Apa yang dimaksudkan dengan sembelit adalah kesukaran untuk membuang air besar. Ia juga merujuk kepada situasi di mana kekerapan seseorang membuang air besar turut berkurangan jika dibandingkan dengan kebiasaan.
Najis di dalam usus dipercayai boleh menjadi keras apabila kandungan airnya, diserap secara berlebihan oleh usus. Pergerakannya melalui saluran tersebut secara lambat turut menyumbang ke arah ini.
Sembelit dikategorikan sebagai gejala dan bukannya sejenis penyakit. Salah satu faktor utamanya adalah disebabkan amalan pemakanan yang kurang sihat.
Masalah sembelit sering terjadi dalam kalangan kanak-kanak. Terutamanya bagi yang berusia di antara 2 hingga 3 tahun.
Secara umumnya, ia bukanlah suatu masalah kesihatan yang merbahayakan. Namun jika selalu terjadi ia tetap akan menjadi perkara yang pasti merisaukan anda sebagai ibu bapa selain mendatangkan ketidakselesaan yang berpanjangan kepada anak tersayang.
Terdapat banyak faktor lain yang menyumbang ke arah sembelit dalam kalangan kanak-kanak.
Punca-Punca Sembelit Anak
1) Menahan Berak
Bagi anak-anak di awal usia, kehidupan mereka sering dipenuhi dengan keseronokan bermain. Apabila sedang sibuk bermain, rasa lapar juga boleh diketepikan apatah lagi urusan untuk membuang air besar. Bukan jarang bagi kanak-kanak untuk menahan berak disebabkan kelekaannya tengah bermain.
2) Amalan Pemakanan Rendah Serat
Serat terbukti menjadi salah satu elemen diet pemakanan yang melancarkan sistem pencernaan badan.
Ia banyak terkandung dalam sumber makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin. Namun sayang sekali seperti yang diketahui secara umum, kebanyakkan kanak-kanak tidak menyukai diet pemakanan tersebut.
3) Kurang Minum Air
Air juga membantu dalam memastikan perjalanan najis dalam usus berjalan dengan lancar. Oleh itu, tabiat kurang minum air turut menjadi punca sembelit. Terutamanya bagi anak-anak yang kurang minum air masak.
4) Aktiviti Harian Yang Pasif
Kanak-kanak yang pasif dan kurang melakukan aktiviti fizikal dipercayai lebih selalu mengalami sembelit berbanding dengan mereka yang aktif.
Mereka didapati lebih banyak menghabiskan masa dengan menghadap skrin gadget seperti telefon pintar dan sebagainya. Hal ini kerana aktiviti fizikal seperti bersukan mampu mempercepatkan pergerakan makanan yang telah dicerna melalui saluran usus.
Proses Yang Mengakibatkan Najis Menjadi Keras
Faktor-faktor seperti yang dinyatakan di atas menyebabkan pergerakan sisa buangan najis yang melalui saluran usus bergerak dengan perlahan.
Semakin lambat pergerakan, semakin banyak air yang dikandungnya diserap oleh usus. Situasi ini membuatkannya menjadi semakin keras dan kering.
Najis seperti ini amat menyakitkan ketika proses meneran dan inilah yang menyebabkan seorang anak itu takut atau menderita ketika berak.
Masalah Kesihatan
Untuk pengetahuan anda, gejala sembelit juga boleh terjadi bagi kanak-kanak yang menghidapi masalah kesihatan seperti :
- Masalah pada struktur usus
- Penyakit saraf seperti Cerebral Palsy
- Penyakit Endokrin antaranya Hypothermia
Walaupun penyakit-penyakit ini boleh menyebabkan sembelit, namun risiko kejadiannya amatlah jarang sekali.
5 Cara Cegah Sembelit
Sebenarnya, anda tidak perlu terlalu risau kerana terdapat pelbagai kaedah yang berkesan untuk mencegahnya:
1) Mendorong anak untuk rajin minum air
Usaha menggalakkan anak minum air dengan secukupnya pada setiap hari bukan sahaja dapat memastikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan hidrasi.
Hidrasi merujuk kepada keadaan di mana badan mempunyai kandungan air yang cukup. Dehidrasi pula membawa maksud yang sebaliknya.
