Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Persediaan Menjelang Hari Bersalin: Ketahui 27 Barang-Barang Yang Diperlukan Dalam Beg Hospital!

Sebelum bersalin, banyak persiapan serta persediaan yang Mommy harus lakukan. Antaranya adalah, melakukan senaman untuk ibu mengandung, persediaan pembedahan C-section dan terakhir, melakukan persediaan sebelum memasuki hospital bersalin. Untuk mendapatkan maklumat yang terkini, Mommy harus baca dengan teliti!

Berikut adalah persediaan yang Mommy harus lakukan semasa hamil menjelang hari bersalin.

Persediaan Untuk Aktiviti Fizikal

Highlighted

Kredit gambar: Baby Center

Untuk kekal sihat dan cergas, Mommy harus lakukan senaman kerana ia juga merupakan satu alternatif bagi menjaga bayi dalam perut khususnya pada tempoh awal mengandung.

Senaman ini adalah untuk membantu Mommy yang hamil lebih tenang bila menghadapi kontraksi awal dan memudahkan proses bersalin. Dengan senaman, ia boleh menolong otot ibu untuk menjadi lebih kuat.

Untuk pengetahuan Mommy, ia akan mengekalkan kesihatan dan mengatasi gejala biasa yang kerap dialami ibu mengandung seperti:

  • sembelit
  • sakit tulang belakang
  • keletihan

Senaman Mengikut Trimester

Trimester #1 (1-3 Bulan)

Pada awal kehamilan, Mommy boleh cuba berjalan selama 20 minit setiap hari, 3 hingga 4 kali seminggu. Ketika ini anda boleh berjogging, berenang, aerobik berimpak rendah, berbasikal dan tarian.

Trimester #2 (4-6 bulan)

Apabila anda sudah mencapai tahap ini, Mommy boleh mulakan senaman yoga dan menghadiri kelas antenatal. Beri tumpuan kepada penafasan, relaxation, kedudukan dan rangsangan badan. Namun begitu, aktiviti seperti berjalan, berjoging, berenang, berbasikal perlu diperlahankan atau diberhentikan mengikut kemampuan Mommy.

Trimester #3 (7-9 bulan)

Kini, anda telah masuk saat-saat gentar sebelum bersalin. Anda boleh lakukan senaman persiapan bersalin seperti berjalan secara santai. Namun Mommy perlu ingat untuk elakkan daripada melakukan gerakan melompat dan gerakan secara tiba-tiba. Lakukan senaman dengan perlahan-lahan serta elakkan senaman yang menekan dan memberi tekanan perut.

Harap-harap senaman ini membantu Mommy untuk pilih senaman yang sesuai untuk anda!

Persediaan Untuk Pembedahan C-Section 

Kredit gambar: Vecteezy

Mommy mesti pernah dengar kan pembedahan C-section atau cesarean ini. Tapi apa sebenarnya pembedahan ini? Bagaimana prosesnya dan apakah persediaan yang perlu dilakukan bagi bakal ibu yang harus bersalin melalui C-section ini?

Mari kita baca!

Apa Maksud Pembedahan C-section?

Ia melibatkan kelahiran bayi melalui pembedahan pada abdomen dan uterus wanita. Tambahan pula, pembedahan C-section dibuat khas untuk mereka yang tidak boleh menjalani kelahiran semula jadi. Ini disebabkan oleh komplikasi kehamilan seperti:

  • bayi berada dalam posisi yang abnormal
  • mental tidak stabil
  • mempunyai jangkitan yang boleh merebak kepada bayi semasa bersalin secara tradisional

Persediaan Untuk Pembedahan C-section

Jika Mommy perlu menjalani pembedahan C-section, pertama sekali doktor akan memaklumkan kepada anda semua perkara yang perlu anda lakukan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu anda ketahui sebelum waktu kelahiran anda.

Beberapa minggu sebelum tarikh kelahiran, Mommy dikehendaki pergi ke hospital untuk menghantar borang pra-pendaftaran. Malam sebelum due date, anda perlu menyiapkan prosedur pra-pembedahan.

