Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Jenis Pokok Hiasan Dalam Rumah Yang Cantik Dan Mudah Untuk Dijaga

Sumber: Huy Phan @ mancunion.com

Pokok-pokok yang hijau dengan daun yang subur memang tidak dinafikan menyejukkan pandangan, sama ada di luar atau di dalam rumah. Ramai yang berfikir pokok hiasan dalam rumah susah untuk dijaga jika tidak mendapat cahaya matahari yang mencukupi, tetapi sebenarnya ia bukan mustahil!

Terdapat banyak pokok-pokok yang boleh hidup dengan cahaya yang sedikit, memudahkan penjagaannya. Pokok hiasan dalam rumah bukan sahaja sekadar hiasan, tapi ia juga mampu membersihkan udara dalam rumah dan memberikan pelbagai faedah lain.

Untuk memastikan pokok hiasan dalam rumah dapat hidup dengan subur, Mommy perlu tahu jenis-jenis yang sesuai untuk diletakkan di dalam rumah, tidak memerlukan cahaya matahari yang banyak, dan selamat untuk haiwan peliharaan dan anak-anak kecil.

Jom tengok beberapa jenis pokok hiasan dalam rumah yang Mommy boleh dapatkan di kebanyakan kedai tanaman dan bunga yang senang untuk dijaga.

10 Jenis Tumbuhan Dan Pokok Hiasan Dalam Rumah Yang Mudah Dijaga

1. Pokok Lidah Jin (Sansevieria)

Highlighted

Sumber: Getty Images

Juga dikenali sebagai pokok lidah mak mertua, pokok ini berasal dari Asia dan Afrika Selatan dan amat mudah untuk dijaga.

Pokok sansevieria ini sesuai untuk sesiapa yang baru sahaja mahu berjinak menjaga pokok hiasan kerana ia boleh hidup tanpa memerlukan cahaya matahari yang penuh.

Walau bagaimanapun, tanpa banyak cahaya matahari, perkembangannya akan menjadi perlahan. Ia juga boleh tahan hidup dalam tanah yang kekurangan air jika sering lupa disiram.

Malah, pokok ini lebih elok jika kekurangan air sedikit berbanding dengan siraman air yang kerap yang boleh membunuhnya.

2. Pokok Duit-Duit (Epipremnum Aureum)

Sumber: Getty Images

Pokok duit-duit ini juga sering dipanggil dengan beberapa nama lain, termasuklah money plant, silver vine, dan devil’s ivy. Ia adalah salah satu jenis tumbuhan yang amat senang untuk dijaga kerana tidak memerlukan banyak cahaya matahari dan akan masih tumbuh dengan subur.

Jenis tumbuhan ini adalah menjalar dan ia akan selalunya tumbuh dengan cepat. Pokok duit-duit amat cantik untuk diletakkan di dalam pasu yang digantung kerana daun-daunnya akan tumbuh berjurai ke bawah.

Pokok duit-duit ini mempunyai beberapa variasi di mana sesetengah jenis mempunyai corak seperti marmar dan ada juga yang berwarna hijau terang.

3. Pokok Mass Cane (Dracaena Massangeana)

Sumber: interiorplants.ca

Pokok yang mempunyai rupa seakan-akan pokok lidah jin ini adalah pilihan popular untuk sesiapa yang baru sahaja mahu bermula menjaga pokok hiasan dalam rumah.

Pokok Mass Cane sering tumbuh tinggi antara 1.2 hingga 1.8 meter dengan tangkai yang besar dan daun hijau panjang dengan corak garis-garis kuning muda dan hijau diatasnya.

Pokok ini adalah pilihan yang baik jika Mommy ingin jenis tumbuhan yang besar. Ia boleh ditempatkan di kawasan bercahaya terang secara tidak langsung tetapi masih boleh hidup dengan cahaya rendah.

Mommy hanya perlu menyiramnya seminggu sekali.

4. Pokok Swiss Cheese (Monstera Deliciosa)

Sumber: Getty Images

Pokok yang dinamakan berdasarkan sejenis keju ini dinamakan sebegitu kerana rupanya yang mempunyai lubang seakan-akan keju. Pokok ini amat popular dan memang nampak cantik dalam gambar kerana daun-daunnya yang besar dan subur.

Tumbuhan Monstera ini lebih suka iklim yang lembab dan jauh dari cahaya matahari secara langsung. Untuk memastikan ia tidak nampak pudar, Mommy kena rajin membersihkan permukaan daunnya dengan kain lembut yang lembab.

Ini juga akan membantu mempertingkatkan proses fotosintesis tumbuhan ini.

5. Pokok Lili Pasu / Peace Lilly (Spathiphyllum)

Sumber: Getty Images

Pokok yang lebih dikenali sebagai Peace Lilly ini mempunyai daun yang panjang dengan bunga lili putih yang sangat anggun. Ia adalah sejenis tumbuhan yang bagus untuk membersihkan udara sambil menghias rumah.

