Hmm…risaunya tengok si comel batuk-batuk.
Kadang-kadang kelihatan seperti semakin sembuh, tetapi apabila tiba waktu malam, bertambah teruk pula batuknya.
Adakah anda sedang berada dalam situasi ini? Mak mana yang tidak risau bayinya batuk-batuk bukan? Dah cuba pelbagai petua hilangkan batuk bayi, namun masih belum jumpa yang betul-betul mujarab.
Selain itu, Mama juga harus tahu, disebabkan sistem badan si comel yang masih belum matang, ubat batuk yang biasa diambil oleh ibu bapa adalah tidak sesuai untuk diberikan kepada mereka.
Namun begitu, Mama boleh masih terus mencuba pelbagai petua hilangkan batuk bayi yang lain. Selagi belum cuba belum tahu kesannya bukan? Terdapat pelbagai kaedah dan petua yang boleh gunakan untuk mencegah dan melegakan batuk si comel yang Mama boleh praktikkan.
Sebelum itu, Mama adalah lebih baik untuk Mama tahu mengenai punca batuk pada bayi Mama.
Apakah Punca Batuk Pada Bayi?
Bak kata pepatah Melayu, mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Sebelum anda bersusah payah untuk merawat batuk si comel dengan mencari petua hilangkan batuk bayi anda, para ibu seharusnya mencegah ia daripada berlaku.
Bagaimanakah caranya? Tentulah dengan menghindari dan merawat punca-punca batuk daripada terjadi. Berikut adalah antara beberapa punca yang menyebabkan batuk pada bayi.
1. Refleks/Tindak Balas Badan
Secara alaminya, batuk adalah tindak balas badan dalam melindungi saluran pernafasan manusia dari benda-benda asing yang memasukinya. Melalui tindak balas ini, paru-paru dan saluran pernafasan manusia akan lebih terjaga.
Kita tidak boleh peka pada setiap masa dengan semua situasi yang terjadi di sekeliling bayi. Jika ada sebarang benda asing yang memasuki saluran pernafasannya, lazimnya si comel anda akan batuk untuk melindunginya.
Perasan tak apabila bayi anda tersedak susu, mereka akan terbatuk-batuk? Batuk pada ketika itu adalah sejenis refleks dari badan si comel untuk mengelakkan air susu dari memasuki saluran pernafasannya.
2. Jangkitan Saluran Pernafasan
Highlighted
Sistem imun bayi bukan seperti orang dewasa. Menurut Dr. Noor Zaimie Mior Muhammad Ariffin, disebabkan sistem imun mereka yang masih rendah dan belum matang, pertahanan badan bayi menjadi lemah.
Akibatnya, bayi lebih mudah untuk terkena jangkitan saluran pernafasan seperti jangkitan bakteria dan virus.
Namun, para ibu usahlah khuatir kerana seiring dengan usia, pertahanan badan si comel anda akan semakin kuat untuk melawan jangkitan-jangkitan ini.
3. Alahan/Alergik
Batuk juga boleh terjadi akibat daripada alahan bayi pada bahan-bahan penyebab alahan (alergen) tertentu.
Menurut Farahwahida Mohd Kasim, contoh alergen ialah habuk, asap, debunga, wangian dan bulu haiwan.
Apa yang Mama boleh lakukan ialah dengan melihat keadaan disekeliling bayi, jika terdapat alergen tertentu. Ini boleh menjadi petanda bahawa si comel anda sebenarnya alergik terdapat benda tersebut.
4. Faktor Cuaca
Kadang-kadang, badan orang dewasa sensitif terhadap cuaca sekeliling sama ada terlalu sejuk ataupun terlalu panas.
Ini juga terjadi kepada si comel. Sensitiviti badan bayi pada perubahan suhu juga boleh menyebabkan mereka mudah menghidapi batuk dan penyakit yang lain.
Hal ini berlaku kerana, badan si manja sedang berusaha untuk menyesuaikan diri dengan suhu persekitaran.
5. Penyakit Lelah/Asma
Batuk juga boleh menjadi petanda bahawa si comel anda sebenarnya diserang penyakit lelah. Menurut Dr. Noor Zaimie Mior Muhammad Ariffin, akan terjadi keradangan pada saluran pernafasan apabila serangan asma terjadi.
Akibatnya, kahak akan terhasil dan menyebabkan bayi menjadi sesak nafas dan batuk-batuk.
6. “Post-nasal Drip”
Jika bayi anda dijangkiti selesema, akan berlaku pengumpulan hingus di bahagian rongga hidung. Apabila bayi berada dalam posisi terlentang, hingus tersebut akan mengalir dan cuba untuk memasuki saluran pernafasannya.
Sama seperti punca yang pertama, apabila ini berlaku, bayi akan batuk sebagai refleks untuk melindungi saluran pernafasannya daripada dimasuki hingus.
Petua-petua Hilangkan Batuk Bayi
Kalau sebelum ini Mama sudah cuba pelbagai petua hilangkan batuk bayi melalui bahan-bahan yang ada dirumah, kali ini apa kata Mama cuba petua yang sedikit lain daripada yang lain – dengan melakukan beberapa perubahan pada gaya hidup anda dan keluarga seperti dibawah:
1. Sentiasa menjaga kebersihan
Ibu dan bapa hendaklah sentiasa memastikan kebersihan persekitaran bayi berada pada tahap optimum. Sebagai contoh, tempat tidurnya hendaklah bersih dari sebarang habuk dan debu. Cuci dan tukarlah sarung bantal, tilam dan selimut bayi dengan kerap.