  • Pertama, anda akan menjalani anesthesia epidural, yang melibatkan suntikan di belakang badan anda untuk membuatkan anda rasa kebas semasa menjalani pembedahan.
  • Kemudian, anda akan dikateter bagi mengelakkan anda bangun untuk ke bilik air semasa 24 jam pertama pemulihan. Peringatan untuk Mommy, memandangkan ini bukanlah merupakan prosedur yang selesa, pastikan anda bertanya kepada doktor untuk mendapatkan epidural dahulu sebelum memasukkan kateter.
  • Selepas itu, anda akan diberikan sejenis ubat yang digunakan untuk mengosongkan asid cecair perut anda. Anda dibenarkan untuk meminta ubat anti-loya, dan berbuat demikian sebelum epidural untuk mengelakkan rasa tidak selesa.

Selain itu, ujian darah tertentu boleh dilakukan sebelum pembedahan mengikut saranan doktor. Ini adalah penting kerana, pemeriksaan darah anda boleh membantu doktor untuk bersedia dengan sebarang perkara yang tidak diingini, seperti anda memerlukan pemindahan darah semasa pembedahan C-section berlangsung.

Pembedahan C-section mengambil masa yang lama untuk pemulihan penuh, oleh sebab itu, Mommy harus minta bantuan pasangan atau ahli keluarga anda semasa berpantang di rumah nanti.

Kini, Mommy lebih tahu tentang pembedahan C-section! Mari kita lihat pula apa yang kita perlu bawa ke hospital ya?

Persediaan Sebelum Masuk Ke Hospital

Perkara terakhir yang anda perlu ingat adalah anda perlu menyiapkan beg untuk ke hospital. Ini termasuk pakaian anda dan kelengkapan diri untuk beberapa hari anda berada di hospital.

Semakin hari semakin dekat tarikh jangkaan bersalin. Adakah Mommy sudah bersedia dengan barang-barang keperluan bersalin atau dikenali dengan lebih popular sebagai beg hospital?

Mommy tentu sudah beli barang bayi yang mencukupi, menghiasi bilik bayi atau nursery, dan juga memasang car seat bayi dalam kereta.

Beg hospital pun perlu diutamakan juga, kerana proses bersalin boleh mula pada bila-bila masa sahaja di trimester ketiga. Ia tak semestinya jatuh tepat pada tarikh jangkaan bersalin atau expected due date (EDD) tau!

Jadi bagaimana nak pilih barang yang perlu dipek untuk beg hospital? Mommy tentu tak mahu tertinggal apa-apa keperluan penting, tapi perlu diingati untuk tidak pek barangan dengan berlebihan pula.

Sumber: Getty Images

Bila Perlu Mula Mengemas Beg Hospital?

Ibu mengandung yang berisiko tinggi disarankan untuk mula mengemas beg hospital sekitar minggu ke-35 kehamilan. Kehamilan berisiko tinggi kebiasaannya berkaitan dengan kehamilan kembar, obesiti, dan lain-lain.

Untuk kehamilan normal pula, Mommy boleh mula mengemas beg hospital sekitar minggu ke-37 atau 38 kehamilan.

Dengan cara ini, keperluan asas yang diperlukan semasa bersalin nanti telah disediakan dengan awal dan apa-apa barangan lain boleh dimasukkan kemudian.

Tapi kalau Mommy nak mula mengemas bag seawal trimester kedua pun tiada masalah. Lebih awal, lebih bagus! Asalkan beg hospital sudah sedia ada apabila bayi sudah sedia untuk keluar.

Sumber: Getty Images

Persediaan Bersalin: Senarai Semak/Checklist Beg Hospital

Secara umumnya, ibu mengandung yang bersalin di hospital kerajaan atau swasta akan tinggal di hospital selama satu atau dua hari, bergantung kepada bila bayi lahir. Ini selalunya kes jika Mummy melahirkan anak secara normal.

Kalau anak dilahirkan secara C-section pula, mungkin Mommy perlu duduk di hospital selama satu atau dua malam, bergantung kepada keadaan Mommy dan nasihat doktor.

Jadi perkara terbaik ialah untuk Mommy mengemas barang dengan anggapan bahawa Mummy akan duduk di hospital selama dua malam sekurang-kurangnya.

