Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Apa Ibu Perlu Tahu Tentang Perkembangan Bayi Pada Usia 5 Bulan

Sumber: Adobe Stock

Beberapa bulan pertama bayi yang baru dilahirkan memang akan berjalan dengan cepat tanpa disangka. Percaya tak, anak Mummy sudah hampir masuk usia separuh tahun!

Pada usia lima bulan, bayi berada dalam peringkat di mana perkembangannya adalah paling cepat dan bayi tentu akan nampak macam dah besar dengan sekelip mata sahaja!

Tapi banyak lagi yang perlu mereka pelajari.

Perkembangan bayi pada usia lima bulan memang sentiasa berubah-ubah kerana ini waktu-waktu genting bayi Mummy akan berkembang dari segi fizikal, emosi, kognitif, dan macam-macam lagi.

Ada juga bayi yang sudah mula untuk tumbuh gigi pada usia lima bulan!

Semua ini memang normal dan boleh dijangkakan untuk kebanyakan bayi. Bayi Mummy pun akan mula lebih berdikari dan akan menunjukkan minat untuk belajar dan mengetahui lebih banyak tentang persekitarannya.

Highlighted

Sumber: Getty Images

Jom tengok jenis-jenis perkembangan bayi pada usia lima bulan.

Perkembangan Fizikal

Pada peringkat ini, Mummy tentu perasan yang si comel suka menarik objek berdekatan ke arah mereka atau mengambil objek tersebut menggunakan telapak tangan mereka tanpa menggunakan ibu jari. Ini menunjukkan peningkatan atau perkembangan yang besar dalam koordinasi tangan mereka!

Jadi Mummy boleh mendorong bayi untuk terus meneroka dan menggunakan tangan mereka dengan meletakkan objek-objek yang selamat di sekitar bayi seperti bola yang lembut atau soft toys.

Selain itu, kalau Mummy sering memberi bayi latihan ‘tummy time‘, iaitu meletakkan bayi secara meniarap untuk menguatkan lagi otot-otot badan mereka, Mummy tentu perasan yang bayi suka mengangkat badan ke atas atau memanjangkan tangan. Ini tandanya bayi juga sudah berminat dan bersedia untuk merangkak.

Untuk menguatkan otot-otot badan bagi menggalakkan bayi untuk merangkak, Mummy mesti selalu pastikan bayi membuat latihan ‘tummy time‘ setiap hari. Ia akan membantu membina kekuatan otot leher, bahu, lengan, dan kaki.

Sumber: Adobe Stock

Ia mungkin memenatkan bayi tapi Mummy perlu terus menggalakkannya secara kreatif seperti membuat muka-muka kelakar di hadapan bayi. Daddy tentu boleh buat perkara lucu dengan senang!

Cuba untuk kurangkan meletak bayi di atas kerusi dan biarkan mereka meneroka di atas lantai yang lembut supaya mereka cuba untuk merangkak dengan lebih kerap.

Perkembangan Bayi 5 Bulan Dari Aspek Linguistik, Kognitif, Sosial dan Emosi

Perkembangan Linguistik

Pada usia lima bulan, bayi Mummy mungkin sudah mula membuat atau menyebut bunyi-bunyi konsonan seperti “mmm”, “mah”, atau “bah”. Perkembangan bayi secara linguistik sebahagian besarnya bermula daripada tiruan atau imitasi sesiapa yang berada di kelilingnya.

Jadi sebenarnya Mummy tak perlu ‘mengajar’ bayi untuk bercakap, sebaliknya Mummy boleh bercakap apa-apa sahaja dengan sesiapa di hadapan bayi ataupun menceritakan tentang persekitaran kepada bayi. Mereka akan secara semulajadinya meniru percakapan dan perkataan-perkataan tersebut.

Perkembangan Kognitif

Untuk perkembangan kognitif melalui tangan, mulut, dan sensori bayi, mereka mungkin sudah mula menggerak-gerakkan objek di tangan atau memukul objek tersebut ke atas permukaan lantai atau objek lain.

Ini adalah tanda-tanda awal penerokaan bayi, dan mulai sekarang anak Mummy akan suka meneroka bermacam-macam perkara, jadi Mummy bersedialah untuk menghadap rumah yang sedikit bersepah demi perkembangan anak yang sihat ya!

Bayi Mummy juga akan mula memerhatikan bagaimana Mummy atau sesiapa yang ada di persekitaran bayi melakukan sesuatu dan memberi tumpuan kepada perbualan yang berlaku di sekitar mereka. Ini adalah tanda bahawa mereka sedang meningkatkan ingatan dan perhatian mereka.

Sumber: Getty Images

Ingatan bayi dan kanak-kanak berkembang secara berperingkat selepas mereka dilahirkan. Di peringkat awal, mereka akan mengenali, mengingati, dan membiasakan diri dengan persekitaran mereka dan ini adalah penting supaya bayi berasa selamat dan selesa.

Selepas empat bulan, bayi akan mula mengingati dan mengenal pasti bila seseorang menyebut nama mereka atau memanggil mereka dengan nama yang diberikan. Jadi Mummy boleh kerap menyebut nama bayi secara berterusan dan menyebut diri sendiri sebagai “Mummy” untuk si kecil mengingati.

