan membuat bunyi-bunyi yang comel, membuatkan Mummy rasa bertuah sangat dapat bermain dan menjaga permata hati yang amat disayangi.

Pada usia ini juga, bayi sudah mempunyai lebih banyak kawalan ke atas kepala, tangan, dan kakinya, dan Mummy mungkin dapat melihat bayi menggerakkannya dengan lebih sengaja.

Walaupun mereka belum boleh bergerak sepenuhnya, Mummy masih perlu memerhatikan pergerakan bayi dan sentiasa mengutamakan keselamatan bayi.

Perkembangan Bayi 3 Bulan Dari Segi Fizikal, Sensori dan Kognitif, dan Pertuturan

Perkembangan Fizikal

Menjelang usia tiga bulan, bayi Mummy mungkin dah tak muat untuk memakai baju-baju yang dipakai pada tiga bulan pertama kerana lemak bayi sudah bertambah dari penyusuan.

Secara umumnya, bayi lelaki pada usia tiga bulan adalah lebih besar dari bayi perempuan pada umur yang sama. Tapi perbezaannya sangatlah sedikit.

Ketinggian bayi secara purata adalah dalam 61.4cm manakala berat badan purata ialah 6.37kg untuk bayi lelaki. Untuk bayi perempuan pula, ketinggian purata ialah 60cm dan berat badan purata ialah 5.8kg.

Sumber: Getty Images

Jika bayi Mummy mempunyai ketinggian dan berat badan yang lebih atau kurang dari nilai purata yang disebutkan tadi, jangan bimbang! Itu adalah perkara normal dan selalunya bayi akan mengikut perkembangan sendiri dan mengikut genetik ibu bapa.

Secara amnya, bayi akan menambah ketinggian dalam setengah ke satu inci setiap bulan dan 100-200g setiap bulan dalam enam bulan pertama.

Mummy mungkin perasan bahawa leher bayi sudah bertambah kuat. Apabila bayi diangkat dan dipegang dengan tegak, kepala bayi mungkin sudah tidak atau kurang bergoyang.

Bayi berusia tiga bulan juga mempunyai kekuatan tangan dan badan bahagian atas untuk mengangkat kepala apabila ditiarapkan.

Perkembangan Sensori Dan Kognitif

Perkembangan bayi 3 bulan dari segi sensori dan kognitif ialah bayi sudah boleh mendengar dan melihat dengan lebih jelas.

Cara untuk memantau kemahiran visual dan pendengaran bayi Mummy pada usia tiga bulan adalah dengan memerhatikan bagaimana mereka melihat wajah seseorang.

Sumber: Getty Images

Perhatikan sama ada mereka mengikuti objek bergerak dengan mata mereka atau tidak, mengenal pasti orang yang dikenali dari jarak jauh, atau meningkatkan koordinasi tangan-mata mereka.

Satu lagi perkembangan atau ‘milestone‘ yang akan memberi Mummy petunjuk tentang perkembangan bayi dari segi kemahiran mendengarnya ialah jika mereka tersenyum ketika mendengar suara Mummy yang merdu itu dan akan mula membuat bunyi-bunyian comel dan meniru suara Mummy.

Mummy juga akan menyaksikan bayi menggerakkan kepalanya ke arah bunyi yang mereka dengar atau akan mula menirunya.

Untuk memberi sokongan dan memperkuatkan kemahiran bayi ini, Mummy  boleh membuat ulasan seperti “comel betul anak Mummy senyum!” atau “anak Mummy suka pegang mainan teddy bear ni ye”. Membuat ulasan seperti itu dan berborak dengan bayi dapat membantu mereka belajar bercakap.

Perkembangan Pertuturan

Selain penjagaan harian dan penyusuan, tugas Mummy sekarang juga adalah untuk mendorong perkembangan intelektual si kecil.

