Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Pelbagai Perkembangan Bayi 6 Bulan Yang Menarik Dan Digalakkan Untuk Ambil Tahu

perkembangan bayi 6 bulan

Sumber: Adobe Stock

Macam susah nak percaya bayi Mommy sudah mencapai umur separuh tahun! Rasa macam baru saja semalam Mommy melahirkan si comel, kan?

Mommy tentu perasan bayi Mommy yang sudah mencapai usia enam bulan tentu amat berbeza dengan sewaktu mereka baru lahir.

Pelbagai perkara dan perkembangan yang telah berlaku dalam tempoh enam bulan yang lalu, dan Mommy telah pun menyaksikan anak Mommy membesar daripada bayi baru lahir yang kecil kepada bayi berusia separuh tahun yang sudah membentuk personalitinya.

Bulan ini adalah usia yang penting untuk bayi, dengan banyak perkembangan baru yang menarik, seperti memulakan makanan separa pejal, berceloteh, dan duduk dengan agak stabil.

Jom tengok perkembangan bayi 6 bulan yang Mommy boleh perhatikan pada si comel.

Highlighted

Sumber: Getty Images

Perkembangan Bayi 6 Bulan Yang Ibu Bapa Harus Peka

Perkembangan Fizikal

Pada usia enam bulan, perkembangan atau pertumbuhan fizikal bayi masih agak perlahan. Secara purata, bayi pada usia enam bulan mempunyai lebih daripada dua kali ganda berat lahir mereka.

Dalam bulan ini dimana bayi Mommy bukan sahaja akan menyusu, tetapi juga mula makan makanan separa pejal, berat mereka akan berada antara enam hingga 10kg bagi bayi lelaki dan lima ke 9.9kg bagi bayi perempuan.

Dari segi ketinggian pula, bayi lelaki boleh mencecah 74cm manakala bayi perempuan boleh mencecah dalam 71cm.

Perkembangan Motor

Selain itu, perkembangan-perkembangan motor yang dikaitkan dengan perkembangan fizikal yang mungkin ditunjukkan oleh bayi berusia enam bulan adalah seperti:

  • menanggung berat badan mereka dengan kaki
  • mula mengalihkan objek seperti mainan dari satu tangan ke tangan yang lain
  • melompat-lompat sedikit ketika cuba untuk berdiri
  • melihat dengan lebih jelas
  • duduk tanpa sokongan
  • cuba untuk mengengsot ke belakang ketika duduk
  • cuba untuk merangkak
Sumber: Getty Images

Perkembangan Pertuturan

Kalau sebelum ini bayi Mommy nampak hanya seperti mengeluarkan bunyi-bunyian pendek, kini kemahiran bahasa si comel makin meningkat.

Walaupun bayi belum bersedia untuk membentuk perkataan yang sempurna, mereka akan banyak berlatih untuk membuat bunyi-bunyian seolah-olah ingin bercakap dan meniru apa yang didengar.

Si comel akan menggunakan bunyi-bunyi yang boleh dikeluarkan, bersama dengan pergerakan badan untuk memberitahu Mommy atau sesiapa yang sedang berinteraksi dengannya apa yang berada dalam fikiran mereka.

Kalau ia adalah sesuatu yang kerap dibuat oleh bayi, mungkin Mommy sudah boleh agak apa yang diminta!

Dengan kemahiran pertuturan dan komunikasi yang semakin berkembang, ini adalah masa yang sesuai untuk mengajar bayi beberapa bahasa isyarat yang mudah.

Sumber: Adobe Stock

Walaupun percakapan atau pertuturan akan datang kemudian, bahasa isyarat adalah kaedah yang terbaik untuk berkomunikasi dengan bayi kerana mereka boleh mula menggunakan isyarat-isyarat yang senang dibuat untuk menyampaikan hajatnya seperti ingin menyusu.

Bayi pada usia ini juga bayi suka mendengar lagu-lagu nursery rhymes yang amat menarik dan mempunyai perkataan-perkataan yang sering diulangi, jadi Mommy boleh memasangnya atau menyanyi kepada bayi dengan kerap. Jangan terkejut kalau si comel sudah mula menunjukkan keinginan untuk menyanyi bersama!

