Bagi Mommy yang gemarkan menu bakar, apa kata cuba resepi Ayam Bakar menggunakan oven yang sangat mudah dan rasanya pula sangat menyelerakan. Menu ini bukan sahaja mempunyai rasa yang bisa menggoda selera, tetapi ianya lebih berkhasiat dan menjadikan Mommy sekeluarga lebih sihat.
Malah, resepi ini juga sangat digemari oleh semua orang terutamanya anak-anak. Lagi pula, Mommy tak perlu lagi membuang masa begitu lama di dapur, hanya sediakan bahan perapan ayam dan masukkan je dalam oven. Memang memudahkan tugasan memasak Mommy.
Cara Memasak Resepi Ayam Bakar Oven
#1. Resepi Versi I
Bahan-bahan
- 1 ekor ayam (direbus separuh masak dengan 2 sudu cuka)
- 5 ulas bawang putih
- 1 biji bawang besar
- 3 inci halia
- 5 sudu makan sos cili
- 4 sudu makan sos tiram
- 1 sudu makan serbuk lada hitam
- 2 sudu makan madu
- 1 sudu serbuk cili
- 1 sudu serbuk paprika
- sedikit serbuk kunyit
- garam secukup rasa
- 1/2 cawan air
Cara-cara
#1. Mula-mula sekali Mommy kisar bawang putih, bawang besar dan halia yang dicampur bersama 1/2 cawan air.
Setelah itu, sediakan mangkuk bersaiz sederhana. Kemudian, Mommy masukkan bahan yang dikisar tadi, sos cili, sos tiram, kicap, serbuk lada hitam, madu, serbuk cili, serbuk paprika, kunyit dan kacau sehingga sebati menjadi pes.
#2. Seterusnya Mommy masukkan pula gula dan garam yang mencukupi.
Ayam yang telah Mommy rebus separuh masak tadi, Mommy lumurkan dengan pes biar berpalit pada semua bahagian ayam. Ayam tersebut perlu diperap seketika lebih kurang 2 atau 3 jam. Semakin lama kita perap makin sedap ayam tersebut.
#3. Panaskan oven pada suhu 180 celcius atau 200 celcius menggunakan api atas dan bawah.
Kemudian panggang sekitar 45 minit sehingga 60 minit. Untuk garingkan bahagian luar ayam, Mommy guna api atas sahaja selama 10 minit.
Bahan-bahan Sos Ala Thai
- 3 biji cili merah
- Gula melaka
- Garam
- 3 biji cili padi
- 1 biji tomato
- Sedikit bijan
- 2 ulas bawang putih
- 2 sudu cuka
Cara Penyediaan
- Untuk pencecah ayam bakar tadi, Mommy kisar halus bawang putih, cili, tomato bersama sedikit air.
- Kemudian, masak kesemua bahan yang dikisar tadi sehingga mendidih.
- Bagi menyedapkan lagi sos, Mommy campurkan 2 sudu besar cuka, gula melaka dan garam secukupnya.
- Ayam bakar siap dihidangkan bersama Sos Ala Thai citarasa Mommy.
#2. Resepi Versi II
Bahan-bahan
- Ayam sekilo (bahagian drumstick)
- 120g sos cili
- 120g sos tomato
- 120g sos tiram
- 2sb madu
- 2 sudu besar gula
- 1 sudu besar garam
- 1 sudu besar serbuk cili
- 2 sudu besar lada hitam
- 2 ulas bawang putih ditumbuk lumat
- 60g butter
Cara-cara
#1. Satukan semua bahan dalam periuk, kecuali ayam dan masak atas api hingga butter cair.
Setelah siap masak, sejukkannya seketika. Sementara menunggu sos perapan sejuk sedikit, bolehlah Mommy cuci ayam sehingga bersih dan toskan airnya terlebih dahulu.
#2. Kemudian, Mommy ambil sos perapan yang telah sejuk tadi, lumurkan pada ayam dan jangan lupa letakkan sedikit minyak. Setelah selesai menggaul semua bahagian ayam tersebut,
Mommy perap seketika sebelum memasukkan ia ke dalam oven. Semakin lama ianya diperap, semakin sedap rasa ayam itu nanti.
#3. Panaskan oven pada suhu 180 darjah celcius hingga 200 darjah celcius dengan menggunakan api atas bawah.
Mommy bakar lebih kurang 30 ke 40 minit atau sehingga ayam masak secukupnya. Jika Mommy suka rasa garing, bakarlah lebih lama sedikit dan sentiasa memerhati supaya ayam tidak rentung.
Tips Semasa Memasak Resepi Ayam Bakar Menggunakan Oven
- Masukkan sedikit mentega ke dalam sos agar rasanya lebih enak dan sos nampak cantik berkilat.
Jadikan resepi ini antara salah satu pembuka selera anak-anak! Nantikan resepi seterusnya di Motherhood.com.my.