Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Halaman Rumah Nampak Kosong dan Bosan? Hiasi Dengan Pokok Hiasan Luar Rumah Yang Sesuai Ini!

Kredit gambar: Adobe Stock

Terdapat pelbagai cara untuk menaikkan seri sesebuah rumah, terutamanya di kawasan luar rumah. Di samping mencantikkan landskap halaman rumah dengan dekorasi idaman, Mommy jangan lupa untuk include beberapa pokok hiasan luar rumah tau.

Memang tidak dinafikan lagi bahawa pokok membawa banyak manfaat untuk manusia. Bukan nampak cantik dan menenangkan sahaja, tetapi juga mampu membersihkan udara dan meningkatkan kesihatan kita!

Kalau Mommy tercari-cari pokok hiasan luar rumah yang sesuai dan senang untuk dijaga, jom tengok beberapa jenis yang boleh menjadi pilihan.

20 Jenis Pokok Hiasan Luar Rumah Yang Menarik

1. Pokok Fiddle Leaf Fig (Ficus Lyrata)

Highlighted


Pokok Fiddle Leaf Fig adalah salah satu pokok yang boleh dijumpai di merata tempat di Malaysia kerana boleh tahan panas.

Daunnya mempunyai struktur dan bentuk yang unik serta boleh tumbuh dengan lebat. Batangnya pula boleh tumbuh dengan tinggi.

Pokok ini memerlukan cahaya Matahari yang penuh. Jika ditanam dalam pasu dan dijaga dengan baik, pokok ini akan nampak sangat megah dan menawan.

2. Pokok Lidah Jin (Sansevieria)

Juga dikenali sebagai pokok lidah mak mertua, pokok ini berasal dari Asia dan Afrika Selatan dan amat mudah untuk dijaga.

Pokok sansevieria ini sesuai untuk sesiapa yang baru sahaja mahu berjinak menjaga pokok hiasan kerana ia boleh hidup tanpa memerlukan cahaya matahari yang penuh. Jadi ia boleh diletakkan di mana-mana bahagian luar rumah.

Walau bagaimanapun, tanpa banyak cahaya matahari, perkembangannya akan menjadi perlahan. Ia juga boleh tahan hidup dalam tanah yang kekurangan air jika sering lupa disiram.

Malah, pokok ini lebih elok jika kekurangan air sedikit berbanding dengan siraman air yang kerap yang boleh membunuhnya.

3. Pokok Bunga Kertas (Bougainvillea)

Kalau inginkan pokok hiasan luar rumah yang lebih berwarna-warni, bolehlah cuba untuk menanam pokok bunga kertas.

Pokok ini memang menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia. Ini kerana pokok ini mudah untuk dijaga dan memang senang untuk tumbuh.

Warnanya pun terdapat banyak pilihan dari kuning, ungu, putih, merah jambu, dan macam-macam warna lagi.

4. Pokok Duit-Duit (Epipremnum Aureum)

Pokok duit-duit ini juga sering dipanggil dengan beberapa nama lain, termasuklah money plant, silver vine, dan devil’s ivy. Ia adalah salah satu jenis tumbuhan yang amat senang untuk dijaga kerana tidak memerlukan banyak cahaya matahari dan akan masih tumbuh dengan subur.

Bila dapat cahaya Matahari penuh di luar rumah pula, daun pokok ini boleh tumbuh dengan agak besar! Tambahan pula ia boleh menjalar di dinding rumah. Memang nampak mengagumkan!

Kalau diletakkan di dalam pasu yang digantung pula daun-daunnya akan tumbuh berjurai ke bawah.

Pokok duit-duit ini mempunyai beberapa variasi di mana sesetengah jenis mempunyai corak seperti marmar dan ada juga yang berwarna hijau terang.

5. Pokok Bunga Raya (Hibiscus)

Satu lagi pokok bunga yang amat popular di Malaysia tentulah pokok bunga raya. Maklumlah, bunga raya kan bunga kebangsaan kita!

Kebanyakan orang suka menanam pokok bunga raya berwarna merah kerana merahnya amat terang dan cantik sekali. Tapi warna lain seperti kuning dan putih pun tentu nampak manis sebagai pokok hiasan luar rumah Ibu.