Mummy boleh membantu perkembangan kognitif dan ingatan si comel dengan rajin membaca bersama bayi, tunjukkan perkara-perkara, perkataan, atau gambar di dalam buku tersebut dan menyebut nama-namanya.

Mummy juga boleh sebutkan apa yang sedang berlaku di dalam buku tersebut seperti “penyu ini sedang berenang di dalam laut”. Lama-kelamaan, bayi akan mula memahami konteks-konteks seperti itu.

Perkembangan Sosial Dan Emosi

Bayi membentuk ikatan emosi asas dalam dua tahun pertama dengan penjaga utama mereka. Ini bermaksud kualiti masa yang diluangkan bersama bayi atau interaksi antara Mummy dan bayi adalah sangat penting untuk perkembangan emosi dan sosial bayi.

Antara tanda-tanda bahawa bayi Mummy telah mengalami perkembangan tersebut adalah dengan berasa selesa atau tidak gelisah jika Mummy tiada dengan bayi buat sementara waktu.

Bayi juga pandai untuk mencari keselamatan jika berasa takut dan menunjukkan perasaan gembira apabila melihat Mummy semula setelah hilang dari pandangan mereka buat beberapa ketika.

Sumber: Getty Images

Apabila bayi berumur lima bulan, Mummy mungkin perasan bahawa bayi lebih suka bersama Mummy dan kurang gemar dengan orang yang tak dikenali sangat.

Menguatkan ikatan yang selamat dengan bayi dapat membantu bayi untuk menjadi seseorang yang penuh keyakinan dan dapat meluahkan perasaan mereka dengan selamat dan selesa.

Mereka juga nanti mampu menjaga hubungan yang berkekalan.

Tips Untuk Berinteraksi Dengan Bayi

Semasa peringkat perkembangan bayi 5 bulan, bermacam-macam cara Mummy boleh lakukan untuk berinteraksi atau bermain dengan bayi demi membantu menyokong perkembangan kemahiran-kemahiran tersebut.

Tambahan pula Mummy boleh mula untuk memperkenalkan makanan separa pejal untuk bayi. Berikut adalah beberapa idea.

1. Bercakap Dengan Bayi

Kajian mendapati bahawa bercakap atau membaca kepada bayi memberikan rangsangan yang sangat baik untuk perkembangan otak dan bahasa. Proses pembelajaran bahasa dan kata-kata baru menguatkan perkembangan kognitif kanak-kanak.

2. Tingkatkan Rasa Ingin Tahu Dan Buat Eksperimen

Bayi yang sudah mula suka memegang objek-objek akan suka meneroka pelbagai jenis barang dari segi tekstur dan bunyinya.

Mummy boleh cuba beri objek-objek baru yang selamat seperti objek yang boleh mengeluarkan bunyi. Mummy juga boleh cuba beri permainan bunyi-bunyian seperti xylophone.

3. Memberi Bayi Memegang Botol Susu Dan Makanan Separa Pejal

Selain daripada objek-objek seperti yang disebutkan di atas, Mummy boleh cuba beri bayi memegang botol susunya sendiri jika menyusu botol.

Mummy juga boleh biarkan bayi berjinak-jinak dengan makanan separa pejal sebelum memasuki alam pemakanan dengan sepenuhnya apabila bayi berusia enam bulan kelak.

Contohnya Mummy boleh memberi lobak merah yang telah dibersihkan dan dikukus sedikit yang bayi boleh pegang dan belajar untuk menggigit.

Sumber: Getty Images

4. Tunjukkan Kasih Sayang Yang Membuak-buak

Untuk memperkukuhkan lagi ikatan dengan bayi dan memastikan bayi berasa selamat secara fizikal dan emosi, Mummy boleh menunjukkan kasih sayang secara fizikal seperti ciuman dan pelukan.

Ini tidak bermakna ia perlu dibuat sepanjang masa, kerana banyak lagi kerja lain yang perlu Mummy buat, betul tak?

Mummy boleh bermanja-manja dengan bayi pada waktu-waktu seperti selepas menyusu atau selepas mandi.

Tambahan pula, Mummy boleh buat bayi berasa kurang gelisah dengan memahami jenis-jenis tangisan bayi apabila mereka menangis supaya dapat membantu bayi menyelesaikan ‘masalah’ yang sedang mereka hadapi.

Sumber: Getty Images

Walaupun kebanyakan perkembangan bayi 5 bulan atau ‘milestone‘ di atas adalah biasa dan dijangkakan bagi bayi berusia lima bulan, hakikatnya tidak ada dua bayi yang serupa.

Tidak semua bayi akan mencapai perkembangan-perkembangan tersebut dengan cara yang sama.

Ada bayi yang lebih cepat bercakap, ada bayi yang mahu makan pada usia lebih awal, dan sebaliknya juga.

Pakar pediatrik anak Mummy boleh memberi lebih banyak informasi mengenai pertumbuhan dan perkembangan khusus buat anak Mummy jadi pastikan Mummy kerap berjumpa doktor pada awal-awal kehidupan bayi.