Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Perkembangan Bayi 0-12 Bulan Yang Ibu Bapa Harus Peka

Tumbesaran dan perkembangan bayi kita dari segi fizikal dan mental merupakan antara perkara penting yang harus dipantau ibu bapa. Namun, anda harus ingat yang tak semua bayi melalui tahap perkembangan yang sama, dan pada jarak masa yang serupa. Setiap perkembangan bayi adalah berbeza mengikut individu.

Ibu bapa yang sentiasa peka dengan fasa tumbesaran dan perkembangan bayi sejak dari hari pertama mereka lahir, dapat membantu dalam perkembangan mental, fizikal, bahasa, moral dan sebagainya. Di bawah disediakan jadual perkembangan bayi yang dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai panduan anda.

Highlighted


4 Minggu Pertama

Secara fizikalnya, bayi yang lahir tanpa komplikasi akan ada naluri semula jadi seperti bernafas, menggengam jari, dan mengenal bau si ibu. Pada usia ini, bayi anda hanya bergantung kepada aksi refleks seperti menghisap, bersin, menangis, dan menguap. Tanda perkembangan yang lain ialah:

Sumber: Shutterstock (BigLike)

Normal

  • Mulut bayi bergerak kearah rangsangan dan mula menghisap.
  • Tangan dan kaki bergerak aktif.
  • Bayi mula memberikan reaksi terhadap bunyi loceng.

Tidak Normal

  • Tangan dan kaki bayi tidak bergerak aktif.
  • Tidak memberi sebarang reaksi terhadap bunyi loceng.

Dari segi penglihatan bayi, Mommy harus ingat yang ketika ini mata bayi masih belum boleh fokus pada objek yang jauh dari 1 meter. Apa yang penting ketika ini ialah Mommy perlu selalu lihat ke dalam mata bayi untuk berhubung dan bonding dengan si comel. Barulah dia akan lebih cepat mengenali si ibu dan ayah dia nanti.

Perkembangan Bayi Pada 4-6 Minggu

Normal

  • Boleh megawal posisi kepala secara tegak.
  • Boleh membengkok siku sedikit.

Tidak Normal

  • Tak boleh mengawal posisi kepala sewaktu badannya ditarik ke posisi duduk.
  • Kedua-dua siku dalam keadaan lurus.

Perkembangan Bayi 6 minggu hingga 3 bulan

Normal

  • Boleh mengangkat kepala sedikit sewaktu meniarap.
  • Boleh menyokong lengan.

Tidak Normal

  • Bayi tidak boleh menoleh kepala kesebelah, dan tidak boleh mengangkat kepala.

Perkembangan Bayi 3-6 Bulan

Pada tahap ini, bayi sudah semakin kuat dan bertambah lincah. Antara perkembangannya yang normal ialah:

Normal

  • Boleh meniarap dan memusingkan badan dari posisi terlentang ke meniarap.
  • Boleh menggenggam dan membawa objek ke mulut.
  • Bayi memerhatikan objek yang bergerak atau mainan yang berbunyi.

Tidak Normal

  • Masih tidak boleh meniarap atau mmemusingkan badan.
  • Lambbat mencapai atau memberi reaksi kepada objek.

Umur 6 bulan hingga 9 bulan

Sumber: Shutterstock (anek.soowannaphoom)

Lingkungan usia 6 bulan dan ke atas merupakan tahap perkembangan yang sangat dinanti-nantikan setiap ibu bapa. Masa inilah bayi dah mula makan ‘solid foods’, dah lebih banyak ketawa, dan ‘mumbling’. Kebanyakkan bayi 6 bulan dan ke atas sudah boleh duduk dengan sendiri atau dengan sokongan. Selain itu, dia juga mampu untuk:

  • Mengambil dan membawa barang dekat ke badan.
  • Memindahkan objek kedua-dua belah tangan.
  • Menyokong badan dengan sendiri jika didudukkan.

Tidak Normal

  • Kurang penggunaan aktiviti tangan.
  • Masih tidak boleh duduk dengan sokongan.
  • Tidak dapat menyeimbangkan badan dengan sendiri jika didudukkan.

Antara perkara yang anda harus berhati-hati ialah apabila anak anda berada di tempat yang tinggi. Salah pandang kejap je, macam-macam boleh jadi. Nak tukar lampin pun lebih baik tukar di atas lantai berbanding di atas changing table.

Mommy juga harus sentiasa berikan sokongan dan dorongan pada setiap perkembangan positif si manja. Contohnya, apabila mereka pandai meniarap, merangkak, berjalan dan sebagainya. Untuk perkembangan bahasanya pula, Mommy boleh cuba dengan menunjukkan gambar dan nama-nama haiwan beserta bunyinya. Inshallah anak akan lebih cepat belajar. Pelbagai jenis mainan yang berwarna-warni juga dapat membantu meningkatkan kemahiran mereka dari segi sosial, bahasa, dan pemikiran.

