Tahniah anak Mama yang sudah memasuki empat bulan, dan juga kepada Mama yang telah banyak berkorban dan mempelajari pelbagai perkara tentang bayi selama empat bulan lepas!
Bukan senang, kan? Tapi sekarang ini Mama pasti sudah biasa dan lebih memahami personaliti bayi Mama, dari segi kekerapan menyusu dan juga rutin tidur.
Pada waktu ini ketika bayi ingin memasuki usia empat bulan, Mama perasan tak yang si comel seakan-akan bayi yang baru lahir pada sesetengah masa? Mungkin banyak menangis, tidur tak tentu arah, dan macam-macam lagi perangai ‘pelik’ seolah-olah si comel baru sahaja lahir dan tidak mengenali dunia!
Ini adalah perkara normal sebenarnya, kerana pada usia empat bulan, bayi sedang mengalami pelbagai jenis perkembangan otak dan fizikal yang mendadak.
Tambahan pula, pada usia ini bayi selalunya akan bertambah berat sebanyak dua kali ganda daripada berat lahir mereka, atau lebih. Bayi juga sebenarnya sudah boleh tidur lebih lama pada waktu malam dan tidak perlu menyusu sekerap dahulu pada waktu ini.
Jom tengok beberapa jenis perkembangan bayi 4 bulan yang boleh diperhatikan.
Perkembangan Bayi 4 Bulan
Perkembangan Fizikal
Menjelang usia empat bulan, kebanyakan bayi telah mencapai keadaan fizikal yang cukup ketara berbanding dengan sewaktu mereka baru sahaja dilahirkan.
Seperti yang disebut tadi, bayi pada usia ini selalunya akan bertambah berat badan sebanyak dua kali ganda daripada berat lahir mereka, ataupun lebih daripada itu.
Secara purata, berat bayi akan mencapai sekurang-kurangnya 5.9kg atau lebih. Walaubagaimanapun, ia masih bergantung kepada setiap bayi, mungkin ada yang kurang sedikit, mungkin ada yang lebih.
Perbezaannya adalah lebih ketara dan dapat dilihat jika bayi tersebut dilahirkan pramatang, di mana beratnya akan kurang dengan lebih banyak daripada berat purata, manakala bayi yang lahir lambat atau lebih daripada tarikh jangkaannya mempunyai berat yang lebih tinggi daripada berat purata.
Dalam keadaan bayi pramatang, mereka akan memerlukan lebih sedikit masa untuk mencapai berat purata.
Perkembangan Motor
Sekarang ini, bayi Mama tentu lebih aktif dan berwaspada dengan keadaan sekelilingnya. Si comel sudah pandai belajar untuk berinteraksi dengan dunia di sekeliling dan telah menunjukkan pelbagai perkembangan motor seperti berikut:
- berguling dari depan ke belakang
- duduk dengan sokongan
- mencapai objek dengan satu tangan
- memegang kepala dan dada
- membawa tangan ke mulut
- menyelaraskan penglihatan dan pergerakan seperti mencari sesuatu
- mengikuti dengan mata objek yang bergerak dari sisi ke sisi
- menolak sehingga siku apabila meniarap di atas perut
- menanggung kebanyakan berat badan apabila berdiri di atas permukaan yang keras
- memegang mainan yang senang untuk dipegang
Walaupun kebanyakan daripada perkembangan motor ini serupa dengan perkembangan-perkembangan bayi pada usia dua atau tiga bulan, ia sebenarnya menunjukkan perkembangan langkah demi langkah yang normal oleh seorang bayi.
Perkembangan Kognitif
Perkembangan kognitif banyak dihubungkaitkan dengan pembelajaran, pemikiran, dan penyelesaian masalah. Perkembangan kognitif juga berjalan seiring dengan beberapa aspek perkembangan fizikal, seperti keupayaan berfikir untuk mencapai sesuatu, atau mempelajari cara-cara untuk menyokong badan untuk duduk atau berdiri.