Sebelum mengemas beg, mungkin Mommy boleh berunding dengan staf di hospital tentang apa yang akan dibekalkan oleh pihak hospital kerana ada yang membekalkan lampin bayi dan juga bedung bayi, jadi Mummy boleh elakkan daripada membawa barangan tersebut.

1. Dokumen Penting

Dokumen-dokumen penting perlu dibawa bersama Mommy ke hospital seperti kad pengenalan, buku pink, dan surat insurans jika berkenaan. Pastikan Mommy simpan semua dokumen ini dalam satu fail supaya senang untuk dikeluarkan oleh Mommy, suami, atau sesiapa yang pergi ke hospital bersama Mommy.

Kredit: KelabMama

2. Peralatan Mandian

Kebersihan diri perlu dijaga do hospital kerana Mommy berada di persekitaran yang senang untuk dapat jangkitan, terutamanya dengan wabak COVID-19 sekarang.

Pastikan barang mandian seperti syampu, sabun, pencuci muka, dan lain-lain telah disiap pek dalam beg hospital. Mommy boleh dapatkan barangan travel-size dari farmasi supaya beg tidak menjadi terlalu berat dan besar.

Sumber: Getty Images

3. Telefon Dan Pengecas

Sediakan ruang untuk meletakkan telefon dan pengecas (charger) supaya senang nak dikemas pada hari Mommy perlu ke hospital. Bawa juga power bank sekiranya tiada tempat untuk mengecas telefon bimbit.

4. Baju Panas Dan Sarung Kaki

Persekitaran wad bersalin dan hospital mungkin boleh membuatkan Mommy berasa sejuk, sama ada sebelum atau selepas bersalin. Jadi jangan lupa untuk bawa baju panas dan sarung kaki sekiranya tidak tahan sejuk.

Sumber: Getty Images

5. Balm Bibir

Seperti tujuan membawa baju panas dan sarung kaki, persekitaran hospital boleh membuatkan bibir berasa kering dan pecah, jadi balm bibir dapat membantu mencegah perkara tersebut.

6. Snek

Mommy boleh bawa snek berkhasiat kerana tak tahu proses bersalin akan mengambil berapa lama. Mommy tidak disarankan makan makanan berat ketika sedang melalui proses bersalin, jadi snek berkhasiat seperti biskut, kurma, dan kacang dapat mengelakkan Mommy dari berasa lapar dan dapat memberi tenaga.

Sumber: Getty Images

7. Gula-Gula Atau Lozenges

Ketika melalui proses bersalin, mulut Mommy mungkin akan berasa kering jadi bawa gula-gula yang bebas gula atau lozenges untuk melegekan tekak.

8. Bra Materniti

Sebelum bersalin kebiasaannya ibu hamil tentu pakai bra biasa, tapi selepas anak dilahirkan, jangan lupa untuk menukar kepada bra materniti atau nursing bra supaya dapat menyusukan bayi jika memilih untuk menyusu badan.

9. Pad Nursing

Akesesori kepada bra materniti ialah pad nursing dan ia datang dalam dua bentuk, iaitu yang boleh dibasuh atau dipakai buang. Menggunakan pad nursing selepas bersalin adalah penting kerana selepas bersalin susu Mommy mungkin akan keluar dengan banyak dan boleh membasahi bra.

Sumber: Getty Images

10. Baju Untuk Diri Sendiri

Mommy perlu bawa baju lebih yang boleh dipakai ketika discharge atau bila-bila masa pemakaian gaun bersalin tidak diperlukan. Pastikan baju itu selesa kerana Mommy akan membawa pulang bayi yang kecil dalam dakapan.

11. Kasut Selesa

Bawa kasut, selipar, atau sandal yang selesa untuk dipakai ketika berada di wad selepas bersalin.

12. Buku Atau Majalah

Memandangkan proses bersalin mungkin berjalan dengan lama, Mummy boleh membawa buku ringan atau majalah-majalah untuk di baca sebab kalau asyik tengok telefon pun mungkin memenatkan, betul tak?

13. Bluetooth Earphone

Mommy mungkin boleh invest dalam bluetooth earphone atau headphone kerana senang dipakai tanpa wayar dan Mommy boleh mendengar bacaan Quran, zikir, atau lagu-lagu klasikal sementara menunggu bayi dilahirkan.

