Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Puasa Hari Arafah – Apakah Kelebihan dan Amalan Sunnah Pada Hari Tersebut?

puasa hari arafah

Menjelang bulan Zulhijjah, umat Islam akan mula bersedia untuk berpuasa dan beramal pada beberapa hari di awal bulan tersebut.

Ini kerana amalan pada hari-hari ini lebih disukai oleh Allah S.W.T. berbanding dengan hari-hari yang lain. Berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W.:

ما مِن أيّامٍ العَمَلُ الصّالِحُ فيها أحَبُّ إلى اللهِ مِن هذه الأيّامِ – يَعني أيّامَ العَشرِ قالوا: يا رَسولَ اللهِ، ولا الجِهادُ في سَبيلِ اللهِ؟ قال: ولا الجِهادُ في سَبيلِ اللهِ، إلّا رَجُلًا خرَجَ بِنَفْسِهِ ومالِهِ، ثم لم يَرجِعْ مِن ذلك بِشَيءٍ.

Maksudnya: “Tiadalah hari di mana amalannya yang soleh lebih baik dan disukai oleh Allah SWT daripada hari-hari sepuluh Zulhijjah. Lantas sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah sekalipun jihad pada jalan Allah?’ Baginda menjawab: ‘Sekalipun jihad pada jalan Allah kecualilah seseorang lelaki keluar dengan dirinya dan hartanya kemudian tidak pulang daripada demikian itu (iaitu mati syahid).” – Riwayat Abu Daud (2438)

Apakah Itu Hari Arafah?

Menurut Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, hari Arafah adalah hari yang padanya amalan berwukuf di Padang ‘Arafah dilaksanakan buat mereka yang mengerjakan haji. Ia merupakan salah satu daripada rukun haji.

Buat mereka yang tidak mengerjakan haji, pada hari ini adalah dianjurkan untuk berpuasa dan melakukan amalan soleh yang lainnya.

Tarikh Hari Arafah Tahun 2023

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

Jika mengikut bulan Islam, hari ‘Arafah jatuh pada tanggal 9 Zulhijjah. Pada tahun 2023 ini, hari ‘Arafah adalah bersamaan dengan 28 Jun 2023 iaitu hari Rabu di Malaysia, InsyaAllah.

Kelebihan Berpuasa Pada Hari Arafah

Pada anjuran berpuasa hari ‘Arafah ini, terletak padanya begitu banyak kelebihan daripada Allah. Antaranya adalah:

1. Hari di mana agama Islam telah sempurna

Ini adalah berdasarkan daripada hadis Rasulullah S.A.W., seorang lelaki telah bertanyakan kepada Umar bin al-Khattab R.A.:

يَا أَمِيرَ المُؤْمِنِينَ، آيَةٌ فِي كِتَابِكُمْ تَقْرَءُونَهَا، لَوْ عَلَيْنَا مَعْشَرَ اليَهُودِ نَزَلَتْ، لاَتَّخَذْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ عِيدًا. قَالَ: أَيُّ آيَةٍ؟ قَالَ: “اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا” [المائدة: 3] قَالَ عُمَرُ: قَدْ عَرَفْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ، وَالمَكَانَ الَّذِي نَزَلَتْ فِيهِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ قَائِمٌ بِعَرَفَةَ يَوْمَ جُمُعَةٍ

Maksudnya: “Wahai Amir al-Mukminin, satu ayat di dalam kitab kamu (al-Quran) yang kamu membacanya. Jika ia ke atas kami sekalian bangsa Yahudi maka kami akan mengambil hari tersebut sebagai perayaan. Umar bertanya: Apakah ayat itu? Dia berkata: “Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu”. Umar berkata: Kami telah ketahui hari tersebut dan tempat turun ayat tersebut ke atas Nabi SAW ketika baginda SAW berdiri di Arafah pada hari Jumaat”. Riwayat al-Bukhari (43) dan Muslim (5334)

2. Hari raya untuk umat Islam

Daripada Uqbah bin Amir R.A., sabda Rasulullah S.A.W.:

يَوْمُ عَرَفَةَ، وَيَوْمُ النَّحْرِ، وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ، وَهِيَ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksudnya: “Hari Arafah, hari Korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum”. – Riwayat Abu Daud (20660), Tirmizi (704) dan al-Nasa’ie (2954)

3. Ketinggian doa pada hari ‘Arafah

Kredit gambar: istockphoto

Daripada Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah S.A.W. telah pun bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”. – Riwayat al-Tirmizi (3509)

4. Menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas

Daripada Abi Qatadah R.A., sabda Rasulullah S.A.W. apabila ditanyakan tentang puasa pada hari Arafah:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. – Riwayat Muslim (1977)

5. Hari keampunan dan pelepasan daripada api neraka

Daripada Aisyah R.A., Rasulullah S.A.W. telah pun bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hambaNya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah”.  – Riwayat Muslim (2402)

Lafaz Niat Puasa Hari Arafah

Di atas hanyalah antara kelebihan-kelebihan berpuasa pada hari ‘Arafah ini yang sering didengarkan. Tentunya di sisi Allah S.W.T. Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, terdapat lebih banyak lagi ganjaran yang Dia boleh berikan.

Berikut adalah lafaz niat untuk berpuasa pada hari ‘Arafah:

Kredit gambar: umma.id

Amalan Sunnah Pada Hari Arafah

Bukan sahaja berpuasa ya, pada hari ‘Arafah dan 8 hari sebelumnya, kita disunatkan untuk melakukan amalan soleh yang lain seperti:

  • Membaca Al-Quran
  • Beristighfar memohon keampunan
  • Berdoa
  • Bersedekah

Semoga puasa dan amalan-amalan kita pada hari ‘Arafah diterima oleh Allah S.W.T. dan dikurniakan ganjaran sebaiknya dari sisiNya.


Dapatkan juga pelbagai doa harian beserta terjemahan yang lain di SINI!