Sebagai seorang isteri, wajib bagi anda untuk menghormati dan mentaati suami, tetapi apa yang berlaku kini penghormatan si isteri kepada suami semakin terhakis dan apakah yang menjadi punca isteri hilang hormat pada suami?
Bahkan sehingga sekarang, pertambahan kes penceraian semakin meningkat naik dan kebanyakannya adalah difailkan oleh si isteri! Benarkah disebabkan dari hilangnya sebuah rasa hormat?
Sememangnya alam rumah tangga ini ada turun naiknya. Penuh dengan dugaan. Kadang-kala bahagia, kadang-kala taufan melanda. Banyak punca yang menyumbang kepada perkara ini.
Oleh itu, jom ikuti perkongsian ini untuk mengetahui apakah faktor yang menjadi punca isteri hilang hormat pada suami dengan lebih lanjut lagi!
Punca Isteri Hilang Hormat Pada Suami
Perkahwinan adalah sebuah ikatan yang halal di antara seorang perempuan dan lelaki melalui satu akad. Akad yang dilafazkan bukanlah hanya kata-kata kosong, tetapi juga hadir bersamanya hak dan tanggungjawab yang dipikul oleh kedua-dua pihak samada suami atau isteri. Kedua-duanya mempunyai hak dan tanggungjawab yang perlu dijalankan kepada pasangan masing-masing.
Menurut Islam, bagi mengelakkan berlakunya sebarang maksiat, untuk mendapatkan keturunan, sebagai salah satu ibadah, dan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga perkahwinan ini sangatlah dianjurkan.
Namun, bukan semua perkahwinan itu indah hingga ke akhirnya. Ada yang kecundang di tengah jalan. Bukan satu, bukan dua dan bukan juga tiga malah terlalu banyak kes pergolakan rumah tangga yang berlaku saban hari yang membawa kepada perceraian disebabkan hilangny rasa hormat.
Di bawah ini merupakan antara punca-punca mengapa hilangnya hormat seorang isteri kepada ketua keluarga yakni seorang suami iaitu:
#1. Punca Isteri Hilang Hormat Pada Suami Disebabkan Sikap Panas Baran
Isteri mana yang boleh tahan jika suami asyik marah tak tentu pasal. Salah sikit kena herdik, salah sikit kena tengking. Perkataan tegur baik-baik dan bincang jauh sekali. Isteri yang lemah lembut pun boleh hilang sabarnya. Sabar setiap orang ada hadnya. Ditakuti juga sikap panas baran ini boleh membawa kepada kaki pukul. Semoga dijauhkan. Seorang isteri perlu hormat kepada suaminya.
Ya, betul. Tetapi sekiranya hampir saban hari si isteri seringkali ditengking macam mana nak hormat kepada suami. Yang tinggal mungkin hanya rasa benci atau takut. Seorang suami sepatutnya tahu bagaimana untuk mengawal emosi semasa tengah marah. Jika benar si isteri melakukan kesalahan, besar atau kecil, tegur dengan baik dan duduk berbincang sekiranya terdapat masalah yang perlu diselesaikan.
Seorang isteri itu layak dilayani dengan baik seperti mana firman Allah dalam Surah An-Nisa’, ayat 19 yang bermaksud:
“…. dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara baik..”.
Jelas di sini menunjukkan perempuan yang bergelar isteri itu perlu dan harus dilayani dengan baik bukan sebaliknya.
#2. Punca Isteri Hilang Hormat Pada Suami Disebabkan Suka Menipu dan Curang
Menipu atau curang dalam perkahwinan adalah perkara yang paling ditakuti oleh semua orang tidak kira lelaki mahupun perempuan. Jika masa bercinta pun kita risau pasangan kita menipu dan berpaling tadah inikan pula selepas berumah tangga. Suami yang telah melafazkan akad dan berjanji untuk bersama susah dan senang kini telah menipu dan berpaling tadah kepada orang lain.