Sumber: Getty Images

14. Tuala Mandian

Tuala mandian di hospital mungkin nipis, jadi kalau Mommy ada tuala kegemaran yang lebih selesa, boleh pek dalam beg hospital.

15. Bantal

Kalau Mommy jenis yang suka guna bantal sendiri, bolehlah bawa juga, atau minta suami bawa selepas bersalin jika berasa bantal hospital tidak sesuai untuk posisi tidur Mommy.

16. Baju Bayi

Sediakan baju-baju bayi yang mencukupi dan kemaskannya dalam beg plastik seperti beg zip-lock dan labelkan baju bayi tersebut sebagai baju tidur atau baju siang.

Sumber: Getty Images

17. Barang Mandian Bayi

Selalunya hospital akan menggunakan bekalan sendiri untuk memandikan bayi tapi Mommy boleh juga bawa barang mandian bayi sendiri dan beri kepada jururawat jika mahu menggunakan produk pilihan sendiri.

18. Lampin Bayi

Lampin juga selalunya akan disediakan oleh hospital tetapi Mummy boleh membawa lampin sendiri seperti lampin untuk bayi yang baru dilahirkan atau newborn diapers yang bersesuaian dengan bayi.

19. Bedung Bayi

Seperti lampin dan barang mandian, hospital mungkin ada kain bedung sendiri yang akan digunakan sejurus selepas bayi dilahirkan. Tapi Mummy perlu bawa kain bedung bayi sendiri juga untuk dipakai ketika mahu pulang ke rumah nanti.

Sumber: Getty Images

20. Pad Khas Bersalin

Mommy perlu sediakan pad seperti pad haid tapi yang direka khas untuk bersalin kerana kuantiti darah nifas selalunya lebih banyak dari darah haid. Jadi, cari pad materniti yang bersesuaian.

21. Bantal Menyusu

Sekarang sudah terdapat macam-macam bentuk bantal menyusu yang Mommy boleh gunakan. Jadi Mommy boleh bawa juga bantal tersebut untuk memudahkan proses penyusuan bayi nanti.

22. Selimut Untuk Bayi

Bayi tidak digalakkan untuk menggunakan selimut ketika tidur, tapi Mommy boleh gunakan selimut ini dalam perjalanan pulang ke rumah di dalam kereta, takut terlalu sejuk untuk bayi.

23. Ikat Rambut Atau Headband

Ketika proses bersalin sedang berlaku, Mommy tentu akan berpeluh dengan banyak. Kalau rambut panjang, pastikan Mommy ikat rambut atau gunakan headband untuk mengelakkan rambut dari melekat ke muka dan leher, membuatkan proses bersalin tersebut berasa lebih serabut.

24. Seluar Dalam Materniti

Ada sesetengah para ibu yang suka menggunakan seluar dalam materniti yang boleh dipakai buang kerana pendarahan yang terlalu banyak. Mommy boleh bawa seluar dalam materniti jika ini menjadi pilihan.

25. Susu Formula Dan Botol

Jika Mommy telah memilih untuk memberi susu formula, jangan lupa bawa botol yang telah dibasuh dan disterilkan berserta susu formula pilihan.

Sumber: Getty Images

26. Pam Payudara/Susu

Jika ada, Mommy boleh bawa sekali pam payudara atau susu jika Mommy memilih untuk menyusu anak secara expressed milk.

27. Barang-Barang Pasangan

Selain daripada barangan persediaan bersalin kita, jangan lupa juga barang-barang encik suami! Mereka juga memerlukan barang-barang asas yang mungkin perlu dibawa bersama Mommy ketika dimasukkan ke wad nanti.

Mommy juga boleh melihat checklist barang-barang ibu dan bayi di sini.

Apabila Mommy sudah mengemas semua atau kebanyakan barang yang diperlukan seperti dalam senarai di atas, simpan beg hospital Mommy berdekatan dengan pintu rumah supaya senang untuk ambil bila perlu bergegas ke hospital.

Semoga bermanfaat dan selamat melalui proses bersalin!