Zaman kanak-kanak merupakan zaman yang penuh dengan riang tawa dan detik yang menggembirakan. Kanak-kanak menghabiskan masa mereka dengan bermain dan berhibur bersama rakan-rakan setiap kali adanya kesempatan, terutama ketika musim cuti sekolah. Dari zaman dahulu lagi, permainan yang sering dimainkan adalah pelbagai dan bermacam jenis.
Seiring dengan peredaran zaman, permainan-permainan ini dimainkan oleh generasi seterusnya dan seakan-akan telah menjadi tradisi zaman kanak-kanak di Malaysia. Dalam perkongsian kali ini, para pembaca akan didedahkan dengan 5 jenis permainan kanak-kanak yang popular di Malaysia zaman dahulu.
#1. Batu Seremban
Peralatan:
- 5 biji batu sungai ataupun sebarang batu yang tidak tajam dan tumpul permukaannya.
- Boleh juga mengisi beras atau pasir di dalam kain perca dan menjahitnya kemas dan bersimetri.
Tatacaranya:
Kebiasannya, permainan batu seremban dimainkan dengan 5 cara iaitu buah satu, buah dua, buah tiga, buah empat dan buah lima.
- Buah Satu:
– Selerakkan semua batu di atas permukaan yang rata dengan sekali pergerakan sahaja. Pastikan batu-batu tidak menyentuh antara satu sama lain.
– Kemudian, dalam 5 biji batu itu, satu hendaklah dipilih sebagai ibu.
– Permainan dimulakan dengan melambung ibu ke udara dan pada masa yang sama, sebiji batu di atas lantai hendaklah dikutip bersama. Pergerakan ini hendaklah diulangi sehingga semua buah di lantai habis dikutip. - Buah Dua:
– Cara untuk bermain buah dua tidaklah jauh berbeza dengan buah satu. Cuma, berbanding sebiji buah yang akan dikutip di atas permukaan, buah dua dimainkan dengan mengutip dua buah pada masa yang sama. Jadi, ibu hanya dilambungkan sebanyak dua kali sahaja ke udara. - Buah Tiga:
– Untuk bermain buah tiga, ibu hendaklah dilambungkan ke udara dan sebiji sahaja yang dikutip.
– Kemudian, ibu dilambungkan lagi dan tiga biji buah akan dikutip pada masa yang sama. - Buah Empat:
– Cara bermain buah empat kelihatan mudah tetapi memerlukan ketangkasan dan genggaman tangan yang kemas.
– Ibu akan dilambungkan ke udara dan empat biji buah di lantai hendaklah dikutip secara serentak. - Buah Lima:
– Caranya booleh dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, ia serupa dengan cara bermain buah empat.
– Kemudian, buah ibu hendaklah dilambungkan ke udara dan empat biji buah yang selebihnya di dalam genggaman hendaklah diletakkan di atas lantai dan terus disambut ibu yang dilambung tadi. Cara bermain buah lima diakhiri dengan sebiji buah ibu di dalam genggaman.
#2. Titik-titik/Empayar
Peralatan:
- Kertas berpetak
- 2 pensil/pen yang berbeza warna
Tatacaranya:
Permainan ini berkonsepkan strategi dan perancangan. Kanak-kanak hendaklah menggunakan keupayaan IQ mereka untuk merancang pembinaan kubu yang kukuh dan berwaspada dengan musuh yang tersembunyi.
Pembinaannya adalah menggunakan corak titik yang disambungkan yang seterusnya membentuk empayarnya yang tersendiri. Jumlah pemain untuk permainan ini adalah 2 orang sahaja untuk setiap permainan.
- Mulakan permainan dengan menentukan siapakah permain pertama dan kedua.
- Pemain yang pertama hendaklah memulakan permainan dengan menanda bentuk bulat seperti titik yang besar di atas mana-mana persimbungan garisan petak.
- Permainan diteruskan dengan langkah pemain kedua dan seterusnya pemain pertama, bersilih ganti.
- Lukisan ini bukanlah secara rawak tetapi merupakan stategi untuk mengepung pihak lawan.
- Apabila strategi berjaya, bertembungnya titik-titik, pemain hendaklah melukis garisan untuk menyambung titik-titik berkenaan. Semua titik pihak lawan yang berada di dalam kepungan garisan ini sudah menjadi kepunyaan pemain.
- Permainan diteruskan sehingga semua persimbungan garisan petak telah ditanda.
- Pemenangnya adalah pemain yang mempunyai tahanan titik paling banyak di dalam kubunya.