Usia 8 hingga 10 bulan

Normal

  • Kebanyakkan bayi pada usia ini sudah boleh merangkak atau menjulur ke hadapan.

Tidak Normal

  • Masih tidak boleh merangkak.

Usia Bayi 9-12 bulan

Sumber: Shutterstock (anek.soowannaphoom)

Ketika peringkat ini, bayi sudah mula menjadi lebih ‘cheeky’. Antara perkembangan bayi yang normal pada tahap ini:

  • Berdiri dengan sendiri seperti berpaut pada sesuatu.
  • Berjalan dengan bantuan seperti di sofa, kerusi atau di dinding. Ni kalau orang Utara, depa panggil ‘meniti’.
  • Menjatuhkan dan mengambil semula objek.
  • Melontar objek.

Tidak Normal

  • Tidak boleh berdiri dengan sendiri, walaupun ada benda untuk berpaut.
  • Tidak boleh menarik badan untuk berdiri sendiri dengan bantuan atau sokongan.

Memasuki usia 1 hingga 2 tahun

Pada usia ini, kebanyakan bayi sudah boleh berjalan dan juga berlari. Masa nilah Mommy sendiri kena berkejar dengan anak, terutama ketika waktu makan. Ke saya  sorang je?

Normal sekiranya bayi anda:

  • Semakin mudah berjalan.
  • Boleh mencangkung.
  • Boleh menaiki/menuruni tangga dengan bantuan atau memegang sesuatu.
  • Boleh menyepak bola.
  • Mula untuk berlari.

Tidak Normal

  • Masih tidak boleh berjalan mahupun berlari.

Aktiviti yang disukai anak-anak yang mencapai usia ini antaranya ialah aktiviti seperti memberikan si ibu alat permainan, tapi kemudian dia sendiri akan mengambil alat mainan tersebut daripada anda. Permainan bongkah, periuk dan kuali juga menarik minat mereka.

Sumber: Shutterstock (Dragon)

Ingatlah bahawa tahap perkembangan semua bayi tidak sama. Semua bayi membesar pada kadar yang berbeza, walaupun antara adik-beradik sendiri. Setiap bayi adalah unik dan akan mencapai tahap perkembangan fizikal mengikut masanya sendiri.

Namun, sekiranya tanda tidak normal si manja anda terlalu ketara atau berpanjangan, segera bawa berjumpa doktor atau Ahli Fisioterapi Pediatrik.

Tahap Perkembangan Bayi Pramatang

Sekiranya bayi anda dilahirkan pramatang, tahap perkembangan dia akan lebih lambat berbanding anak-anak lain. Walau bagaimanapun, anda tidak perlu risau akan hal ini. Doktor juga akan menilai tahap tumbesarannya bermula waktu dia sepatutnya dilahirkan.

Tips Pemakanan Seimbang untuk Tumbesaran Bayi

Untuk memastikan tumbesaran anak Mommy lebih sihat dan kekal bertenaga, Mommy cuba ikuti tiga tips dibawah ini:

  • Sarapan sangat penting!
    • Ajar anak-anak untuk bersarapan setiap hari sejak mereka kecil. Sarapan yang berkhasiat menjaga tenaga sepanjang hari.
  • Kurangkan makanan tinggi lemak, minyak, gula dan garam.
    • Pengambilan makanan yang tinggi lemak, minyak, gula dan garam yang diambil setiap hari boleh menyumbang kepada penyakit kronik. Sebagai alternatif, gunakan herba dan rempah-ratus sebagai penambah rasa. Cara memasak seperti merebus, mengukus, atau memanggang juga dapat mengurangkan lemak dan minyak. Tips ini bukan untuk anak-anak je tau, untuk Mommy dan ayah juga!
  • Snek? Pilih yang berkhasiat je! 
    • Snek berkhasiat seperti bijirin, susu, yogurt, bertih jagung, atau lebih baik buah segar dan salad adalah lebih baik berbanding makanan ringan. Snek berkhasiat merupakan cara yang terbaik untuk memperbaiki kualiti diet dan mengelakkan makan berlebihan pada waktu malam.

Ibu bapa memainkan peranan penting dan merupakan idola terdekat mereka. Anak-anak mudah ikut je apa yang kita ajar, cakap dan juga aktiviti yang dilakukan kita. Memang tak mudah untuk didik anak-anak, tapi siapa lagi yang nak membentuk mereka dari kecil kalau bukan kita bukan? 😉