Pada usia empat bulan, beberapa tanda-tanda bayi Mama sedang menunjukkan perkembangan kognitif adalah seperti:
- bertindak balas terhadap kasih sayang
- menunjukkan rasa sedih atau gembira
- menggunakan koordinasi tangan-mata, seperti melihat sesuatu dan mencapainya
- memerhatikan dan mengenali wajah individu lain
- meningkatkan kejelasan penglihatan dan berminat dengan lebih banyak corak, bentuk, dan warna
- meniru ekspresi muka seperti senyum dan berkerut dahi
- memahami keaabadian objek
Perkembangan Pertuturan
Kalau sebelum ini bayi Mama sudah pandai mengeluarkan pelbagai jenis bunyi, pada usia inilah mereka akan mula memperkembangkan lagi kemahiran pertuturan mereka.
Bayi akan banyak meniru perkataan-perkataan yang disebut Mama, dan selalunya ibu bapa akan mula mengajar perkataan-perkataan seperti ‘mama’, ‘baba’, ‘papa’, ‘ibu’ atau apa-apa panggilan ibu bapa lain. Tak lama lagi tentu Mama akan teruja mendengar bayi menyebut ‘Mama’!
Bayi juga akan mula banyak ‘membebel’ seolah-olah cuba untuk bercakap sesuatu dengan Mama, jadi anggaplah bayi sedang bertanya atau bercerita sesuatu yang penting dan balas percakapan bayi dengan apa sahaja jawapan. Bayi tentu akan berasa seronok berkomunikasi dengan Mama.
Tips-tips Berkaitan Penjagaan Dan Interaksi Dengan Bayi 4 Bulan
Pada usia empat bulan, kebanyakan bayi boleh tidur dalam 10 hingga 12 jam pada waktu malam, bangun untuk menyusu dalam satu atau dua kali sahaja.
Pada waktu siang pula, mereka boleh tidur sebanyak dua atau tiga kali dengan jumlah tidur siang sebanyak tiga hingga lima jam.
Bayi yang menyusu badan memerlukan dalam 800ml hingga 1 liter susu sehari dalam lima atau enam sesi menyusu. Bayi yang menyusu formula pula memerlukan jumlah yang sama.
Disebabkan bayi sedang melalui pelbagai perkembangan dengan mendadak pada usia 4 bulan, sudah banyak perkara yang Mama boleh buat dengan bayi dan mereka mungkin boleh memahaminya sedikit demi sedikit.
Sebagai contoh, jika Mama sedang mendukung bayi dalam gendongan sambil mengemas rumah, Mama boleh menceritakan kepada si comel apa yang Mama sedang lakukan pada masa yang sama.
Membaca buku cerita kepada bayi adalah aktiviti yang amat disyorkan, kerana ia bukan sahaja membantu pelbagai aspek dalam perkembangan bayi seperti kognitif dan pertuturan, ia juga dapat mengeratkan hubungan dengan bayi.
Tanda-tanda Amaran Yang Sering Menjadi Kebimbangan
Seperti yang diketahui, setiap bayi akan berkembang pada kadar yang berbeza. Perkembangan-perkembangan yang disebutkan tadi hanyalah panduan secara umum bagi ibu bapa, dan akan bergantung kepada bayi anda.
Walaubagaimanapun, jika Mama perasan yang bayi tidak menunjukkan perkembangan-perkembangan yang normal, Mama disarankan untuk membuat pemeriksaan bulanan bayi yang baru lahir dengan pakar pediatrik.
Dengan doktor pakar juga, Mama boleh bincangkan jenis-jenis perkembangan atau masalah yang menjadi kerisauan. Tanda-tanda bayi mungkin mengalami masalah perkembangan adalah seperti:
- tidak membalas atau ‘respond‘ dengan wajah atau komunikasi
- tidak kerap senyum
- tidak melihat objek atau orang lain ketika mereka sedang bergerak
- iris mata nampak songsang atau tidak normal
- mencapai hanya kurang daripada 50% berat lahir mereka
- mempunyai bintik lembut yang kelihatan membonjol
- tidak mampu untuk mengangkat kepala
- tidak boleh duduk tanpa sokongan
Jika mana-mana perkara ini berlaku, atau apa-apa perkara lain yang menjadi kebimbangan Mama, disarankan agar berjumpa dengan pakar pediatrik dengan segera. Jika terdapat masalah yang serius, tindakan yang diambil secepat mungkin selalunya dapat membantu anak mengatasi masalah tersebut dan membesar dengan sihat dan bahagia.
Semoga bermanfaat.