Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Punca, Petua & Cara-cara Hilangkan Bengkak Susu

bengkak susu

Aduh, sakitnya bengkak susu! Bengkak susu, puting melecet, dan puting tersumbat merupakan antara perkara yang sering dialami kebanyakan ibu-ibu yang baru bersalin. Mungkin kedengaran macam biasa je, tapi sakit yang dialami, hanya tuhan yang tahu. Ada yang sampai boleh demam dek penangan bengkak susu.

Bagaimana Terjadinya Bengkak Susu?

Bengkak susu berlaku apabila bayi tidak menyusu dengan kerap atau payudara ibu tidak dikosongkan sepenuhnya. Payudara ibu akan terasa lembik dan kosong sekiranya ibu-ibu tidak menyusu dengan sempurna. Sebab tu pentingnya untuk ibu sentiasa ‘direct feeding’ bayi anda, terutamanya semasa dua bulan pertama selepas kelahirannya.

Punca

+1 Lambat memulakan penyusuan pertama.

Antara punca utama ialah lambat memulakan penyusuan kali pertama. Sebab tu disarankan untuk ibu-ibu segera menyusu selepas bersalin. Selain untuk mengelakkan bengkak susu lalu menyebabkan bayi sukar menyusu dalam keadaan susu membengkak, penyusuan segera selepas bersalin juga dapat memastikan si manja anda mendapat *kolostrum yang membantu menguatkan sistem imuniti badannya.

Highlighted


*Kolostrum = sejenis susu ibu yang dihasilkan pada akhir tempoh mengandung dan beberapa jam selepas bersalin. Ia memberi pelbagai manfaat untuk bayi. 

+2 Penyusuan atau pemerahan yang tidak kerap.

Penyusuan yang tidak kerap dan jarak antara sesi memerah yang terlalu lama berpotensi menyebabkan saluran susu tersumbat dan membengkak.

Sesi memerah yang disyorkan untuk memastikan kelancaran aliran susu dan mengelakkan bengkak susu, adalah setiap 2-3 jam sekali.

+3 Lekapan yang tidak betul.

Lekapan yang tak betul akan menyebabkan susu tidak dapat dikeluarkan dengan efektif dari payudara. Hal ini boleh menyebabkan masalah luka dan bayi tidak cukup susu.

Cara yang betul ialah, mulut bayi perlu terbuka luas dan sebahagian besar bahagian hitam payudara (areola) harus masuk memenuhi mulut bayi.

+4 Menetapkan masa menyusu di sebelah payudara.

Kerap menukar payudara semasa menyusu akan menyebabkan susu tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya dari setiap payudara. Bayi sepatutnya menyusu di sebelah payudara sahaja sehingga dia sendiri yang melepaskan payudara tersebut. Kemudian, barulah ibu susukan bayi di sebelah payudara lagi. Apabila bayi menyusu sepenuhnya dari setiap payudara, bayi boleh menerima kandungan lemak dalam susu (hindmilk) yang cukup.

+5 Terlupa untuk mengepam susu.

Hal ini mungkin sering terjadi kepada ibu yang bekerja. Bagi ibu yang mempunyai jadual kerja yang padat, anda mungkin tertinggal atau terlupa untuk mengepam susu. Ini boleh menyebabkan masalah bengkak susu.

Terdapat pelbagai cara samada tradisional mahupun moden, untuk hilangkan bengkak susu. Motherhood.com.my kumpulkan kesemua cara-cara tersebut yang sering dikongsikan orang ramai dan pakar sebagai panduan Mommy semua:

Cara Hilangkan Bengkak Susu

1. Air Suam

Air suam boleh kurangkan bengkak susu. Mommy boleh cuba mandi air suam dengan selama 15-20  minit. Halakan suam tersebut ke bahagian payudara. Semasa mandi, buat urutan secara membulat ke seluruh bahagian payudara dengan sedikit tekanan di bahagian ketulan.

Mommy juga boleh isi air panas ke dalam botol dan tuam di bahagian payudara.

2. Sikat

Eh, sikat? Ya sikat yang kita gunakan untuk sikat rambut tu. Orang dulu-dulu sering menyikat payudara dengan sikat rambut untuk kurangkan bengkak susu.

CARA: Sikat perlahan-lahan sambil berdoa agar dikurangkan bengkak.

3. Ais

Ais juga membantu dalam mengurangkan bengkak susu. Balut ais dengan kain dan tekapkan ke payudara Pastikan anda membalut dengan kain dulu tau, bukan terus meletakkan ais ke payudara!

4. Urut Sendiri

Mommy juga boleh mengurut sendiri untuk menghilangkan bengkak susu.

CARA: Gunakan empat jari dan urut seluruh payudara, menuju ke arah areola. Dari atas, dari tepi, dan dari bawah ke arah areola. Lakukan perlahan-lahan.

5. Kobis

Dalam satu kajian yang telah dijalankan di Korea, penggunaan kobis lebih berkesan dalam mengurangkan bengkak susu berbanding penjagaan payudara awal (EBC) dan penjagaan penyusuan am (GNBC).

CARA: Ambil sehelai daun kobis, cuci bersih, dan keringkan. Kemudian letakkan daun kobis di payudara selama 30 hingga 60 minit. Boleh dimasukkan ke dalam peti sejuk dahulu untuk kesan yang lebih optimum.

6. Daun Sirih

Daun sirih dan minyak zaitun yang berkhasiat juga dapat menghilangkan kesakitan yang dialami si ibu.

CARA: Sapukan sedikit minyak zaitun pada daun sirih dan layurkan ia pada api (seperti layur daun pisang). Apabila daun sudah suam-suam, tekup pada payudara yang membengkak.

7. Yogurt Asli

Yogurt asli juga boleh membantu mengurangkan bengkak susu. Malah, yogurt asli juga membantu sekiranya berlaku sumbatan susu pada kelenjar susu Mommy.

CARA: Ambil yogurt asli tersebut, sapukan ke seluruh payudara dan biarkan selama 30 minit. Kemudian cuci sehingga bersih.

8. Berurut

Menggunakan khidmat urutan bidan juga bagus untuk hilangkan bengkak di payudara. Cumanya Mommy terpaksa menahan sakit sewaktu diurut.

9. Bertungku

Cara ini mungkin lebih sesuai untuk ibu-ibu yang masih berpantang. Semasa bertungku badan, Mommy boleh tungkukan di sekitar payudara. Haba dari tungku yang panas akan membantu mengurangkan bengkak tersebut.

Terdapat pelbagai cara hilangkan bengkak susu. Mommy boleh cuba cara-cara di atas dahulu. Inshaallah menjadi. Apa yang penting ialah, Mommy harus bersabar dan sentiasa berfikiran positif. Sekiranya keadaan semakin teruk atau masih belum berkurang, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.