6. Pokok Getah (Ficus Elastica)

Pokok Ficus Elastica adalah spesies pokok tropika malar hijau yang berasal dari China, Asia Tenggara, dan Indonesia.

Walaupun getahnya boleh digunakan untuk membuat getah latex, tapi variasi pokok getah lain yang digunakan untuk pengeluaran komersial kerana mempunyai kandungan isoprena yang tinggi untuk getah latex yang lebih elok.

Pokok ini mempunyai daun berwarna hijau dan merah yang gelap dan memerlukan cahaya matahari terang. Seperti pokok Ficus Lyrata yang disebutkan tadi, pokok ini juga banyak dijumpai di tepi jalanan di negara kita yang tumbuh dengan meriah.

7. Kaktus

Kredit gambar: hain.tarmann / Shutterstock.com

Sekarang ini makin ramai yang suka menanam pokok kaktus yang unik-unik. Kalau dijaga dengan baik, pokok kaktus memang akan nampak tersergam indah di halaman rumah anda.

Bila membeli pokok kaktus, pastikan anda bertanya dengan penjual cara untuk menjaganya, kerana pokok kaktus pun boleh mati kalau tak dijaga dengan betul!

Kalau bertuah, kaktus anda boleh mengeluarkan bunga! Cubalah tanam tumbuhan yang senang untuk dijaga ini.

8. Pokok Lidah Buaya (Aloe Vera)

Siapa kata pokok Lidah Buaya tak sesuai dijadikan pokok hiasan luar rumah? Sebenarnya, jika diletakkan dalam pasu yang cantik dan di tempat yang bersesuaian, dapat menjadi pokok hiasan yang cantik sekali.

Aloe vera datang dari tumbuhan yang dikenali sebagai pokok lidah buaya yang amat senang untuk dijaga. Tambahan pula, Aloe Vera kan banyak kegunaannya!

Pokok lidah buaya ini tidak perlu disiram dengan kerap dan memerlukan cahaya matahari yang terang.

9. Pokok Daun Semun (Bird’s Nest Fern)

Pokok Daun Semun, juga dikenali dengan nama Bird’s Nest Fern dan pokok paku langsuir, adalah salah satu jenis tumbuhan yang digemari ramai juga.

Semakin besar pokok ini, semakin berkembang daunnya sehingga nampak sungguh mekar. Pokok ini secara semulajadinya boleh tumbuh di permukaan tumbuhan lain.

Di habitat asalnya iaitu hutan hujan tropika, tumbuhan ini boleh tumbuh dengan tinggi di celah-celah pokok. Menarik, kan?

10. Bunga Akar Kuning

Anda mungkin pernah nampak bunga ini di kebanyakan rumah dan taman, tapi pernah dengan tak namanya? Bunga Akar Kuning ini juga dikenali dengan beberapa nama termasuklah Bunga Akar Cempaka Kuning, Bunga Loceng, dan Bunga Allamanda Kuning.

Berasal dari Amerika Selatan, bunga ini hidup dengan subur di kawasan terik cahaya matahari dan tanah lembap.

11. Pokok Bunga Siantan (Ixora)

Pokok bunga siantan adalah satu lagi pokok yang banyak dijumpai dinegara kita. Kalau di kampung, anda boleh nampak kanak-kanak memang tertarik dengan bunganya yang boleh dijadikan rantai apabila disambungkan.

Bila ditanam banyak-banyak dalam barisan, tentu nampak cantik sekali apabila bunganya keluar.

12. Pokok Bunga Ros

Siapa yang tak suka tengok dan bau bunga ros, betul tak? Walaupun mungkin mencabar untuk dijaga, tapi hasilnya amat berbaloi!

Bila membeli bunga ros di kedai bunga, pastikan anda dapatkan nasihat dari penjual untuk tips-tips menjaganya supaya tidak mudah mati dan cepat berbunga.

13. Pokok Telinga Kera (Wandering Jew)

Tumbuhan ini memerlukan cahaya Matahari yang sederhana, tetapi secara terus dan memanjang. Jadi ia sesuai untuk diletakkan di dalam rumah juga.