#3. Lawan Pemadam
Peralatan:
- Pemadam segi empat panjang/sama. Bilangan pemadam bergantung pada bilangan pemain. Minimumnya adalah 2.
*ketebalan pemadam yang ideal adalah yang sederhana tebalnya dan elastik.
Tatacaranya:
Permainan ini menguji kecekapan jari dan otot kanak-kanak. Untuk menjadi pemenang, kanak-kanak mungkin perlu menggerakkan pemadam pada sudut dan dengan pergerakan yang sukar.
- Permainan dimulakan dengan langkah pemain pertama untuk menimpa pemadam pihak lawan. Pemadam ditekan untuk dimajukan menuju kepada pemadam pihak lawan.
- Permainan diteruskan dengan langkah pemain kedua sehinggalah salah satu pemadam berjaya menimpa pemadam yang lain. Pemilik pemadam yang berada di atas adalah pemenang dan pemadam pihak lawan kini menjadi miliknya.
#4. Cop/Rebut Tiang
Peralatan:
- Beberapa tiang yang simetri kedudukannya. Bilangan tiang hendaklah kurang sebatang dari bilangan pemain. Kebiasaannya, jumlah pemain adalah 5 orang.
Tatacaranya:
- Seorang pemain akan diletakkan di tengah-tengah antara persegi tiang. Keempat pemain lagi hendaklah memegang tiang masing-masing.
- Permainan dimulai dengan keempat pemain ini mencari peluang untuk bergerak dan menukar posisi masing-masing pada tiang yang berbeza.
- Pemain yang berada di tengah hendaklah mengambil peluang ini untuk merebut mana-mana tiang. Pemain yang menyentuh tiang terlebih dahulu akan menjadi pemiliknya selagi mana tiang tersebut dipegangnya.
- Permainan ini kebiasaannya tidak menentukan siapa pemenangnya kerana kedudukan pemain yang ‘memiliki’ dan merampas tiang adalah bertukar-tukar sepanjang permainan berlangsung.
#5. Lompat Getah
Peralatan:
- Getah urat/getah sayur yang disambungkan satu persatu menjadi tali getah yang panjang
Tatacaranya:
Permainan lompat getah adalah permainan yang menguji ketangkasan dan kecergasan fizikal kanak-kanak. Dalam permainan ini, terdapat banyak peringkat yang harus ditempuhi untuk mendapat gelaran juara dan jika jumlah pemain adalah ramai, ianya harus dicapai bersama-sama dengan ahli kumpulan yang lain melalui kerjasama yang kukuh.
Jika salah seorang ahli kumpulan melanggar peraturan permainan, seluruh kumpulan turut kalah.
- Sebagai permulaan, pemain-pemain hendaklah diasingkan kepada 2 kumpulan iaitu kumpulan pertama dan kedua. Kemudian, hendaklah ditentukan kumpulan manakah yang akan beraksi terlebih dahulu. Kumpulan yang kalah harus memegang tali getah dan membuat pusingan berperingkat.
- Untuk peringkat pertama, tali getah diletakkan di paras kaki dan pemain hendaklah melompat dengan menyebut ‘zero point’ tanpa menyentuh tali getah tersebut.
- Pada peringkat kedua, tali getah diletakkan pada paras lutut. Jika semua pemain berjaya melepasi tahap ini, mereka akan melalui tahap ketiga.
- Pada peringkat ketiga, tali getah diletakkan pada paras paha dan lompatan juga hendaklah dibuat dengan tidak menyentuh mana-mana anggota badan.
- Pada peringkat seterusnya, tali getah diletakkan pada paras pinggang dan pada peringkat ini, pemain dibenarkan untuk menyentuh tali getah.
- Seterusnya, lompatan dibuat pada paras dada.
- Peringkat seterusnya, pada paras telinga.
- Pada peringkat ketujuh, tali getah diletakkan pada paras kepala.
- Yang terakhir, tali getah diletakkan sejengkal dari atas kepala. Jika semua pemain kumpulan berjaya melepasi setiap halangan di atas, mereka adalah juara pada pusingan tersebut.
Terdapat beberapa lagi kaedah bermain permainan ini dan yang di atas adalah kaedah yang kebiasaannya dipilih oleh kanak-kanak.
Permainan yang disenaraikan di atas merupakan antara permainan kanak-kanak yang sering dimainkan secara turun-temurun di Malaysia. Tatacara untuk setiap permainan adalah pelbagai dan yang diketengahkan di atas adalah tatacara asas yang kebiasaannya dipilih oleh pemain.
Namun, melalui kreativiti masing-masing, kaedah permainan boleh diolah mengikut kesesuaian dan keselesaan tersendiri. Pasti menghiburkan!