Hal ini akan menyebabkan si isteri hilang hormat pada suami. Permohonan maaf sekalipun tidak dapat memadamkan apa yang telah suami lakukan. Bagi sesetengah wanita yang sayangkan rumah tangga yang dibina mungkin akan cuba memaafkan si suami tetapi rasa hormat yang dahulunya menebal mungkin semakin hilang disebabkan tindakan sang suami.
Seperti mana sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya penipuan itu tidak dibolehkan baik dalam keadaan yang benar ataupun gurauan.”.
Ini bermakna perbuatan menipu itu adalah ditegah dalam agama apatah lagi dalam sebuah rumah tangga.
#3. Suami Tidak Ambil Peduli Hal Anak dan Rumah
Selain itu, suami yang tidak ambil peduli hal berkenaan anak dan rumah juga menjadi salah satu punca si isteri hilang rasa hormat kepada suami. Sebagai sepasang suami isteri sepatutnya hal berkenaan rumah tangga termasuklah hal berkaitan anak adalah urusan bersama.
Tidak sepatutnya si suami lepas tangan dalam hal ini. Setiap yang bergelar suami dan isteri mempunyai tanggungjawab yang harus dijalankan bagi keharmonian rumah tangga yang dibina. Isteri bukan lah orang gaji yang dibayar gaji untuk menguruskan hal rumah tangga dan anak seorang diri.
Apa function seorang suami dan seorang ayah dalam rumah tangga sekiranya semua benda perlu diuruskan sendiri oleh isteri. Disebabkan inilah yang boleh menyebabkan si isteri hilang rasa hormat kepada suami.
Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Ketua atau imam adalah pemimpin dan ia akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. Suami adalah pemimpin dalam keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. Isteri juga pemimpin dalam mengendalikan rumah tangga suaminya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya, dan pembantu rumah tangga juga pemimpin dalam mengawasi harta benda majikannya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya.”
(Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini menerangkan berkenaan tanggungjawab yang dipikul oleh semua suami dan isteri dalam sebuah rumah tangga. Jika setiap pasangan menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing nescaya tidak akan timbul isu hilang rasa hormat kepada pasangan.
#4. Punca Isteri Hilang Hormat Pada Suami Disebabkan Tidak Menjaga Hati Isteri
Di samping itu, antara punca lain ialah suami tidak menjaga hati isteri. Wanita dilahirkan dengan keperibadian yang lemah lembut dan mudah tersentuh. Mereka mudah terasa dan tersentuh sekiranya ada perkara yang menyentuh sensitiviti mereka. Sebagai seorang suami sekiranya anda tahu apa yang isteri anda tidak suka sebaiknya jauhkan dan elakkan perkara tersebut.
Terus-terusan menyakiti hati mereka hanya akan membuat mereka bosan dengan anda yang tidak prihatin dengan perasaannya. Apabila isteri hilang rasa hormat pada suami, percayalah seri dan aura dalam perkahwinan itu akan hilang. Jika anda sayangkan ikatan perkahwinan yang dibina, sesekali belilah jiwa isteri anda dengan melakukan perkara yang disukainya.
#5. Suami Tidak Pandai Urus Kewangan
Tugas seorang suami adalah mencari nafkah untuk keluarga. Namun, terdapat ramai suami yang mana tidak pandai menguruskan kewangan. Apabila mereka mendapat gaji, wang yang diterima banyak dihabiskan untuk kepentingan diri berbanding dengan memenuhi keperluan keluarga.
Sedar tak sedar banyak kes yang melibatkan pergolakan rumah tangga ini disebabkan oleh masalah kewangan. Seorang suami seharusnya tahu mana yang perlu didahulukan dan mana yang perlu dikemudiankan. Seperti yang semua maklum, nafkah adalah tanggungjwab seorang suami.