Tumbuhan tropikal ini memerlukan cahaya matahari terang secara tidak langsung dan tak perlu disiram dengan kerap.

Walaupun cantik, tumbuhan ini tidak sesuai diletakkan dalam rumah yang mempunyai anak-anak kecil dan haiwan peliharaan yang cenderung untuk menggigitnya kerana ia beracun.

6. Pokok Getah / Rubber Plant (Ficus Elastica)

Sumber: Getty Images

Pokok Ficus Elastica adalah spesies pokok tropika malar hijau yang berasal dari China, Asia Tenggara, dan Indonesia.

Walaupun getahnya boleh digunakan untuk membuat getah latex, variasi pokok getah lain digunakan untuk pengeluaran komersial kerana mempunyai kandungan isoprena yang tinggi untuk getah latex yang lebih elok.

Tumbuhan yang sesuai dijadikan pokok hiasan dalam rumah mempunyai daun berwarna hijau dan merah yang gelap dan memerlukan cahaya matahari terang secara tidak langsung.

7. Pokok ZZ (Zamioculcas Zamiifolia)

Sumber: Getty Images

Pokok ZZ atau dikenali juga sebagai Zanzibar gem adalah sejenis pokok hiasan dalam rumah yang memerlukan penjagaan yang sedikit sahaja.

Tumbuhan ini mempunyai ciri-ciri daun yang berbentuk bujur tajam dan berkilat, membuatkannya nampak seolah-olah seperti tumbuhan palsu.

Tumbuhan ini tumbuh secara perlahan dan boleh hidup dengan cahaya matahari yang sedikit. Tumbuhan ini juga beracun kalau dimakan.

8. Pokok Lelabah Kerinting / Curly Spider Plant (Chlorophytum Comosum)

Sumber: Better Homes and Gardens

Pokok lelabah dengan variasi kerinting ini adalah salah satu pokok hiasan dalam rumah yang paling mudah untuk dipelihara kerana tahan lasak, tidak memerlukan banyak air, dan cepat tumbuh.

Pokok yang boleh tahan lampu malap ini cenderung mengeluarkan bunga putih kecil yang tumbuh di hujung batangnya dan boleh berubah menjadi tanaman kecil lain.

Bahagian ini dapat dibiakkan dengan mudah untuk menghasilkan tanaman baru, jadi Mommy boleh dapat lebih banyak tumbuhan hiasan dan tak perlu membeli yang baru!

9. Pokok Lidah Buaya (Aloe Vera)

Sumber: Insider

Tentu Mommy pernah dengar tentang aloe vera kerana banyak jenis ubat berunsurkan aloe vera boleh didapati di farmasi kan?

Sebenarnya aloe vera datang dari tumbuhan yang dikenali sebagai pokok lidah buaya yang amat senang untuk dijaga, dan jika diletakkan dalam pasu yang cantik dan di tempat yang bersesuaian, dapat menjadi pokok hiasan dalam rumah yang cantik.

Pokok lidah buaya ini tidak perlu disiram dengan kerap dan memerlukan cahaya matahari yang terang.

10. Pokok English Ivy (Hedera Helix)

Sumber: Getty Images

Jika Mommy ingin pokok yang menjalar dengan dramatik, Mommy boleh pertimbangkan pokok English Ivy. Pokok ini boleh berfungsi sebagai penutup tanah kerana ia boleh menyebar secara mendatar ataupun secara mendaki atau menjalar ke atas melalui dinding sehingga ketinggian 80 kaki!

Ini adalah kerana akarnya yang menjalar tidak memerlukan tanah dan dipanggil aerial root. Pokok ini boleh tumbuh dengan cepat dan ada sesetengah orang berasa ia boleh nampak terlalu semak, jadi Mommy kena rajin memangkas pokok ini.

Walau bagaimanapun, pokok ini beracun dan tidak sesuai untuk diletakkan di rumah yang mempunyai anak-anak kecil dan haiwan peliharaan.

Sumber: aceh.tribunnews.com

Memelihara pokok di dalam rumah tidak susah, tapi memerlukan usaha yang berterusan untuk memastikan pokok-pokok dapat hidup dengan subur.

Jika Mommy kurang yakin, mulakan dengan satu atau dua jenis pokok dahulu sebelum membuat komitmen sepenuhnya untuk memenuhi rumah dengan pelbagai jenis pokok hiasan.

Mommy juga boleh dapatkan keperluan lain seperti baja bunga dalam kuantiti yang kecil untuk memastikan penggunaan yang betul.

Apabila membeli pokok di kedai tanaman, dapatkan bantuan pekerja disitu tentang penjagaan pokok yang dipilih. Semoga berjaya!