Mama juga harus menggunakan cecair pencuci yang selamat untuk bayi. Lebih baik sekiranya Mama menggunakan pencuci pakaian bayi khas dan elak dari menggunakan peluntur dan bahan pencuci yang kuat baunya.
Selain itu, penyimpanan pakaian dan sebarang fabrik untuk kegunaan mereka haruslah bebas dari sebarang kotoran. Simpanlah di tempat yang tertutup dan bersih.
Sementara itu, kebersihan peralatan untuk kegunaan bayi juga haruslah dititikberatkan. Sebagai contoh, peralatan menyusu bayi seperti puting, botol dan pam susu haruslah disterilkan dari masa ke semasa.
Kebersihan alatan ini amatlah penting kerana penggunaannya mempunyai kontak rapat dengan saluran pernafasan bayi.
2. Elakkan kontak dengan haiwan peliharaan
Jika anda mempunyai haiwan peliharaan seperti kucing, seeloknya biarkan ia dijaga oleh orang lain untuk sementara waktu. Ini adalah kerana bulu haiwan merupakan antara alergen yang boleh mengakibatkan alahan pada bayi.
Bukanlah mudah untuk kita sentiasa memastikan sekeliling rumah bersih darinya. Penjagaannya haruslah benar-benar rapi. Oleh itu, sebaiknya elakkanlah dari memelihara haiwan ketika anda mempunyai anak kecil.
3. Jauhi asap rokok
Bukan sahaja bayi malah orang dewasa pun terganggu dengan asap rokok. Paru-paru bayi masih tidak matang dan amat berbahaya untuk mereka bernafas dalam persekitaran yang mengandungi asap rokok.
Lindungilah bayi anda dari tersedut asap rokok dengan menjauhi tempat yang terdedah dengannya dan yang paling penting, anda sendiri janganlah menjadi puncanya.
Sekiranya ada dalam kalangan ahli keluarga yang merokok, nasihati mereka untuk sentiasa berusaha untuk menghentikan tabiat tersebut demi kesihatan diri, si comel, dan orang sekeliling.
4. Jauhi pesakit dan tempat yang sesak
Seperti yang dijelaskan, sistem imun bayi masih lemah. Jika terkena sebarang jangkitan, adalah tidak mudah untuk badan si comel melawannya.
Oleh itu, elakkan sebarang kontak dengan mereka yang tidak sihat. Sebagai contoh, rakan anda yang sedang mengalami selesema ingin ke rumah untuk bermain dengan si comel anda.
Dalam situasi ini, anda harus bertegas dengan rakan anda supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti tiada kontak rapat antara si dia dan bayi anda. Jelaskan niat anda dengan elok supaya kedua-dua tujuan dapat dicapai dan tidak berlaku salah faham.
Selain itu, elakkan dari membawa bayi anda ke tempat yang sesak seperti pasar malam. Apabila berada di tempat yang sesak, bayi anda akan terdedah kepada persekitaran yang kurang sihat dan orang ramai yang kita tidak tahu tahap kesihatannya.
5. Pengudaraan yang baik dan suhu yang optimum
Kadang-kadang bayi anda dijangkiti batuk kerana suhu persekitarannya tidak sesuai dengan badan. Jika persekitaran sekeliling sentiasa berhabuk, gunakanlah penapis udara untuk kualiti udara yang lebih elok.
Sementara itu, jika udaranya kering ataupun panas, anda boleh memasang pelembab udara untuk pengudaraan dan suhu yang optimum bagi si comel.
Anda hendaklah sentiasa memantau pengudaraan dan suhu tempat tidur bayi anda untuk memastikan persekitaran mereka sesuai dengan keperluan badannya.
6. Susu ibu yang mencukupi
Tahukah anda bahawa susu ibu mengandungi pelbagai khasiat yang sangat diperlukan oleh bayi? Antaranya ialah ia boleh membantu menguatkan sistem imun bayi anda.
Khas untuk ibu yang masih menyusu, jika bayi anda mula mengalami batuk-batuk, petua hilangkan batuk yang sesuai ialah untuk menyusu si comel anda dengan kerap dan secukupnya.
Untuk bayi yang sudah diberikan susu formula, anda boleh memberikannya susu dalam kuantiti yang lebih banyak berbanding hari biasa supaya bayi tidak mengalami dehidrasi.
Ini bukan sahaja dapat meningkatkan daya tahan badan bayi, malah ia juga membantu dalam melawan sebarang penyakit.
Harus diingatkan, petua-petua yang dikongsikan di atas hanyalah sekadar cara-cara untuk mencegah dan melegakan batuk si comel anda. Cegahlah dari awal dengan menghindari punca-punca yang menyebabkannya.
Sekiranya bayi anda dihinggapi batuk, para ibu dan bapa hendaklah segera berjumpa dengan pakar perubatan di hospital untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan yang selayaknya.