Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Ketahui Tentang Kenapa Perut Mengeras Pada Setiap Peringkat Kehamilan

Sumber: senivpetro

Semasa kehamilan, terdapat banyak sensasi yang bakal ibu alami. Salah satu daripadanya ialah perut mengeras.

Perut mengeras semasa hamil boleh dialami pada bila-bila masa dan seawal trimester pertama apabila rahim mula mengembang bersama dengan otot perut.

Berikut adalah kemungkinan punca-punca yang menyebabkan perut mengeras ketika hamil.

Highlighted

Sumber: babylist.com

Trimester Pertama

Perut Ibu kebarangkalian besar mengeras pada awal-awal kehamilan kerana rahim Ibu sedang meregang dan membesar untuk menampungi janin yang telah disenyawakan dan akan berkembang dan membesar di dalam rahim.

Sensasi lain yang mungkin akan dialami pada awal kehamilan termasuk rasa sakit yang tajam di bahagian perut semasa otot meregang dan meranjang, serta beberapa sensasi lain yang menunjukkan tanda-tanda kehamilan.

Perut mengeras pada awal kehamilan juga boleh menandakan keguguran.

Keguguran boleh terjadi sebelum minggu ke-20 kehamilan, tapi pada kebiasaannya ia terjadi sebelum janin mencecah 12 minggu kerana tidak dapat berkembang sepenuhnya.

Sumber: Getty Images

Sesetengah ibu tidak mengalami apa-apa kesakitan jika keguguran berlaku, tetapi bagi sesetengah lagi pula, perut mungkin akan mengeras dengan kesakitan yang teruk.

Jika ini berlaku, Ibu patut bergegas untuk berjumpa dengan doktor pakar sakit puan.

Trimester Kedua

Semakin badan Ibu menyesuaikan diri dengan kehamilan, Ibu mungkin akan mengalami sakit perut yang berasa tajam yang disebut sakit round ligament.

Sakit atau rasa tidak selesa ini memang kerap berlaku pada trimester kedua. Rasa sakit ini boleh dirasa dari kawasan perut atau pinggul hingga ke pangkal paha bagi sesetengah ibu.

Sumber: gleneagles.com.sg

Walau bagaimanapun, kesakitan atau ketidakselesaan ini dianggap normal dan tidak memudaratkan.

Ibu juga kebarangkalian besar akan mengalami kontraksi Braxton-Hicks seawal empat bulan kehamilan.

Kontraksi Braxton-Hicks adalah kontraksi palsu yang dialami sebagai cara badan mempersiapkan diri untuk proses bersalin.

Semasa ‘latihan kontraksi’ ini, perut Ibu mungkin terasa sangat tegang dan keras dan tidak selesa.

Tapi kesakitan kontraksi Braxton-Hicks ini tidak seteruk kontraksi yang betul, dan sebilangan bakal ibu mengalami kontraksi palsu ini dengan lebih kerap.

Kontraksi Braxton-Hicks boleh tercetus kerana melakukan aktiviti-aktiviti seperti bersenam atau seks.

Secara umumnya, kontraksi ini tidak akan membuka serviks, atau dilation serviks seperti kontraksi betul. Ia berlaku secara rawak dan Ibu tak boleh mengiranya seperti kontraksi betul.

Salah satu punca perut mengeras semasa mengandung juga ialah kurang minum air.

Dehidrasi boleh meningkatkan kekerapan kontraksi palsu. Jadi kebiasaannya, meminum air yang cukup dapat menghilangkan kekerasan perut Ibu.

Sumber: Getty Images

Kalau ia tidak membantu dan perut Ibu makin sakit, Ibu perlu jumpa dengan pakar sakit puan dengan segera untuk mengelakkan kelahiran pramatang.

Pakar sakit puan Ibu boleh memeriksa dan melakukan ujian seperti imbasan ultrasound dan mengukur serviks Ibu untuk memastikan keadaan bayi dan ibu adalah normal.

Trimester Ketiga

Perut mengeras pada trimester ketiga boleh menunjukkan tanda-tanda untuk bersalin. Kontraksi bersalin ibu akan bermula dengan sakit yang ringan dan akan bertambah kuat dari semasa ke semasa sehinggalah Ibu bersalin.

Untuk memastikan yang Ibu sedang mengalami kontraksi bersalin betul, Ibu boleh kira masa kontraksi tersebut berlaku.

Tentukan bila kontraksi pertama berakhir dan bila kontraksi seterusnya bermula.

Beza antara dua masa ini akan nampak renggang pada mulanya, dalam 10 ke 15 minit, tapi akan menjadi makin dekat dan stabil sebelum proses kelahiran, iaitu dalam dua ke lima minit.

Sumber: pampers.com

Kontraksi Braxton-Hicks berlaku dengan lebih kerap pada semester ketiga, jadi Ibu perlu tahu bezakan antara kontraksi palsu tersebut dengan kontraksi betul.

Kontraksi palsu boleh berlaku pada akhir-akhir kehamilan juga, jadi ia boleh mengelirukan sesetengah bakal ibu, terutamanya bakal ibu yang baru mengandung buat pertama kali.

Tapi ibu-ibu yang dah pernah mengandung pun boleh lupa juga! Iye lah, siapa yang mahu ingat keperitan kontraksi itu! Tentunya bukan saya!

Saya sebagai penulis artikel ini pula sebenarnya tak pernah mengalami kontraksi Braxton-Hicks langsung!

Pelik kan? Tapi semua ibu mengandung tentunya mempunyai pengalaman kehamilan yang berbeza-beza.

Perlukah Ibu Risau Jika Perut Mengeras Ketika Hamil?

Sumber: goodto.com

Secara umumnya, perut mengeras ketika hamil adalah normal.

Berdasarkan info yang diberikan tadi, Ibu hanya perlu bergegas ke hospital dalam tiga keadaan; iaitu pada awal kehamilan kerana ada risiko keguguran, atau diakhir kehamilan kerana kebarangkalian besar ia adalah tanda-tanda untuk beranak.

Keadaan terakhir ialah keadaan di mana perut mengeras berlaku pada bila-bila masa tempoh kehamilan dan kesakitannya tidak boleh ditahan oleh bakal ibu. Maka Ibu disarankan agar berjumpa dengan doktor pakar sakit puan atau Klinik Kesihatan.

Tanda-tanda kontraksi benar selain perut mengeras dan kekejangan termasuklah sakit belakang, cecair jernih yang keluar dengan banyak dari faraj Ibu, juga dikenali sebagai air ketuban pecah, atau pun sedikit cecair lendir yang keluar juga berserta sedikit darah.

Sumber: Getty Images

Jika Ibu yakin yang perut mengeras kerana kekejangan atau kontraksi Braxton-Hicks, Ibu boleh cuba meminum banyak air, menukar posisi badan, seperti dari duduk ke baring atau sebaliknya, atau berjalan-jalan kerana ini dapat membuatkan kontraksi palsu tersebut berkurangan dan hilang.

Yang pasti, kalau Ibu rasa Ibu sedang mengalami kontraksi beranak yang betul, Ibu perlu segera sediakan bag hospital dan berjumpa dengan pakar sakit puan di hospital sekiranya Ibu perlu dimasukkan ke wad bersalin.

Sumber: momtastic.com

Semoga artikel ini membantu sedikit sebanyak tentang kenapa perut mengeras ketika hamil dan Ibu dapat bezakan antara kontraksi benar dan palsu.