Walaupun isteri bekerja suami wajib memberi nafkah kepada isteri untuk keperluan isteri dan juga keluarga. Isteri akan hilang rasa hormat sekiranya suami lepas tangan dalam hal nafkah dan membiarkan isteri menanggung segalanya sendiri.
Allah berfirman:
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah mengikut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepada (sekadar yang mampu) …”
(Surah at -Talaq, ayat 7).
Melalui ayat ini Allah memperuntukkan bahawa tugas dan hukum memberi nafkah adalah tanggungjawab seorang suami.
#6. Suami Malas dan Tidak Mahu Bekerja
Punca yang seterusnya ialah suami malas dan tidak mahu bekerja. Sudah la malas membantu dalam hal menguruskan rumah tangga, tidak mahu bekerja pula tu. Isteri mana yang dapat tahan sekiranya suami berperangai sebegini.
Setiap orang ada batas kesabarannya. Tapi, kalau perlu menanggung biawak hidup ini setiap hari siapa sahaja yang boleh tahan. Ayat di atas menjelaskan bahawa tanggungjawab mencari dan memberi nafkah itu tergalas di bahu seorang suami dan bukan sebaliknya.
Sudahlah makan pun isteri yang perlu masak dan hidangkan, duit beli makanan pun isteri perlu cari. Di mana rasa tanggungjawab seorang suami dalam kes seperti ini. Hal ini yang membuatkan si isteri hilang rasa hormat dan rasa yang tinggal hanyalah rasa meluat!
#7. Suami Sentiasa Rasakan Yang Dia Sentiasa Bagus dan Betul
Suami adalah ketua dan pemimpin dalam sebuah institusi rumah tangga. Tetapi harus diingat, bukan semua benda yang suami buat adalah betul. Hidup berumah tangga perlu ada tolak ansur. Hal ini kerana jika tiada rasa tolak ansur dalam rumah tangga, pergaduhan akan sering terjadi.
Suami yang sentiasa rasakan dirinya betul dalam semua perkara hanya akan membuat sang isteri hilang rasa hormat. Si suami tidak boleh menerima pendapat dan nasihat dari orang lain termasuklah isteri sendiri.
Setiap pendapat isteri dikatakan tidak betul dan nasihat yang diberi tidak pernah diguna pakai. Dia sahaja yang betul dalam semua hal.
#8. Suami 24 jam Dengan Telefon
Punca yang terakhir adalah isteri yang bosan dengan suami yang terlampau asyik dengan telefon. Dunia si suami hanyalah dengan telefon. Ke hulu ke hilir dengan telefon di tangan. Sampaikan masa makan pun masih lagi dengan telefon. Kalau tidak dengan game pasti dengan socmed atau sosial medianya. Anak dan isteri langsung tidak dihiraukan.
Hendak membantu isteri dengan kerja-kerja di rumah? Jauh sekali. Anak ajak bermain pun seakan bermain dengan dinding kerana tiada respon dari suami. Jika inilah sikap suami isteri mana yang akan hormat? Isteri mana yang akan tahan dengan perangai sebegini? Boleh ke rumah tangga yang dibina ini berkekalan?
Jawapannya anda pun tahu. Bagi isteri tiada suami pun tak mengapa kalau kahwin tapi macam tak ada suami.
Alam rumah tangga ini tidak selalunya indah dan tidak selalunya bergolak. Ianya bergantung kepada suami dan isteri itu sendiri bagaimana untuk mencorak kehidupan rumah tangga mereka sendiri. Oleh itu, setiap pasangan haruslah sentiasa muhasabah diri ke arah yang lebih baik.
Semoga perkongsian kali dapat membantu pasangan yang sedang menghadapi masalah rumah tangga untuk mengaudit diri samada punca-punca ini yang menyebabkan rumah tangga yang dibina bergolak. Jika ya, belum terlambat untuk hulurkan salam perdamaian dan memohon maaf atas kesilapan.
Anda boleh dapatkan pelbagai lagi tips mengenai hubungan dengan klik di SINI!