Disamping itu, ia juga membantu melancarkan pergerakkan najis melalui saluran usus dan meredakan masalah sembelit.
2) Mempelbagaikan hidangan diet yang sihat
Hidangan sihat sudah pasti bukanlah makanan kegemaran kanak-kanak. Tetapi, tidak mustahil bagi anda untuk mengatasinya dengan mempelbagaikan jenis menu.
Semestinya ia akan kelihatan lebih menarik dan menyelerakan. Menggalakkan anak untuk banyak makan sayur-sayuran dan buah-buahan ternyata mampu mengelakkan sembelit disebabkan kandungan serat yang tinggi.
3) Menggalakkan anak-anak untuk sentiasa aktif walaupun di rumah
Pada zaman moden ini, kanak-kanak kebanyakkannya lebih mudah untuk terdedah kepada kehidupan yang pasif.
Ia disebabkan segala keseronokkan boleh dikecapi dengan mudah melalui permainan dan video-video cerita yang terdapat dalam gajet seperti telefon pintar dan sebagainya.
Dalam hal ini, penting bagi anda memainkan peranan sebagai ibu bapa dalam mengehadkan penggunaan gajet dan banyak libatkan anak dengan permainan di luar rumah ataupun kerja-kerja rumah yang memerlukan penggunaan tenaga fizikal.
Secara tidak langsung meningkatkan aktiviti pergerakan usus.
4) Elakkan makanan segera dan berlemak yang tinggi
Kandungan yang terdapat dalam hidangan seperti ini terutamanya lemak melambatkan proses pencernaannya.
Apa-apa jenis makanan yang melambatkan proses tersebut boleh mengakibatkan sembelit terjadi.
5) Sentiasa tenang apabila anak hendak ke tandas
Sesetengah ibu bapa sering mengeluh apabila anak memohon sebagai teman untuk ke tandas ketika tengah sibuk dengan pekerjaan atau sebagainya.
Anda perlu sentiasa tenang dalam menghadapinya. Ingatlah bahawa ia merupakan sebahagian daripada proses perkembangan anak-anak .
Memarahinya hanya akan menyebabkannya lebih takut untuk meminta teman. Apa yang terjadi adalah mereka lebih sanggup untuk menahan berbanding ke tandas.
Pasti anda tidak mahu situasi seperti ini terjadi.
Akhir kata, gejala sembelit bukanlah suatu masalah kesihatan yang merbahaya.
Namun ia boleh menjadi sesuatu yang menyebabkan ketidakselesaan yang berpanjangan terhadap anak.
Pelbagai jenis faktor yang menyumbang ke arah masalah sembelit. Dan kita dapati faktor-faktor tersebut berkait rapat dengan gaya hidup anak-anak itu sendiri.
Penting bagi kedua-dua ibu bapa memainkan peranan dalam mengubah gaya hidup anak-anak yang tidak sihat untuk menjadi sebaliknya terutamanya dari segi pemakanan dan kegiatan aktiviti fizikal.
Ternyata, perkara pertama sekali yang perlu dilakukan adalah dengan mengehadkan waktu penggunaan gajet yang berpanjangan.
Saranan terakhir adalah jika segala macam langkah atau tips untuk mencegah sembelit dalam kalangan anak-anak telah dilakukan namun ia tetap jadi, kemungkinan besar solusi yang terbaik anda boleh lakukan adalah untuk membawanya untuk berjumpa dengan doktor.
Kerana melalui perjumpaan tersebut, siasatan lanjut dapat dilakukan melalui pelbagai cara seperti pemeriksaan fizikal, darah mahupun imbasan scan untuk mengenal pasti samada masalah sembelit tersebut adalah disebabkan penyakit ataupun tidak.
Seterusnya rawatan lanjut dapat dilaksanakan. Anda mungkin akan dibekali dengan ubat-ubatan yang boleh meredakan masalah sembelit.
Oleh itu, penting bagi anda untuk sentiasa cakna dengan kesihatan anak.
Dengan penerangan, diharap ia dapat sedikit sebanyak membantu anda dalam menangani masalah sembelit anak di rumah.