Perkembangan Kognitif

Kemahiran kognitif bayi pada usia enam bulan mempunyai hubungan yang besar dengan perkembangan motor dan kemahiran pertuturan.

Antara tanda-tanda kemahiran kognitif bayi Mommy sedang berkembang adalah seperti:

  • membuat bunyi-bunyi konsonan seperti “m” dan “b”, seolah-olah memanggil “mama” dan “baba”
  • mula untuk merangkai bunyi vokal bersama-sama apabila bercakap seperti “eh”, “oh” dan “ah”
  • ingin menerokai keadaan sekeliling melalui rasa dan sentuhan
  • suka tengok cermin
  • membuat bunyi-bunyi khusus yang berhubungkait dengan emosi seperti bunyi gembira atau kecewa
  • membalas percakapan sesiapa yang bercakap dengannya
  • mengenali wajah yang selalu berinteraksi dengannya
  • bertindak balas terhadap emosi seperti gembira atau sedih
  • mengenali panggilan namanya

Tips-tips Berkaitan Penjagaan Dan Interaksi Dengan Bayi 6 Bulan

Pada usia enam bulan, kebanyakan bayi sudah boleh mula tidur sepanjang malam tanpa bangun untuk menyusu. Bayi Mommy mungkin masih bangun untuk menyusu kerana sudah biasa, jadi Mommy boleh mula untuk melatih bayi untuk tidur sepanjang malam.

Bayi Mommy juga sudah boleh mula makan separa pejal, dan terdapat pelbagai tips-tips dan inspirasi tentang pemakanan bayi di Motherhood yang Mommy boleh dapatkan untuk melengkapkan pengetahuan tentangnya.

Semasa Mommy memperkenalkan makanan pejal ke dalam diet bayi anda, mulakan dengan satu makanan pada satu masa.

Sumber: Getty Images

Membaca buku cerita kepada bayi adalah aktiviti yang amat disyorkan, kerana ia bukan sahaja dapat membantu pelbagai aspek dalam perkembangan bayi seperti kognitif dan pertuturan, ia juga dapat mengeratkan hubungan dengan bayi.

Tanda-tanda Amaran Perkembangan Bayi Tidak Normal

Jika Mommy risau bahawa bayi Mommy mungkin tidak berkembang pada kadar yang normal, beberapa tanda-tanda boleh dikenalpasti seperti:

  • tidak boleh membawa objek ke mulut mereka
  • tidak boleh mengeluarkan bunyi
  • tidak cuba untuk mencapai objek yang berada disekitar mereka
  • tidak membalas kasih sayang atau emosi dari sesiapa
  • nampak seperti tidak bertindak balas kepada bunyi
  • tidak ketawa atau membuat bunyi-bunyi yang menunjukkan kegembiraan
  • berat badan tidak bertambah
  • tidak boleh berguling
  • nampak kaku atau tidak mudah untuk menggerakkan kepala

Jika bayi Mommy masih menunjukkan perkembangan bayi 6 bulan yang baik secara umum, jangan risau jika mereka nampak lebih lambat daripada perkembangan normal kerana setiap bayi akan berkembang mengikut kadar mereka sendiri.

Jika Mommy tidak yakin dengan perkembangan yang bayi Mommy sedang lalui, Mommy disarankan untuk berbincang dengan pakar pediatrik dan pastikan Mommy membawa bayi untuk pemeriksaan bulanan mereka.


Walaupun bayi Mommy sedang melalui pelbagai aspek perkembangan, jangan lupa untuk menikmati pengalaman fasa ini dan bergembira bersama bayi anda.

Usia enam bulan adalah masa yang memang istimewa dalam kehidupan bayi Mommy kerana pada usia ini secara amnya bayi lebih gembira kerana telah mengenali dunia, dan suka senyum dan bermain dengan sesiapa yang sering bersama dengannya.

Tambahan pula, bayi masih belum boleh bergerak, bermakna Mommy masih boleh menikmati kecomelan bayi pada usia ini sebelum mereka belajar merangkak dan berjalan, dan Mommy perlu mula mengejar si kecil!