Bercakap dan menyanyi adalah dua perkara yang senang untuk merangsang otak bayi. Bayi juga akan mula menunjukkan minat untuk ‘berborak-borak’ dengan memandang bibir sesiapa yang sedang bercakap, jadi pastikan Mummy menyuarakan perkataan-perkataan yang disebut dengan jelas di hadapan bayi.

Ini adalah masa genting apabila asas-asas bahasa dibina. Selain bercakap dan menyanyi, Mummy boleh membaca kepada bayi sekerap mungkin.

Sumber: Getty Images

Ini akan membantu bayi belajar bagaimana bahasa berfungsi dan bagaimana perbualan berlangsung. Balas ‘percakapan’ bayi anda dengan perkataan-perkataan atau dengan suara yang berbeza untuk mendorong mereka membuat perkara yang sama atau mengekspresi diri.

Pilih buku bayi dengan gambar yang besar dan terang. Tidak kira buku apa, sebenarnya suara Mummy yang sedang membaca yang penting.

Tunjukkan perkara dan objek-objek disekitar bayi dan sebut namanya. Sekiranya Mummy boleh bertutur dalam dua bahasa, dan memandangkan ini perkara biasa untuk setiap rakyat Malaysia, Mummy boleh menggunakan kedua-dua bahasa untuk menggambarkan persekitaran kepada si comel.

Tips Untuk Berinteraksi Dengan Bayi

Semasa peringkat perkembangan bayi berusia 3 bulan, bermacam-macam cara Mummy boleh lakukan untuk berinteraksi atau bermain dengan bayi demi membantu menyokong perkembangan kemahiran-kemahiran tersebut. Berikut adalah beberapa idea.

1. Menyanyi Kepada Bayi

Menurut kajian, ketika ibu bapa menyanyikan lagu kepada bayi, bayi berasa mereka mendapat perhatian yang penuh dan tidak berbelah bagi. Aktiviti lain seperti bertepuk tangan dan menyebut nama bayi akan memperkuatkan kemahiran komunikasi dan sosial mereka.

2. Bercakap Dengan Bayi

Kajian mendapati bahawa bercakap atau membaca kepada bayi memberikan rangsangan yang sangat baik untuk perkembangan otak dan bahasa. Proses pembelajaran bahasa dan kata-kata baru menguatkan perkembangan kognitif kanak-kanak.

3. Tingkatkan Rasa Ingin Tahu Dan Buat Eksperimen

Beri objek kepada bayi yang mereka boleh sentuh, tekan, dan fikir bagaimana ia berfungsi. Ini akan membantu mereka melalui proses pembelajaran dan mempraktikkan cara berfikir, memahami, dan menyelesaikan masalah. Kalau boleh beri bayi objek berunsur bahan semula jadi seperti kayu dan bukan plastik.

Sumber: Getty Images

4. Tunjukkan Kasih Sayang Yang Membuak-buak

Ia mungkin datang secara semula jadi bagi ramai ibu, tapi bagi sesetengah individu, menunjukkan kasih sayang adalah tidak seperti apa yang menjadi kebiasaan orang ramai.

Pastikan bayi berasa selamat dengan Mummy dan bantu mereka mengembangkan kemahiran sosial dan emosi dengan selalu memeluk, mencium, dan menghibur bayi untuk menunjukkan kasih sayang.

 

Walaupun kebanyakan perkembangan atau ‘milestone‘ di atas adalah biasa dan dijangkakan bagi bayi berusia tiga bulan, hakikatnya tidak ada dua bayi yang serupa.

Tidak semua bayi akan mencapai perkembangan-perkembangan tersebut dengan cara yang sama.

Ada bayi yang lebih cepat naik berat badan, ada bayi yang lebih cepat bercakap, dan sebaliknya juga.

Pakar pediatrik anak Mummy  boleh memberi lebih banyak informasi mengenai pertumbuhan dan perkembangan khusus buat anak Mummy jadi pastikan Mummy kerap berjumpa doktor pada awal-awal kehidupan bayi.