Pokok ini juga boleh hidup dengan hanya diletakkan di dalam air. Kalau ada pond atau water feature di rumah anda, bolehlah hiasinya dengan tumbuhan ini.

14. Apu-apu (Water Lettuce)

Satu lagi tumbuhan yang sesuai diletakkan di dalam pond atau water feature ialah apu-apu yang juga dikenali sebagai water lettuce.

Tumbuhan ini tidak memerlukan cahaya Matahari yang banyak, tetapi pH air itu mestilah di antara 6.5 hingga 7.2. Ia juga boleh tumbuh sehingga saiznya berlipat kali ganda!

15. Pokok Paku Boston

Pokok paku Boston nampak seperti paku-pakis, tetapi lebih cantik! Pokok ini boleh meningkatkan kualiti udara, jadi kalau anda duduk di bandar, memang sesuai untuk tanam pokok ini.

Tumbuhan malar hijau ini boleh mencapai setinggi 40–90 sentimeter! Kalau nak gantung di luar rumah pun tentu nampak cantik.

16. Pokok Keladi

Terdapat banyak variasi pokok keladi yang boleh ditanam, seperti keladi Liliput, keladi White Wing, keladi White Galaxy, dan banyak lagi.

Ada yang jenis biasa-biasa sahaja, dan ada juga jenis kayangan! Maksudnya spesis tersebut agak rare dan selalunya harganya mahal-mahal belaka.

Kalau dapat buat koleksi pelbagai jenis pokok keladi dan dihias di luar rumah, memang cantik dan menarik sekali.

17. Pokok Ati-ati

Walaupun pokok ini nampak serupa seperti pokok keladi kerana warnanya, namun ia berbeza tau! Pokok Ati-ati pun tak kurang popularnya sebagai pokok hiasan luar rumah. Ini kerana terdapat pelbagai corak pokok ati-ati yang boleh didapatkan.

Penjagaannya pun senang. Malah, pokok ini senang untuk beranak-pinak, jadi boleh dijadikan hadiah untuk kawan-kawan dan saudara-mara yang datang menziarah!

18. Pokok Periuk Kera (Pitcher Plant)

Jangan tak tahu, pokok eksotik yang boleh dijumpai di hutan ini sebenarnya boleh dijadikan pokok hiasan luar rumah juga!

Pokok Periuk Kera ini amat unik sekali dan boleh digantung di luar rumah anda. Kalau rumah anda jenis banyak serangga seperti lalat, pokok ini dapat memerangkapnya! Bukan sahaja cantik, tapi berguna juga!

19. String of Pearls

Pokok String of Pearls ialah jenis pokok yang sesuai untuk digantung di halaman rumah anda. Tak seperti kebanyakan tumbuhan lain yang mempunyai daun, sebaliknya pokok ini mempunyai biji-bijian seolah-olah mutiara.

Penjagaannya pun senang dan tidak memerlukan banyak cahaya Matahari. Tumbuhan ini tentu dapat menaikkan seri halaman rumah anda.

20. Pokok Lemon

Jangan terkejut, tetapi pokok lemon, limau, atau oren sesuai sangat untuk dijadikan pokok hiasan luar rumah. Bentuk pokok ini serta daunnya yang rimbun tentu nampak cantik sekali.

Tambahan pula, kalau berbuah, tentu kawasan rumah anda akan bau harum sekali dengan bau-bauan buah sitrus ini.

Terdapat banyak varieti pokok sitrus yang sesuai dengan cuaca di Malaysia ini dan boleh didapati di kebanyakan kedai pokok bunga.


Kita memang sangat beruntung kerana boleh mendapatkan pelbagai pilihan pokok hiasan untuk diletakkan di luar rumah. Tambahan pula, kita tiada musim sejuk, jadi pokok boleh hidup sepanjang tahun!

Jadi tunggu apa lagi? Cepat-cepat ke kedai pokok bunga berdekatan dan pilihlah mana-mana pokok yang Mommy berkenan dan sesuai dengan citarasa Mommy!